Memaparkan catatan dengan label pilihanraya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pilihanraya. Papar semua catatan

Taktik kotor menangkan BN di Galas

Tulisan Zulkiflee Bakar (Mingguan Malaysia, 7 November 2010) atas tajuk “Kalah kerana Nik Aziz” adalah disanggah. Rasional sanggahan adalah berpaksikan bahawa bukan sifat sebenar Tok Guru Nik Aziz seperti mana digambarkan oleh penulis tegar Umno itu. Apa yang berlaku di bumi dan sepanjang pengamatan pelbagai pihak (termasuk pengkaji politik) terhadap perjalanan pilihan raya kecil Galas adalah amat ketara bahawa BN mencapai kemenangan disebabkan BN menggunakan kempen taktik kotor.


Nilai kekotoran kempen BN itu boleh dikaji menerusi rancangan dan tingkah laku pasukan kempen Barisan Nasional yang menang di Galas 4 November lalu. Di sini dikemukakan sekurang-kurang 10 jenis taktik kotor, jijik, mual dan bercanggah dengan nilai-nilai demokrasi yang sudah menjadi ‘makan-minum’ parti Melayu Umno pimpinan Mohd Najib.

Pertama, akhbar Utusan Malaysia (28 Nov. 2010) sehari selepas penaman calon telah menyiarkan gambar Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Perdana Menteri menghulurkan sampul surat berisi RM300 kepada seorang warga emas, Alias Junuh. Permualaan kempen dengan sogokkan wang yang adalah bercanggah dengan Sekseyen 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya. Namun, pihak SPR diam tanpa komen dan media tidak melaporkannya sebagai sogokan atau rasuah.

Kedua, saban hari tempoh kempen berjalan, media milik Kerajaan Pusat, khususnya Radio dan TV milik Kementerian Penerangan menyiarkan laporan dan pengakuan palsu individu kononnya menjadi mangsa pengambilan tanah untuk projek Ladang Rakyat. Sedangkan penjelasan dari pihak Ladang Rakyat, bahawa tiada projek Ladang Rakyat dalam DUN Galas. Apa yang sebenar ialah sebilangan pengundi DUN Galas telah terpilih sebagai penerima deviden RM200 sebulan diberikan oleh Ladang Rakyat. Tetapi penjelasan pihak Ladang Rakyat tidak disiarkan.

Ketiga, mahkamah telah menerima pendaftaran kes tuntutan wang royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan ke atas Petronas dan tidak sepatutnya ia dijadikan isu kempen. Tetapi apa yang berlaku, pihak BN telah menjanjikan dalam risalah beredar kepada pengundi bahawa royalti akan dipulangkan kepada rakyat Kelantan bila mengundi BN.

Keempat, menyebar fitnah dalam internet ”Umno Online” laman rasmi Parti Umno Malaysia kononnya calon PAS terlibat dengan khalwat dengan seorang wanita yang namanya sama dengan nama ibu calon PAS, Dr. Zulkefli. Penafian Calon PAS telah dibuat sendiri oleh Dr. Zulkefli tetapi laman milik Umno itu terus memutar fitnah itu dengan fitnah baru pula, kononnya Dr. Zulkefli akan bersumpah menafikan isu khalwat di masjid. Pendekatan itu amat serius dari segi agama, mengapa ulama dan mufti tidak menegur fitnah yang jalang begitu.

Kelima, BN didapati amat rakus menggunakan jentera jabatan dan agensi Kerajaan Pusat sebagai jentera kempen BN. Ini dilakukan secara terbuka dan meloyakan. Antara yang paling jelas ialah salah guna Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA). Pihak JHEOA kemudian telah melantik Timbalan Ketua Setiausaha sebagai pegawai bertanggungjawab bagi mempastikan pengundi Orang Asli mengundi BN.

Keenam, menyebar rakaman video ungkapan seorang hamba Allah yang berperangai pelik dinamakan sebagai “Nor Deris” yang mengeluarkan kata-kata kesat dan kotor serta fitnah terhadap Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz. Antara fitnahnya, kononnya Tok Guru Nik Aziz tidak mahu bersalam dengannya. Sedangkan cerita sebenar, “Nor Deris” itulah yang mengaku dia tak mahu bersalam kerana melihat tangan Tok Guru Nik Aziz serupa dengan “tangan syaitan.” Rakaman itu dimuatkan dalam laman Umno Online milik Umno Malaysia yang kemudian disebarluas oleh laman-laman internet pro-Umno.

Ketujuh, media kempen BN termasuk akhbar, risalah, perayu undi dan pemimpin BN bertanggungjawab sepenuhnya menyebar laporan salah tentang kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dalam menyelesaikan permohonan milik tanah penduduk Gua Musang, termasuk melibatkan pengundi Cina di Kampung Pulai, Tanah Putih dan Kampung Baru. Pengakuan yang dibuat oleh mantan Ketua Jajahan Gua Musang, Abdullah Mat Yusoff mengenai beribu-ribu permohonan sejak sepuluh tahun terakhir ini. Malah, menurutnya berlaku kelewatan kelulusan permohonan adalah disebabkan karenah Kesedar yang tak mahu bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. Namun, kenyataan Abdullah itu tidak disiarkan oleh media BN atau Umno Online.

Kelapan, menggunakan kakitangan Special Branch Polis (SB) bagi mendapatkan maklumat dari Bilik Gerakan PAS. Sehingga ada SB itu berjaya dikesan oleh pihak PAS atas perbuatan yang disuruh oleh BN itu. Ia jelas memperalatkan SB sebagai anggota keselamatan awam dan mempalitkan nama buruk pasukan polis atas semata-mata kepentingan BN saat pilihan raya. Jelas pihak BN tidak ada kepakaran sendiri melainkan menumpang jentera kerajaan.

Kesembilan, memfitnah Kerajaan Negeri Kelantan sebagai bertanggungjawab merosakkan punca air bersih bagi kegunaan Orang Asli. Sedangkan tanggungjawab sebenar untuk perawatan dan penjagaan serta pembinaan bekalan air bersih bagi penduduk Orang Asli ialah pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang terletak di bawah menterinya selaku Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Afdal. Sebagaimana dakwaan pihak JHEOA sendiri, tanggungjawab itu gagal dilaksanakan kerana karenah pihak kontraktor yang dikatakan menyeleweng.

Akhirnya, kesepuluh didapati di penghujung kempen, pihak pasukan kempen BN telah mengedar pembohongan berupa sogokan janji pembangunan Projek Mega berjumlah RM3.254 billion. Projek tersebut ialah Berjaya The Park (RM1.5 billion), Permata Timur (RM146 juta), Perumahan Rakyat Galas (RM180 juta), Golf Club dan Country Resort (RM856 juta), Agro Tourism (RM256 juta) dan kampus cawangan Universiti Kelantan (RM316 juta). Sogokan projek mega merupakan taktik kotor/tipu (gula-gula ke atas pengundi) bertujuan memikat pengundi mengundi BN. Apa yang pasti projek mega itu dikatakan bohong kerana tiada satupun tapak projek itu yang mendapat kelulusan tanah, sedangkan semua tanah bagi apa-apa projek sekalipun terlebih dahulu perlu diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Berdasarkan 10 nilai kerja salah laku pihak BN di sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas tersebut, maka amatlah tepat kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz , betapa kemenangan BN itu disebabkan ugutan, sogokan dan tekanan ke atas pengundi.

Mungkin penilaian itu dapat diperkukuhkan lagi dengan hujah bahawa kemenangan BN adalah berkait rapat dengan strategi kotor dan taktik memfitnah ke atas pemimpin dan parti PAS serta pencapaian Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak dua dekad lalu. Apa pun, semoga pengundi Galas tidak terus tertipu selama-lamanya dengan pelbagai aktik kotor BN setiap kali pilihan raya.

http://misabah.blogspot.com/2010/11/taktik-kotor-menangkan-bn-di-galas.html

Perutusan Calon Pas N43 Dun Permas



Para Pengundi sekalian,

Saya SYED OTHMAN ABDULLAH calon bagi N43 : DUN PERMAS mengucapkan selamat keluar mengundi pada 8 Mac 2008 (Sabtu).

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sekiranya ditakdirkan saya diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat di DUN PERMAS ini, terdapat beberapa perkara yang akan saya laksanakan dengan secepat mungkin, iaitu :

1. Mewujudkan Tabung Dana Kebajikan untuk masyarakat di DUN PERMAS dengan sumber utama kewangannya datang daripada sumbangan saya dengan mengembalikan 30 % elaun bulanan saya ke dalam Tabung Dana ini.
2. Mewujudkan Pusat Maklumbalas Masyarakat DUN PERMAS dan Jadual Bertemuan Bersama Rakyat bagi membolehkan sebarang permasalahan masyarakat di DUN PERMAS ini dibawa oleh saya untuk dimaklum serta dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Johor.
3. Selaras dengan kemajuan teknologi di alaf ini, suatu Laman Web khusus untuk Wakil Rakyat DUN PERMAS akan saya wujudkan bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat informasi yang terkini dan memberi teguran yang membina kepada saya bagi mempertingkatkan pengurusan dan pentadbiran organisasi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Gunakanlah masa ini bagi memilih pemimpin yang benar-benar amanah, adil dan bersih serta dapat menyuarakan masalah rakyat setempat, khususnya di DUN PERMAS. Buatlah suatu perubahan demi masa depan anak-anak kita dengan menggunakan ”KUASA RAKYAT” pada pilihanraya ke 12 ini.

Sekian, terima kasih dan Selamat Mengundi.


KEPIMPINAN BERAMANAH, ADIL DAN BERSIH KEARAH NEGARA BERKEBAJIKAN

Turunkan harga minyak, agih untung Petronas untuk basmi kemiskinan - Anwar

KUALA LUMPUR,20 Ogos (Hrkh) - Jika menang pilihan raya umum akan datang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji kepada rakyat untuk menurunkan harga minyak yang semakin membebankan serta menekan kos sara hidup, di samping mengagihkan keuntungan Petronas untuk membasmi kemiskinan.



Demi memastikan kemenangan tersebut, beliau menyarankan kepada seluruh rakyat mengembleng tenaga dan bekerjasama bagi merealisasikan matlamat tersebut.

“Apa yang perlu adalah semua bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada pilihanraya akan datang," katanya ketika berucap di Pahang baru-baru ini.

“Sudah tentu, semua golongan tidak mengira Melayu, Cina dan India akan mendapat manafaatnya untuk dikongsi bersama,” jelasnya.

Menurut Suara KeADILan online, beliau sebelum itu turut menyentuh isu kepentingan menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas merugikan semua pihak serta menguntungkan kroni tertentu dan perlu digantikan dengan Agenda Ekonomi Nasional yang mempunyai dasar yang lebih adil dalam pengagihan ekonomi negara kepada semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Beliau yang digandingkan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberi ceramah di hadapan 5,000 orang hadirin di Jengka 4, Pahang.

Anwar dalam ucapannya turut menyelar tindakan kerajaan pimpinan Abdullah Badawi membeli jet VVIP baru bernilai RM400 juta menggunakan wang rakyat sedangkan jet yang sedia ada masih boleh dipakai.

Beliau menegaskan berkali-kali dalam ucapannya bahawa rakyat sekarang sudah semakin pandai dan tidak tahan lagi dengan keburukan kerajaan UMNO/BN.

Dalam masa yang sama,Anwar membidas Naib Ketua Pemuda Umno Khairy yang didakwanya menyalahguna kuasa untuk mengaut kekayaan dalam usia yang begitu muda.

Anwar dengan tegas mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Khairy di atas beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat Khairy terhadapnya.

Katanya, beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyaman Naib Ketua Pemuda Umno itu.

Anwar dalam ucapannya turut menafikan kehadiran beliau dalam arena politik tanah air adalah untuk merampas jawatan menteri dan sebagainya.

Menurut Anwar, beliau telah melalui kehidupan di dunia yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, dari layanan sebagai Pemangku Perdana Menteri hinggalah kepada layanan seperti binatang, diaibkan dan di penjarakan selama enam tahun dimana makanan pun dibaling kepadanya seperti memberi makanan kepada binatang.

“Saya telah melalui kehidupan daripada kehidupan mewah sebagai pemangku perdana menteri hinggalah kepada kehidupan hina di penjara,” katanya yang dipetik daripada Suara Keadilan online.-Az

-hrkh

Mana yang lebih ARCHAIC Pak Rashid?


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman adalah seorang personaliti yang padat dengan kontroversi. Walaupun beliau duduk mempengerusikan sebuah badan yang sepatutunya adil dan tidak memihak kemana-mana namun seringkali ucapan dan kenyataan beliau mencerminkan kecenderungan beliau kepada pihak-pihak tertentu.

Pengumuman penggunaan dakwat kekal semasa hari mengundi oleh Rashid mendapat tempat dalam akhbar tempatan hari ini. Cuma seperti biasa Rashid mengunakan peluang sidang akhbarnya untuk memperkecilkan pihak-pihak tertentu tanpa menghiraukan kedudukan beliau yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sepatutnya sentiasa dilihat tidak memihak ke mana-mana dan membela nilai dan prinsip demokrasi.

Kata Rashid sebagaimana dipetik oleh The Star:

The ARCHAIC method would be used to satisfy some quarters that claimed fraud had taken place. This is merely to stop certain quarters from using the issue as a political gimmick or to tarnish the image of the commission.

Bermakna Rashid mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal ini adalah satu kaedah ketinggalan zaman tetapi diperkenalkan juga oleh kerana kononnya pihak-pihak tertentu menuduh wujudnya penipuan dalam proses pemilihan. Rashid menganggap penggunaan dakwat ini nanti akan menghapuskan apa yang beliau anggap dakyah pihak tertentu yang cuba mencetuskan kerahuan terhadap proses pilihanraya dalam negara.

Takkanlah kisah adanya pengundi yang mengundi lebih dari sekali, pengundi yang telah meninggal dunia bangkit mengundi dan pengundi yang bukan pemegang kad pengenalan mengundi melalui kad pengenalan pengundi lain itu semuanya bohong dan palsu belaka! Saya sendiri berpengalaman melihat di hadapan Pusat Mengundi di Kolej Sunway dalam DUN Seri Setia semasa Pilihanaraya Umum 2004 lalu betapa seorang pengundi berdaftar disitu tidak dapat mengundi apabila mendapati namanya telah digunakan oleh orang lain untuk mengundi.
Hamba Allah itu telah dinasihatkan membuat laporan polis dan saya percaya ini bukan satu kes tetapi terdapat beratus malah beribu pengalaman dan kes seumpama ini berlaku seluruh negara.

Rashid samada tidak tahu (sesuatu yang mustahil) atau pura-pura buat tak tahu. Lalu tuntutan oleh NGO BERSIH agar dakwat kekal ini diperkenalkan sebagai langkah mengatasi penipuan seumpama ini seharusnya dialu-alukan dan diberi pandangan yang positif.

Kata Rashid penggunaan dakwat ini ARCHAIC atau ketinggalan zaman (masih digunakan di Indonesia dan India). Bagi saya ia terpaksa digunakan walaupun ARCHAIC oleh kerana pihak SPR tidak berupaya membendung gejala pengundi hantu seumpama di atas. Biarlah ARCHAIC asalkan ia berupaya menjamin pilihanraya yang benar-benar bebas dan adil.

Dan sebenarnya Rashid tidak sedar salah satu amalan yang masih digunakan oleh SPR sehingga kini dan terus dipertahankan oleh Rashid itulah yang sebenarnya ARCHAIC iaitu UNDI POS untuk anggota polis dan tentera. Kaedah ini sesuai ketika negara berada dalam keadaan darurat , iaitu antara tahun 1948 sehingga 1960 (pengundian pertama 1955, diikuti 1959 PRU pertama), selepas 1960 negara dikira aman, tambah-tambah di alaf baru ini, namun amalan ARCHAIC yang tidak masuk akal ini terus dilaksanakan oleh SPR.

Berek-berek polis pun sudah moden dan canggih malah berada di tengah masyarakat, tiada lagi ancaman keselamatan terhadap mereka. Mengapa mereka masih diarahkan mengundi secara tertutup melalui kaedah ARCHAIC UNDI POS ini?

Malah kalau kita perhatikan Pilihnaraya Palestin yang buminya penuh kacau dan tegang itupun anggota keselamatannya yang beruniform dan memegang senjata, mengudni bersama orang awam yang lain, apakah bumi Malaysiaku Gemilang ini lebih kacau dari Palestin?
Apa pun syabaslah tuntutan rakyat agar SPR semakin terus akhirnya diakui. Kita berharap selepas ini UNDI POS contohnya juga akan dihapuskan, mudah-mudahan Malaysia yang telah 50 tahun Merdeka ini akan menjadi negara demokrsi contoh kepada seluruh negara membangun yang lain.

n32.blogspot.com

500 aktivis Muslimat Johor berhimpun hadapi pilihan raya

KLUANG, 29 Julai (Hrkh) – Buat pertama kalinya Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) telah berjaya mengadakan satu himpunan khusus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12, akan datang.

Kemenangan Islam’ yang diadakan di Simpang Renggam, dekat sini, turut dihadiri Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; manakala Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Mohamad, telah merasmikan himpunan ini.

Hadir sama pada majlis ini Ketua DMPNJ, Atiah Ahmad; Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussein; Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Atan Gombang; serta lebih 500 muslimat yang mewakili kawasan-kawasan dari seluruh Johor.

Ketika berucap pada majlis ini, Ketua DMPNJ, Atiah Ahmad, menjelaskan, objektif program ini diadakan antara lain bertujuan menghimpunkan seramai mungkin muslimat dari seluruh negeri ini untuk gerakkerja pilihan raya.

“Selain itu program ini juga bertujuan memotivasikan muslimat khusus ke arah gerakerja pilihan raya, menjelaskan struktur organisasi HalWa dalam PAS selain mendedahkan kepada muslimat situasi sebenar kerja-kerja pilihan raya.

Katanya lagi, di era globalisasi ini muslimat tidak lagi bersifat sebagai penonton semata-mata sebaliknya muslimat dituntut untuk terjun sama dalam perjuangan dengan berbekalkan ilmu selain mempunyai persiapan fizikal dan mental yang mantap.

“Muslimat juga perlu memiliki semangat juang yang kukuh di samping mengikhlaskan diri, istiqamah serta sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk perjuangan ini, dengan adanya sifat-sifat ini barulah muslimat berupaya untuk menggabungkan diri dalam perjuangan yang terlalu mencabar ini,"jelasnya.

ImageKetika berucap pada majlis yang sama, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, mengingatkan muslimat, kerja-kerja dakwah bukan satu kerja yang mudah, banyak ujian serta cabaran perlu dihadapi.

“Memanglah kerja-kerja dakwah ini tidak mudah, ianya memerlukan pengorbanan yang sangat besar sebab itu tidak semua orang mampu melakukannya, mungkin disebabkan kesibukan urusan seharian yang perlu dilakukan atau halangan-halangan lain yang tidak dapat dielakkan.

Namun begitu jelasnya lagi, mahu tidak mahu, sama ada suka atau tidak, kerja-kerja dakwah ini perlu diteruskan juga walaupun ianya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, selain itu ianya juga perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, sabar dan yang paling penting keikhlasan hati kita.

“Lebih-lebih lagi bila membabitkan kerja-kerja politik, banyak karenah perlu dihadapi, sama ada ianya datang dari dalam mahu pun luar namun semua ini menuntut kesabaran yang tinggi, ini kerana muslimat juga tidak terkecuali dari politik,"jelasnya.

Katanya lagi, persoalan yang seringkali menimbulkan tanda tanya kenapa PAS masih tidak mampu memerintah negara walaupun PAS sudah wujud sejak lebih 50 tahun lalu.

"Apakah usaha kita selama ini masih tidak cukup untuk mencapai kemenangan, atau pun mungkin ada faktor-faktor lain yang menghalang kemenangan ini?"soalnya.

"Justeru kerana itu setiap kita perlu melakukan muhasabah diri dan seterusnya mengkoreksi sebarang kelemahan yang ada,"tambahnya lagi.

Menurutnya, “penyertaan PAS dalam pilihan raya bukan sekadar untuk menang semata-mata sebaliknya peluang ini dapat dimanfaatkan untuk menyebarluaskan lagi ajaran Islam kepada masyarakat dan rakyat."

Ini kerana semasa pilihan raya ruang yang ada agak luas berbanding dalam keadaan biasa yang begitu terhad, maka kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan mesej dakwah Islam kepada orangramai,katanya. - mks.


Jadikan jenayah isu utama pilihan raya

Keadaan jenayah yang berleluasa di negara ini sudah berada pada peringkat keterlaluan. Statistik dan punca berlaku jenayah sudah menjadi alasan membosankan. Banyak pelakuan jenayah tidak dilaporkan kerana orang umum yakin polis tidak ada penyelesaian.

Keselamatan rakyat tanggung jawab utama kerajaan. Apa juga cerita mengenai pembangunan dan wawasan negara maju tidak bermakna jika jenayah berterusan. Tekanan kepada media supaya berita jenayah tidak dibesarkan tidak membawa makna.

Seluruh negara merasai perit jenayah. Baru-baru ini ia tertumpu ke Johor Bharu hinggakan orang ramai melakukan demonstrasi. Malangnya dikaitkan pula dengan isu perkauman. Kekuatan polis segera ditambah ke sana.

Ibu negeri Johor itu amat strategik dan penting bagi negara terutama usaha membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Tetapi memberi perhatian kepada usaha membendung jenayah semata-mata kerana projek pembangunan adalah kurang wajar. Jenayah seperti merompak, menyamun dan pecah rumah mesti dibasmikan demi kepentingan rakyat. Keselamatan rakyat adalah tanggung jawab pertama kerajaan. Jika jenayah tidak dapat dikawal, maka jelas kerajaan sudah gagal. Rakyat mesti faham perkara ini dan tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Seruan supaya rakyat bersama membasmi jenayah walaupun ada kewajaran tetapi jika salah diberi penekanan membawa erti bahawa kerajaan tidak perlu memikul tanggung jawab. Hakikatnya rakyat tidak mempunyai banyak upaya menghalang jenayah. Setakat memasang alat penggera dan berpakat dengan jiran berjaga malam, bolehlah dilakukan, tetapi itupun tidak akan dapat menangani jenayah, lebih-lebih lagi jenayah sudah berleluasa dan besar pula kesnya.

Apa faktor yang menyebabkan timbul ancaman jenayah ini? Orang ramai tidak dapat mengkaji. Yang boleh membuat kajian dan mencari sebabnya adalah kerajaan. Kerajaan wajar menggemblengkan universiti berkaitan membuat penyelidikan.

Secara rambang jenayah meningkat kerana kebanjiran pendatang asing. Kedua, akibat penagihan dadah. Ketiga, faktor ekonomi apabila penjenayah tidak berupaya meraih keselesaan hidup dalam suasana ekonomi sekarang.

Semua faktor ini berkait dengan dasar kerajaan. Mengapa negara ini begitu mudah dibolosi pendatang tanpa izin? Mengapa pula masalah ini datang dari Indonesia, tidak daripada Thailand atau Filipina yang juga berjiran. Mengapa Indonesia?

Tetapi yang melakukan jenayah bukan saja orang Indonesia, penjenayah tempatan juga banyak. Dari segi kaum, terdapat kongsi gelap Cina yang merompak kedai emas atau sindiket curi kereta. Di kalangan Melayu dikaitkan dengan penagihan dadah, satu masalah yang tidak pernah selesai, satu lagi kegagalan kerajaan. Di kalangan kaum India, aktiviti jenayah juga membimbangkan. Ia dikaitkan dengan kegagalan negara menyediakan peluang pekerjaan.

Kerajaan mesti menumpukan perhatian utama memberi keselamatan rakyatnya. Perlu kesungguhan dan kreativiti mencari jalan penyelesaian. Di sinilah juga peranan parti pembangkang termasuk PAS. Mereka mesti aktif menyedarkan orang ramai betapa masalah jenayah ini adalah soal politik yang menunjukkan kegagalan BN. Justeru, pilihan raya akan datang, walaupun banyak isu lain seperti rasuah dan ekonomi, soal jenayah ini adalah yang utama. Ia mesti menjadi sebahagian manifesto pembangkang.

Menangani cabaran jenayah datang dalam dua bentuk. Pertama dari segi meningkatkan penguatkuasaan, iaitu pasukan polis mesti dibanyakkan dan diperkasakan. New York pernah menjadi sasaran jenayah paling dahsyat di dunia, tetapi kehadiran pasukan polis yang berkuantiti dan berkualiti menyebabkan ia dapat diatasi. Berjalan di New York lebih selamat daripada di Johor Bharu. Sesuatu yang tidak patut berlaku.

Tetapi penguatkuasaan saja tidak mencukupi. Ia perlu diiringi azam politik yang turut dikaitkan dengan ekonomi. Pendatang tanpa izin mesti ditangani dengan tegas. Kekuatan imigresen, pasukan polis marin dan tentera laut perlu ditingkatkan. Alasan pantai Malaysia panjang tidak boleh melemahkan usaha tegas. Bagaimanapun, sekali lagi penguasaan saja tidak mencukupi.

Satu perspektif baru perlu dilihat juga berkaitan dengan ekonomi yang menggunakan pekerja asing. Jika pekerja asing memperoleh pekerjaan di negara ini, dan sibuk melakukannya, maka tidaklah mereka terdorong untuk melakukan jenayah.

Tetapi ada dimensi di mana soal jenayah ini berada di luar kawalan negara. Kelemahan ekonomi Indonesia mendatangkan kesan kepada kita. Maka sekali lagi kerajaan mempunyai peranan dan kemampuan untuk mencari penyelesaian kreatif yang melibatkan hubungan luarnya dengan Indonesia. Kalau masalah jenayah warga Indonesia benar-benar mengancam, maka puncanya mesti dicari di tanah air mereka.

Pelaku jenayah bukan saja warga Indonesia. Ia dilakukan juga warga Malaysia, baik kerana penagihan dadah atau faktor ekonomi. Masalah dadah boleh diselesaikan. Ia tidak mustahil untuk diselesaikan. Sehingga kini tidak dapat diselesaikan kerana tiada kesungguhan. Singapura pun menghadapi masalah Melayu mereka terbabit dengan penagihan dadah. Tetapi akhirnya mereka dapat menyelesaikan masalah itu. Walaupun mereka kecil, tetapi besarnya Malaysia tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak mengatasinya.

Faktor ekonomi mesti dipandang serius. Pembangunan masih tidak melata dan menimbulkan jurang lebih luas. Jenayah yang berleluasa menunjukkan kepincangan usaha pembangunan. Setakat menaikkan gaji kakitangan awam dan berusaha mengawal inflasi tidak mencukupi.

Ketika mana mereka yang berjaya dalam bidang akademik mendapat peluang mencukupi, mereka yang kurang kemampuan dalam hal ini akan terpinggir. Fenomena Mat Rempit adalah manifestasi peminggiran golongan ini. Mereka tersepit antara warga Malaysia yang berjaya dengan pendatang asing yang mengambil pekerjaan di peringkat bawahan masyarakat.

Soal ekonomi juga berkait dengan masalah jenayah yang datang dari kaum India. Mereka juga tersepit antara orang Melayu yang mendapat peluang banyak dengan kaum Cina yang mempunyai kemampuan sendiri.


Lebih seribu sertai Himpunan Petugas Pilihan Raya Johor

BATU PAHAT, 2 Ogos (Hrkh) – Sebagai persiapan menghadapi Pilihan raya Umum Ke-12, PAS Johor telah mengadakan Himpunan Petugas Pilihan Raya baru-baru ini yang bertujuan menyatakan kesediaan PAS menghadapi pilihan raya ini.

Lebih seribu ahli PAS dari seluruh negeri ini menghadiri himpunan ini. Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, telah merasmikan himpunan ini, manakala majlis penutup pula disempurnakan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, telah menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta himpunan ini.

Hadir sama pada himpunan ini, Adun Senggarang, Dr Mohd Ramli Md Kari, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkifly Ahmad, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad.

Semasa berucap merasmikan himpunan ini Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, menggesa semua kegiatan parti di semua peringkat ditangguhkan dahulu sebaliknya tumpuan khusus mesti diberikan kepada gerak kerja pilihan raya sahaja.

Image“Semua program parti selain gerak kerja pilihan raya hendaklah ditangguhkan buat sementara waktu ini, tumpuan khusus mestilah diberikan kepada kerja-kerja pilihan raya, ini kerana bahang pilihan raya umum ke-12 sudah begitu terasa dan berkemungkinan besar ia akan diadakan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Bagaimanapun beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, berkata, tidak kira sama ada pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini atau tidak, namun semua yang terlibat harus sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kebarangkalian ini.

“Kita tidak mahu apabila berlaku pilihan raya secara mengejut, persiapan kita masih di tahap yang rendah, ini sudah tentu akan menyukarkan gerka kerja selanjutnya, selain turut memberi kesan kepada PAS untuk mencapai kemenangan," tambahnya.

Justeru katanya, persiapan yang dilakukan lebih awal adalah langkah yang terbaik, di samping itu setiap petugas pilihan raya PAS juga perlu meningkatkan komitmen mereka dan menjadikan agenda pilihan raya ini sebagai suatu keutamaan.

“Semuga dengan persiapan yang kita bina sekian lama ini mampu menghadapi musuh dengan kekuatan semaksimum mungkin, namun begitu semua usaha dan ikhtiar ini kita sandarkan kepada kekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t.," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, semasa berucap pada majlis yang sama berkata, segala gerak kerja pilihan raya ini tidak sama dengan kerja-kerja lain yang kita lakukan.

“Tidak dinafikan kerja-kerja lain yang kita lakukan untuk kepentingan hidup kita, keluarga dan masyarakat juga penting dan mendapat ganjaran pahala jika dilakukan kerana Allah semata-mata tetapi kerja-kerja pilihan raya ini mempunyai roh dan semangat yang berbeza.

“Ini kerana kerja-kerja pilihan raya ini mempunyai matlamat yang sangat besar yang melebihi kepentingan lain dalam kehidupan kita, matlamat tersebut adalah untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.

"Tanpa kita sudah tentu Islam tidak akan dapat direalisasikan di negara ini, sebab itu peranan kita sebagai petugas pilihan raya ini amat besar dan sangat penting, ia bukan satu tugas yang boleh diambil ringan oleh setiap pejuang Islam.

“Komitmen serta keikhlasan kita dalam kerja-kerja pilihan raya ini bukan sekadar untuk menang semata-mata sebaliknya lebih jauh lagi gerak kerja yang kita lakukan ini akan menentukan nasib dan masa depan Islam, bangsa dan rakyat negara ini," katanya.

Sebab itu katanya, kerja-kerja pilihan raya ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ini kerana setiap kerja yang ada hubungan dengan Allah s.w.t mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, apatah lagi kerja yang dilakukan ini untuk menyempurnakan satu tugas yang sangat besar iaitu mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini, maka sudah tentulah ia tidak boleh sama sekali dilakukan secara sambil lewa atau secara suka-suka sahaja.

“Oleh kerana itu perlu ada dalam pemikiran setiap kita tanggapan bahawa parlimen akan dibubarkan esok, walaupun tidak mungkin ianya akan berlaku tetapi ini bertujuan untuk menimbulkan rangsangan dalam diri kita betapa perlunya kerja-kerja pilihanraya ini perlu segera dilakukan tanpa bertangguh-tangguh lagi," jelasnya lagi.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas Anggota Parlimen Pokok Sena Kedah, mengajak setiap petugas pilihan raya memulakan segala gerak kerja mulai sekarang.

“Jangan tunggu sehingga parlimen dibubarkan baru kerja-kerja pilihan raya ini dimulakan, ini suatu amalan serta sikap yang tidak sepatutnya ada pada diri setiap pejuang Islam, sebaliknya kita semua perlu bersiap-sedia lebih awal supaya dengan ini penyertaan kita dalam pilihanraya nanti akan lebih berkesan selain peluang lebih besar untuk mencapai kemenangan," ujar beliau lagi. - mns


Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular