FUTSAL TAUTAN KASIH PEMUDA PASIR GUDANG

Assalamualaikum, kita berjumpa sekali lagi dalam blog Dewan Pemuda Kaw. Pasir Gudang ini….

Alhamdulillah wa syukurillah, buat pengetahuan semua, Dewan Pemuda Pas Kaw Pasir Gudang di bawah Lujnah Sukan dan Kebudayaan ,telah berjaya mengadakan satu lagi program sukan bersama pemuda-pemuda di sekitar pasir gudang pada 19 feb 2010, jumaat malam sabtu.

Di mana kita telah mengadakan program futsal bertempat di gelanggang futsal Café Bola-Bola taman Air Biru. Penyertaan dikalangan pemuda amat menggalakkan dari sekitar pasir gudang.

Jika kita dapat lihat mereka bermain dengan penuh bersemangat kesukanan dalam masa yang sama menjaga batas aurat ketika bersukan..sememangnya itulah matlamat Dewan Pemuda Kaw. Pasir Gudang, dalam kita bersukan batas syariat tetap dijaga. Kerana apa jua kita lakukan tetap ada hukumya dalam Islam..

Sedikit tazkirah ringkas juga telah disampaikan oleh Abang Nur Firdaus, Akhi Firdaus dan juga otai kita Abang Hamized.
Dimana mereka mengatakan bahawa Islam tidaklah mengharamkan sukan dan hiburan,malah Islam menggalakkan tapi ada batasan-batasan syara’.

Buat pengetahuan sahabat-sahabat juga futsal ini juga merupakan ‘futsal wida’’ buat sahabat kita Ide atau Sharidan, dimana beliau akan meneruskan perjuangannya di Kelantan.
“teman betapa pilunya hati kami ini,menghadapi perpisahan ini,pahit manis perjuangan, telah kita rasa bersama, semoga Allah meredhai persahabatn dan perpisahan ini, teruskan perjuangan…”

Akhir kalam kepada semua pemuda-pemuda, marilah bersama kami,kerana
‘Orang Muda Geng Kita
Takbir!!!

Iklan Isu Royalti Kelirukan, Cetus Implikasi Baru - Ku Li

Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.

Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.

Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.

Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.

Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.

“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.

“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya.

Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.

“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).

“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.

“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.

Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.

“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.

“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.

Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.

“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.- The Malaysian Insider.

Perutusan Presiden PAS Sempena Perayaan Tahun Baru Cina

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh peringkat masyarakat Tionghua di Malaysia.

PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara.

PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini.

Pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS.

Perlawanan Bowling Ukhwah Pemuda DPPKPG



Alhamdulillah Dewan Pemuda Pas Kaw. Pasir Gudang telah berjaya menganjurkan perlawanan bowling persahabatan di Angsana Bowling Pusat Bandar Pasir Gudang pada 31hb Januari 2010,dimana perlawanan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pemuda-pemuda sekitar Pasir Gudang lebih kurang seramai 20 orang pemuda yg menyertai perlawanan tersebut.
                                              

Di mana mereka semua telah menunjukkan bakat masing-masing dan menonjolkan skil-skil mereka..memang seronok,siapa yang tak pergi melepas la... walaubagaimanapun seronok-seronok juga, adab-adab syarak ketika berhibur tetap kena jaga... itulah dia Islam lengkap dalam semua aspek, tidak memisahkan apa sahaja aktiviti yg kita lakukan,tidak juga memisahkan politik dan Islam, dari cara pergi tandas hinggalah cara pemerintahan...

Maka insyallah, selepas ini Dewan Pemuda Pas Kaw. Pasir Gudang akan menganjurkan lagi aktiviti-aktiviti yg baik seperti ini..

Kepada semua pemuda-pemuda di luar sana kami mengalu-alukan penyertaan anda semua dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan kami…
Marilah bersama kami kerana Orang Muda Geng Kita…TAKBIR!!!

Islam Dan Jahiliyyah (Siri 1)

PERHUBUNGAN ANTARA PENDIRIAN DAN TINDAK-LAKU

Manusia menghadapi berbagai permasalahan dalam kehidupannya, tetapi ia tidak dapat menguasai permasalahan-permasalahan tersebut dengan baik kecuali setelah ia membuat suatu pendirian terhadap tabiat atau keadaan sebenar permasalahan itu dan hubungannya dengan permasalahan itu. Sama ada benar atau salah, suatu pendirian mesti dibuat terhadap semua
permasalahan. Selagi pendirian ini belum dibuat, tidak ada seorang manusia pun boleh membuat keputusan tentang tindak laku yang ia patut ambil terhadap sesuatu permasalahan. Ini adalah suatu pengalaman yang menjadi sebahagian dari kehidupan seharian anda.

Apabila anda bertemu dengan seseorang, anda perlu mengetahui: Siapakah dia? Apakah kedudukan dan statusnya dalam kehidupan? Apakah ciri-ciri peribadinya? Apakah bentuk perhubungan yang wujud di antara dia dan anda? Anda tidak dapat tentukan bagaimana hendak mengendalikan perhubungan dengan orang itu tanpa sebarang keterangan berhubung dengan soalan-soalan tadi. Walaubagaimanapun, anda perlu membuat suatu pendirian berlandaskan apa yang zahir, dan apa juga tindakan anda terhadapnya dibatasi serta ditentukan oleh pendirian yang telah dibuat.

Anda makan benda-benda yang menurut pengetahuan atau anggapan anda ianya mengandungi nilai makanan. Benda-benda yang anda buang atau gunakan, benda-benda yang anda pelihara, suka atau benci dan benda-benda yang anda takuti atau sayangi sikap serta pendirian anda yang berbeza-beza terhadap semua perkara tadi ditentukan oleh pendirian yang anda buat tentang keadaan semulajadinya, keistimewaan-keistimewaanya dan hubungan anda dengan perkara-perkara tersebut.

Sama ada sesuai atau tidak tindak-laku anda terhadap perkara-perkara tadi, bergantung kepada benar atau salahnya pendirian-pendirian yang telah anda buat terhadap perkara-perkara tersebut. Sah atau salahnya bergantung kepada sama ada anda telah membuat pendirian berdasarkan pengetahuan, tekaan, sangkaan atau melalui tinjauan pancaindera. Seorang kanak-kanak kecil sebagai contoh, melihat api dan melalui tinjauan pancainderanya membuat suatu tanggapan bahawa ianya suatu mainan yang cantik serta berkilauan. Tanggapan ini seterusnya mendorongnya kepada tindakan menghulurkan tangan untuk menyentuh api itu.

Seorang lelaki lain melihat api yang sama dan melalui anggapan atau sangkaannya, ia membuat kesimpulan bahawa api itu memiiki suatu sifat ketuhanan atau sekurang-kurangnya, ia suatu simbol ketuhanan. Berdasarkan kepada kesimpulan ini, ia membuat ketetapan menundukkan kepala menyembah api itu, sebagai tanda perhubungannya dengan api itu. Orang yang ketiga melihat api itu, dan mula mengkaji keadaan semulajadi api itu serta sifat-sifatnya.

Melalui ilmu pengetahuan serta kajian ia sampai kepada kesimpulan bahawa api itu boleh memasak, membakar serta memanaskan benda-benda. Selanjutnya ia membuat tanggapan bahawa perhubungan dengan api itu adalah laksana tuan dan hambanya. Api, menurut tanggapannya, bukanlah suatu mainan ataupun bersifat ketuhanan. Malahan ia merupakan suatu benda yang boleh digunakan untuk tujuan memasak, membakar atau memanaskan, bila-bila masa sahaja keperluan timbul.

Kalau dibandingkan ketiga sikap yang berbeza itu, jelaslah bahawa sikap kanak-kanak dan si penyembah api itu adalah berdasarkan kejahilan mereka. Pengalaman, menidakkan tanggapan kanak-kanak tersebut bahawa api itu adalah mainan. Tanggapan si penyembah api bahawa api itu adalah tuhan atau simbol ketuhanan adalah berdasarkan kepada sangkaan atau tekaan semata-mata dan bukan atas dasar apa-apa bukti dan ilmu pengetahuan yang sebenar. Sebaliknya sikap lelaki yang menganggap api sebagai suatu agen yang berguna untuk manusia, yang jauh berbeza dari kedua-dua tanggapan di atas, adalah suatu sikap saintifik kerana ia didasarkan kepada ilmu pengetahuan.

ABUL A’LA MAUDUDI

Enjin F-5E belum selesai, maklumat dalaman pula bocor

PAS kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi Pertahanan Negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F-5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut ketua penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, angkatan tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan dihati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat.

"Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh.

"Intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera," katanya.

PAS jelasnya yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi Kerajaan dan Pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

PAS menggesa agar agensi Keselamatan Negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada kerana rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara.

"Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dinegara maju seperti Jepun pasti akan meletakan jawatan jika perkara sebegini berlaku, adakah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia perlu dibiarkan sahaja sedangkan ini adalah insiden kedua yang melibatkan kecuaian yang besar dibawah pentadbiran mereka," katanya lagi.

PAS tegasnya mahu kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.

Harakahdaily

Penjelasan Tuan Guru Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, merungkai kekeliruan

Bilamana Umno tidak menyerang PAS

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,
Naib Presiden PAS.

Desakan heret Najib dan Rosmah bergema di mahkamah

Desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah bergema di perkarangan mahkamah Jalan Duta di hari pertama Datuk Seri Anwar dibicarakan.

Desakan ini dibuat oleh Anwar melalui permohonan sapinanya dan dilaungkan oleh para penyokong beliau yang memenuhi ruang perkarangan mahkamah itu.

Kedua-duanya didakwa menjadi dalang kepada dakwaan terhadap Anwar dan segala keterangan yang dibuat oleh bekas pegawai peribadi Anwar, Saiful Bukhari adalah dari mereka.

Najib pada awalnya menafikan bertemu dengan Saiful namun kemudiannya mengaku Saiful datang bertemu beliau untuk mendapatkan biasiswa.

"Dalam mahkamah, Saiful berkata beliau bukanlah orang yang cerdik sebab itu dia tidak lulus dalam pelajaran di universiti dan akhirnya keluar.

"Adakah ini orangnya yang hendak diberikan biasiswa oleh Najib. Ini persoalan yang mesti diterangkan oleh Najib dan Rosmah di mahkamah," kata Samsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Angkatan Muda PKR, di perkarangan mahkamah selepas perbicaraan hari pertama.

Dalam perbicaraan itu, Saiful yang dipanggil sebagai saksi pertama berkata, beliau berhenti dari menjadi pegawai Anwar kerana tidak tahan dipaksa melakukan seks luar tabii.

Pihak pendakwa pula memberitahu mahkamah pihaknya menemui air mani Anwar di luar dan dalam dubur Saiful.

Sedang sebelum ini, doktor yang memeriksa Saiful menegaskan tidak terdapat sebarang tanda berlaku seks luar tabii it.u

"Kita akan membuat soal balas terhadap semua keterangan Saiful ini dan kita yakin akan menang," kata Anwar ketika mengulas keterangan Saiful itu.

Bagi Anwar, keterangan Saiful itu tidak mengejutkan beliau dan sudah menjangkakannya.

"Ini adalah tindakan Datuk Seri Najib untuk memburukkan nama saya...saya cabar dia dan isterinya memberikan keterangan di mahkamah tentang peranan mereka di belakang segala keterangan ini," kata Anwar.

Harakahdaily

Editor Majalah Herald panel forum Kalimah Allah

Editor Majalah Herald, Lauwrence Andrew, bakal menjadi salah seorang anggota panel forum ‘Kalimah Allah’ mewakili agama Kristian yang akan diadakan pada hari Khamis, 4 Februari ini.

Beliau yang turut mewakili agama Kristian akan hadir pada majlis anjuran Tabung Amanah Tok Kenali sempena majlis Seminar Pemikiran Islam Semasa.

Forum anjuran Tabung Amanah Tok Kenali dibuat sempena majlis Seminar Pemikiran Islam Semasa dan dijangka akan menarik perhatian banyak pihak.

Wakil agama Islam pula adalah Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dr Johari Mat manakala seorang lagi adalah wakil dari agama Budha.

Forum tersebut akan Anggota Parlimen Kawasan Machang, Saifuddin Nasution.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berucap pada majlis penutup program berkenaan kira-kira pukul 4.15 petang pada majlis yang akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Penolong Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Rosli Abdullah dalam sidang medianya memberitahu program julungkali itu diadakan sehari bermula dengan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Pemakaian Kalimah Allah: Suatu Pernyataan Keperihatinan oleh Dr Siddiq Fadzil.

“Pembentangan kertas kerja kedua pula akan disampaikan oleh Ustaz Wan Ji Wan Husin bertajuk Penggunaan Kalimah Allah Bagi Non Muslim”,ujarnya lagi.

Kertas kerja ketiga menurutnya akan dibentangkan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mohd Nur Manuty yang bertajuk Pemakaian Kalimah Allah; Antara kebimbangan dan Keyakinan Rakyat.

Jelas Rosli lagi, dijangka 1,000 peserta yang mewakili wakil-wakil rakyat, Anggota Parlimen, pemimpin masyarakat serta pemimpin lantikan politik akan hadir pada majlis ini.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru masyarakat bukan Islam khususnya pemimpin masyarakat hadir pada majlis tersebut bagi mendapat penjelasan berhubung perkara itu.

Menurutnya, antara lain program berkenaan diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap penggunaan kalimah Allah dalam perspektif al-Quran dan semangat perlembagaan persekutuan.

“Pada masa yang sama juga ianya bertujuan untuk menyediakan wacana untuk kesatuan berfikir, bertindak di kalangan pelbagai pihak dan masyarakat, ilmuan dan politik.

“Ianya juga bertujuan untuk menegakkan pendirian umat Islam berkaitan tajuk seminar, ”ujarnya.

Oleh : Rizal Tahir

Jangan Rosakkan Jamaah

Cintailah Jamaah
Jangan Rosakkannya

1. Jamaah adalah flatform atau wadah perjuangan kita untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini . Fungsinya menggantikan khilafah yang telah runtuh sejak sekian lama .

2. Justeru itu , Jamaah ini [ PAS ] mesti dibaca dan dihayati sebagai sebuah Gerakan Islam bukan sebuah parti politik semata - mata . Meskipun ia menyertai pilihanraya dan menerima sistem demokrasi yang tidak bercanggahan dengan syariat , namun ia hanya sebahagian dari tugas besar dan utama sebagai sebuah Gerakan Islam.

3. Ini perbedaan utama PAS dengan parti - parti politik yang lain . Selain dasar dan prinsip perjuangannya ialah Islam , PAS juga mesti tegak dengan sistem pengkaderan syakhsiyah dan pembinaan ruhiyyah yang mantap dan istiqamah.

4. Inilah kekuatan PAS dan inilah juga sebenarnya rahsia kehebatan dan keunggulan PAS . Memisahkan PAS dari elemen - elemen spiritual dan amal tarbawi ini akan meletakkan PAS tidak ubah seperti parti - parti politik yang lain dan pastinya PAS akan hilang keistemewaan dan kewibawaannya.

5. Akhir - akhir ini , seperti wujud satu gerakkan terancang untuk menghakis nilai - nilai fundamental ini daripada PAS sekaligus untuk meletakkan PAS hanya sebagai sebuah parti politik yang bertarung dan bergelut di medan demokrasi malah berusaha untuk meletakkan PAS sepenuhnya menganut faham demokrasi .

6. Menjenamakan PAS sebagai sebuah parti politik bukan lagi sebagai sebuah Gerakan Islam , sebenarnya merupakan satu episod untuk memudahkan usaha segelintir pihak yang kini sedang bekerja keras mahu mengikis penghayatan terhadap prinsip wala' , thiqah , ukhuwwah , dengar dan taat kepada arahan jamaah di dalam PAS .

7. Wala' , thiqah dan taat membuatkan mereka tidak bebas mengatur gerak langkah dan merancang strategi berasaskan kemahuan mereka . Terma - terma ini senantiasa menghantui pemikiran dan membayangi tindakan mereka . Lantaran itu , mutaakhir ini sangat ketara idea dan tindakan yang meremehkan isu wala' , thiqah dan taat .

8. Segera mereka meletakkan definisi yang negatif kononnya wala' , thiqah dan taat ini membuatkan anggota parti terkongkong dan tidak bebas mengkritik pemimpin mereka secara terbuka di dalam blog atau media . Sedang cara mudah untuk menjatuhkan seseorang pemimpin pada era ini ialah mengkritik mereka secara terbuka dan membentuk persepsi yang negatif terhadap mereka pada mata umum .

9. Semakin hari , kelihatan sikap mengkritik pimpinan dan jamaah secara terbuka [meskipun saluran dalaman parti luas tersedia ] termasuklah mempertikai keputusan - keputusan parti kian menjadi budaya . Terdorong oleh rasa tidak puas hati dan api dendam yang tidak pernah padam , bukan sahaja kisah - kisah lama yang tidak berkepastian terus diungkit bahkan polemik - polemik baru terus dicipta reka untuk meretakkan jamaah dan membinasakannya atas alasan yang cukup mempesona iaitu " saya buat begini kerana saya sayangkan jamaah ..." barangkali ini juga sama sebagaimana kata bidalan " seperti tikus membaiki labu "

10. Jamaah mempunyai akhlak , adab dan disiplinnya yang tersendiri . Jika ianya diambil dengan tepat dan cukup melalui skima yang tepat serta manhaj yang tulen , Jamaah ini akan dihuni oleh pimpinan dan anggota yang :

a ] erat hubungan ,
b ] mantap tindakan
dan
c ] kukuh benteng pertahanan
nya .

Malangnya hari ini , terdapat segelintir pimpinan dan anggota yang cepat terpengaruh dan terkesan dengan propaganda cyber trooper dari musuh yang kini bijak menyelinap . Berasaskan realiti inilah , usrah menjadi satu mekanisme yang masih kukuh bertahan untuk menjadi

a ] medan penyatuan fikrah
,
b ] tali penghubung ukhuwwah
dan
c ] kilang menghasilkan rijaal
[ tokoh pejuang ] .

Sekian.

Artikel oleh : Ketua DPP Pusat

Kenapa E-Undi Meragukan?

Berikutan bantahan mahasiswa yang berlaku di Universiti Malaysa terhadap e-undi atau e-vote. Suka untuk saya gambarkan kenapa e-undi ini tidak diyakini. Saya tidak merujuk kepada sistem undi mana-mana universiti tetapi saya merujuk kepada sistem e-undi secara umum mengikut kefahaman saya dan budaya rasuah yang serius di negara kita.


E-undi adalah penggundian yang tidak menggunakan kertas. Ia melibatkan semakkan identiti pengundi dan pengiraan hasil undian seseorang pengundi. Keraguan terhadap manipulasi adalah seperti berikut :

1. Identiti pengundi ditentukan oleh sistem. Sistem ini merujuk kepada pengkalandata(database) yang telah dibina. Biasanya identiti ini merujuk kepada nombor kad pengenalan atau nombor metrik pelajar. Apabila nombor kad pengenalan atau nombor metrik dimasukkan dalam sistem maka sistem akan menyemak dengan data dalam pengkalandata. Persoalannya :

a. Apakah data itu betul ? Bagaimana mengesahkan data dalam pengkalandata? Siapa yang mengesahkannya? Apakah pengundi hantu tidak boleh dimasukkan dalam daftar tersebut?
b. Jika telah disahkan pun adakah ia tidak boleh ditindankan(replace) data tersebut dengan data-data yang telah dimanipulasi ?

2. Hasil pengundian seseorang pengundi akan dikira bagi menentukan siapakah yang menang dalam sesuatu pertandingan itu. Kiraan ini sepenuhnya dibuat oleh sistem. Persoalannya :

a. Apakah sistem kiraan ini tidak boleh diganggu oleh pihak lain ? Siapa yang boleh mengesahkan ia bebas daripada manipulasi sedangkan ia dikendalikan oleh sistem yang tidak boleh bercakap dengan kita.

b. Apakah tidak boleh kiraan data dimanipulasi ? Contohnya jika calon A menang kemudian hasil undian calon A dibuang. Akhirnya calon B yang menang. Siapa yang boleh mengesahkan ianya tidak boleh berlaku? Sistem tidak boleh bercakap dengan kita.

3. Realiti rasuah di Jabatan Kerajaan adalah ditahap yang membimbangkan. Bayangkan sebuah kementerian yang tugasnya menjaga pertahanan negara cuai menjaga dua buah enjin jet F-5E sehingga boleh hilang dan sampai ke negara Amerika Selatan. Jika enjin jet F-5E boleh hilang. Jika undi pos di MINDEF boleh dimanipulasi dalam pilihanraya Bagan Pinang. Apalah mustahilnya data-data pilihanraya di kampus dimanipulasi.

Kesimpulannya hanya satu sahaja iaitu Kerajaan Barisan Nasional perlu ditukar dalam pilihanraya akan datang.

Artikel oleh : Pemuda Besut

PR Anjur Dialog Antara Agama

Pakatan Rakyat akan menganjurkan dialog antara agama menjelang Tahun Baru Cina ini bagi meredakan ketegangan antara agama di negara ini sekarang. Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di ibu pejabat PKR dekat sini.

PR berpendapat, pemimpin Umno yang memimpin negara sekarang tidak tegas dalam menangani isu ini dan berubah-ubah pendirian mereka bergantung kepada siapa yang bercakap.

Demikian dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat PR di pejabatnya.

Dalam mesyuarat itu, PR juga bersetuju agar anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin PKR ekoran laporan polis yang dibuat beliau terhadap anggota Parlimen Shah Alam, Khalis Samad.

Anwar juga menegaskan, JK Displin juga akan bersidang segera bagi mengambil pendirian terhadap beberapa pimpinan PKR yang membuat kenyataan negatif terhadap pimpinan PR yang lain termasuk Datuk Zaharin, pemimpin PKR dari Pulau Pinang.

Dalam mesyuarat hari ini juga, PR mengambil keputusan untuk mengadakan Konvensyen PR yang kedua Mac depan. Ia akan diadakan di Pulau Pinang,

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut serta dalam sidang media itu berkata, adalah tidak wajar semua perkara yang berlaku dalam kerajaan yang diperintah PR dipersalahkan kepada PR.

Ini kerana, PR hanya baru sekejap memerintah sedangkan BN sudah sekian lama memerintah termasuk di peringkat pusat.

Selain Anwar dan Ustaz Hadi, turut serta dalam sidang media hari ini adalah timbalan presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hazayani Zakarria

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular