Mimpi Islam Hadhari

Bak kata pepatah, seperti menegakkan benang yang basah. Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk slogan Islam Hadhari anjuran Pak Lah Badawi yang dikenali dengan nama timangan Imam Besar Islam Hadhari.


Saya rasa umum telah dapat menerima bahawa Islam Hadhari bukanlah satu agama baru. Tetapi ramai tidak dapat menerima imej Islam Hadhari yang tidak mencerminkan Islam sebenar. Sebagai contoh ramai di kalangan pemimpin yang berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram, bercium dengan artis tanpa ada bangkangan dari pimpinan tertinggi negara. Seolah-olah perkara tersebut dibolehkan dan diterima sebagai satu amalan yang sejajar dengan prinsip Islam Hadhari yang mereka laungkan menerusi media dan 'roadshow' yang diadakan di segenap ceruk rantau dan juga institusi-institusi kerajaan di seluruh negara.

Suka saya petik satu perenggan dari sebuah laman web pro Islam Hadhari,
Konsep & Falsafah Islam Hadhari
Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah (Islam Fundamental). Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah 'Hadhari' telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya 'Al-Muqaddimah' dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah 'hadhara' yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. (http://www.islamhadhari.net/v4/prinsip/)

Bila kita lihat prinsip Islam Hadhari di atas, apa yang jelas di mata masyarakat hari ini adalah tiadanya keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual seperti yang digariskan. Apakah yang dikatakan seimbang? Adakah kemajuan akhlak dan spiritual yang seimbang dengan terlaksananya konsert-konsert hiburan seperti Jom Heboh, Gangstarz, Malaysian Idol, atau Akademi Fantasia? Apakah hiburan seperti ini melambangkan kemajuan akhlak rakyat Malaysia yang boleh dibangga-banggakan sama seperti pembangunan material negara? Inilah yang menjadikan rakyat tidak yakin dengan konsep kepemimpinan Pak Lah yang gagal dalam membentuk masyarakat yang mempunyai nilai akhlak dan spiritual yang tinggi mengikut acuan hadharinya.

Banteras Punca

Dan hari ini satu lagi isu yang mendedahkan peningkatan kadar penagih dadah yang membimbangkan dari tahun ke tahun.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, usaha membanteras pengedaran dadah sehingga ke peringkat akar umbi masih kurang berjaya apabila statistik menunjukkan peningkatan terhadap jumlah kes yang ditangkap dari setahun ke setahun. (Utusan Malaysia - 23 Jun 2007)
Dalam hal ini saya yakin kerajaan juga sedar akan punca sebenar kepada permasalahan penagihan dadah ini. Kita biasa melihat dalam setiap serbuan yang dijalankan ke atas premis-premis hiburan pasti ada dadah atau pil-pil khayal yang dirampas. Jika benar kerajaan bersungguh dalam membanteras masalah dadah ini maka mereka wajib menutup premis-premis ini atau tidak lagi mengeluarkan lesen-lesen berkaitan.

Namun, saya yakin tiada apa yang mereka akan lakukan melainkan hanya berslogan sahaja. Slogan anti rasuah yang sampai sekarang tiada hukuman yang diputuskan dalam kes Rasuah Kasitah Gadam dan Eric Chia, dan slogan Islam Hadhari yang menjadi tampalan ke atas Islam sebenar dengan tujuan membenarkan perkara-perkara haram yang mereka lakukan. Dan akhirnya Islam Hadhari akan terus menjadi mimpi mainan tidur Pak Lah Badawi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular