Memaparkan catatan dengan label isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu. Papar semua catatan

Husam Musa bersama Rakyat Kg. Baru Plentong Tengah

Di atas dasar simpati, Pas Negeri Johor telah bersama dengan Pas Kawasan Pasir Gudang bagi menyempurnakan program mengumpul dana bagi penduduk Kg. Plentong Baru Tengah. Program penerangan diadakan di surau kampung tersebut dengan kehadiran kira-kira 300 orang peduduk.


Ketua Perhubungan Umno Cawangan Kg. Plentong Baru Tengah dalam ucapannya mengakui pemimpin Umno tidak membela nasib rakyat.


Sdr. Mazlan Aliman, memberi perbandingan bagaimana wilayah Guangzhou di negara Komunis China yang sebesar negeri Johor mampu memberi tanah kepada semua rakyatnya. Namun di Malaysia, akibat ada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno yang hendakkan kemajuan (baca komisen dari pemaju) daripada membela nasib rakyat.

Sdr. Mazlan Aliman membawa isu ladang babi di Melaka di mana FRU dengan penghadang diri dan belantan tidak berani melakukan kekerasan kepada penternak-penternak babi. Kita dapat lihat di sini FRU lebih takutkan penternak babi daripada rakyat melayu khususnya.





Dato' Husam Musa hadir ke Kg. Plentong Baru Tengah bagi memberi sokongan dan simpati kepada warga penduduk di situ. Menurutnya, di Kelantan rakyat diberi masa untuk berunding serta diberi pampasan.

Menurutnya, Umno telah hilang pedoman dan sekarang Umno sendiri telah meletak racun dalam periuk nasi rakyat yang mengundi mereka dulu. Beliau berharap penduduk bersabar dan beliau merasakan bahawa nasib malang ini adalah kaffarah dosa mereka mengundi Umno sejak 50 tahun yang lalu.



Sidang akhbar bersama wartawan akhbar berbahasa Cina. Manakala wartawan akhbar melayu pula bersekongkol memperbodoh-bodohkan bangsa Melayu dengan tidak bersama melaporkan isu ini walaupun isu ini telah menjadi isu utama negara masa kini.

Rumah Pangsa Skudai Kanan membahayakan keselamatan penduduk

Baru-baru ini, Sdr. Syed Othman telah dilantik menjadi Pengerusi Badan Bertindak Rumah Pangsa Skudai Kanan bagi membantu menyelesaikan masalah keretakan dan kebocoran dinding dan lantai rumah yang serius.






Ikuti ulasan Pas Johor Bahru.

Pencerobohan Tanah Peneroka Gunung Pulai

Peneroka tanah ini telah mendapat PTD dari Kerajaan Negeri namun sebuah kontraktor telah melaksanakan projek tanpa kebenaran dari Kerajaan. Setelah berjumpa dengan Pejabat Tanah dan BPR akhirnya projek ini diminta dihentikan.




Kemaskini Dokumen Pusat Aduan Rakyat Dun Permas


Sdr. Syed Othman sedang menyusun semula keratan-keratan akhbar berkaitan isu yang berjaya diselesaikan beliau untuk dipersembahkan kepada ahli korporat yang ingin menyumbang kepada Pusat Aduan Rakyat Dun Permas Disember nanti.

Antara yang boleh dimuatkan di sini:







Pusat Aduan Rakyat Dun Permas, secara tidak rasminya telah dijalankan sejak 10 tahun yang lalu yang mana diselia sendiri oleh Syed Othman atas dasar keprihatinan beliau terhadap kebajikan masyarakat.

Bagi menyebarluaskan lagi keupayaan pusat ini, kami memohon agar individu yang berkemampuan dapat membiayai keperluan pejabat ini di akaun:

Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang

No. 32, Jalan Mawar 33, Tmn. Mawar, 81700 Pasir Gudang, Johor.

Akaun Bank Islam - 01087010019872

atau terus hubungi Syed Othman - 013 7511818

Sindiket Penipuan Pekerja Asing Bangladesh

Semalam, Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman telah mengadakan sidang akhbar mengenai isu penipuan oleh agensi pekerjaan terhadap pekerja-pekerja asing dari negara Bangladesh.

Para wartawan telah hadir dan dimaklumkan bahawa isu ini akan dimasukkan dalam akhbar mereka pada hari ini. Antara akhbar yang dijangka akan memaparkan isu ini adalah akhbar Kosmo!




Sebahagian dari pekerja Bangladesh yang berkumpul di hadapan Blok 18, Taman Cendana.

Pekerja Bangladesh Diperdaya Sebuah Agensi Pekerjaan.

Seramai 100 orang rakyat Bangladesh yang tinggal di Blok 18 Taman Cendana telah membuat aduan kerana dipercayai diperdaya sebuah agensi pekerjaan yang menawarkan peluang pekerjaan di beberapa buah syarikat di Pasir Gudang.

Malam tadi, sejurus selepas majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Tmn. Cendana, kami didatangi sekumpulan rakyat warganegara Bangladesh yang meminta pertolongan berkenaan masalah yang mereka hadapi semenjak 3 bulan yang lalu.

Jurucakap mereka mendakwa telah ditipu oleh agen berkenaan yang menjanjikan peluang
pekerjaan di sini tetapi akhirnya mereka dikecewakan. Ini kerana tarikh temuduga telah berlalu hampir 3 bulan, namun tiada panggilan susulan dibuat. Beliau mempercayai bahawa temuduga tersebut telah dirancang hanya untuk mengabui niat jahat agensi terbabit.


Syed Othman, Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang telah mengambil keterangan beberapa mangsa yang akan digunakan bagi membawa kes ini ke kedutaan Bangladesh pada hari selasa ini dengan kehadiran wakil-wakil media.

Ikuti video perbincangan mereka di sini.



Realiti Kehidupan Melayu di Pasir Gudang.


Kongsi Kesengsaraan

Kelmarin, saya, Syed Othman, Tn. Hj. Aminulhuda, Rosli dan Rahim(YDP) telah bergerak ke beberapa buah rumah di Kg. Aman dan Kg. Saujana Baru bagi memberi bantuan kepada beberapa keluarga yang memerlukan. Ada di antara mereka yang telah uzur dan hidup dalam keadaan yang menyedihkan. Di sini kami cuba menyalurkan bantuan hasil dana-dana yang diterima dari pihak yang ikhlas menginfakkan hartanya untuk tujuan kebajikan.


Terpencil dan Usang

Saya dengan beberapa sahabat lain telah mengunjungi sebuah kawasan perkampungan yang daif. Realitinya beginilah nasib yang menimpa rakyat malaysia di negeri Johor ini. Ketika negara megah atau dengan kata yang dipopularkan oleh umno iaitu 'gemilang' dengan sambutan merdeka di ibu negara pada 31 ogos yang lalu tetapi rakyat masih merempat di bumi sendiri.


Sebelum ini kami pernah datang ke sini untuk memberi bantuan berikutan bencana banjir yang berlaku tahun lepas. Tetapi kali ini tuan rumah telah keluar mungkin menghadiri pertandingan kompang yang kami lewati dalam perjalanan ke sini tadi.

Jika anda perasan, rumah ini dibina di gigi air. Maka tidak hairanlah bilamana hujan sedikit lebat, air sungai akan melimpah dan rumah ini akan dinaiki air.

Saya juga diberitahu bahawa keluarga ini mempunyai lima orang anak yang kesemuanya tidak bersekolah. Tiada bantuan, tiada belas kasihan, yang ada hanyalah hiburan sekali sekala di hujung minggu dengan paluan kompang anak-anak muda yang melupakan sedikit kesengsaraan hidup sebuah kampung di pinggir bandar sebuah bandaraya yang dikenali dengan nama Johor Bahru ini.

Saya kesal dengan sikap segelintir pemimpin di kampung-kampung yang pentingkan diri sendiri sehinggakan tidak sesekali cuba membela kepentingan masyarakat di bawah tanggungjawabnya. Mereka dilihat tidak ikhlas dalam menanggung jawatan yang dipegang sebaliknya menjadikan jawatan sebagai kemudahan untuk mendapatkan apa yang diingini.

Dan akhirnya tibalah masa pemimpin yang mereka sujud selama ini menyingkirkan mereka dari tanah yang mereka duduki selama ini. Atas alasan kemajuan, maka mereka diberi notis hingga hujung tahun ini dan yang pasti pampasan RM 2000 dikira sudah memadai untuk disumbatkan ke mulut penduduk di sini.


Kutip barangan kitar semula

Saya seperti tidak mempercayai wujud satu tahap di mana seorang ibu dengan anak-anaknya menolak basikal dan memunggah tong-tong sampah mencari barangan terpakai yang boleh dijadikan sumber untuk mendapat sesuap nasi. Keluarga Melayu. Betul! Melayu. Semakin layu di bawah pemerintahan melayu.

Ketika ketua negara hidup bermewah-mewah dengan jet rasmi dan kerusi empuk di mahligai air mata rakyat, namun masih ada lagi rakyat yang dibiarkan hidup melarat di bumi sendiri.

Di rumah pula, atas kekurangan pengetahuan agama, mereka membenarkan anak perempuan mereka tidur sebumbung dengan tunangnya. Saya bukanlah nak bersangka buruk tapi memandangkan bangsa melayu sekurang-kurangnya masih ada adat-adat yang wajar diikuti.


Projek Naik Taraf Masjid

Kami juga turut singgah ke sebuah masjid yang sedang dalam proses peruntuhan sebelum pembinaan semula yang dibiayai kerajaan negeri. Seperti biasa projek diberi kepada kroni dengan percent komisyen yang tertentu bagi dirinya. Ketua Wanita ini telah awal-awal lagi menyedut peruntukan dari kerajaan. Apa yang tinggal hanyalah beberapa bahagian yang akan digunakan oleh kontraktor untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan. Saya pasti kita akan lihat projek ini tidak bernilai 200 ribu akan tetapi akan menjadi seperti masjid bernilai 100 ribu sahaja (patutlah mereka berebut-rebut nak jawatan sampai bergaduh dalam mesy. bahagian).


Sumbangan Kewangan diperlukan

Buat akhirnya, saya merayu andai kiranya ada sahabat-sahabat yang ingin memberi sumbangan kepadagolongan yang benar-benar miskin dan daif di sekitar kawasan Pasir Gudang, kami amat mengalu-alukan anda. Kami percaya ramai lagi yang memerlukan bantuan dan kami akan meneruskan kerja-kerja kebajikan ini atas dasar tanggungjawab sosial dan sebagai khalifah di dunia ini.

Salurkan sedikit dari rezeki yang Allah kurniakan kepada anda ke dalam dana ini di atas nama Pas Kawasan Pasir Gudang dan Maklumkan kepada Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang, Sdr. Syed Othman di nombor 013-7511818.

Perjuangan bangsa semata-mata

Sejak awal lagi saya merasa ragu-ragu mengenai cerita yang saya terima berkenaan kekecohan yang berlaku di kawasan Pasir Gudang terutama sekali kes-kes yang melibatkan kematian dan sebagainya. Samada melalui sms atau cakap-cakap mulut dari beberapa kenalan dan rakan sekerja yang merebak dengan pantas akibat tidak usul periksa kesahihan berita tersebut.

Kesannya kita lihat telah memberi tekanan kepada seluruh masyarakat di sekitar Pasir Gudang terutama di Taman Cendana dan Kota Masai yang dikaitkan dengan beberapa kes balas dendam yang menyebabkan kematian dan kecedaraan serius. Bila ini tersebar maka ramai orang yang takut untuk keluar pada waktu malam dan menyebabkan keadaan lengang selepas jam 6ptg.

Lebih malang lagi ada yang mengambil keputusan balik kampung di samping ada juga yang membeli bekalan makanan secara borong menanti untuk menghadapi waktu malang yang 'dijanjikan'.

Taksub Bangsa

Beberapa sms palsu yang diada-adakan telah menyebabkan kerugian pada peniaga-peniaga melayu juga india. Anda cuba bayangkan bermula jam 6 petang kelibat pembeli berlegar di sekitar beberapa kompleks membeli belah semakin berkurangan. Tiba waktu gelap pula keadaan menjadi lengang.

Menurut beberapa rakan saya yang berniaga di sana mengakui perkara ini dan mereka juga kesal dengan beberapa individu yang sengaja membangkitkan semangat perkauman yang menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di sini.

Sms yang dihantar mengenai kekecohan dan kematian akibat balas dendam tidak berlaku dan polis telah pun menghantar pegawainya untuk menyiasat siapa dalang kepada propaganda ini. Hasilnya beberapa individu ditangkap dan berita penangkapan ini adalah benar berdasarkan maklumat yang saya terima bahawa sms yang dihantar dilihat sengaja membakar sentimen melayu dengan india dan ia ternyata palsu.

Pemimpin turun padang

Beberapa pemimpin pas dan umno telah hadir di Taman Cendana bertujuan mendapat gambaran sebenar perkara ini. Apa yang saya diberitahu kaum india dan melayu masih boleh duduk semeja minum kopi dan menceritakan kekesalan mereka mengenai penyebaran maklumat palsu ini.

Beberapa individu di sini juga tidak menyangkal kemungkinan berlaku campurtangan politik kotor yang mahu menjatuhkan imej seorang pemimpin dan kredibilitinya sebagai wakil kepada rakyat yang dipimpin. Masalah perebutan jawatan dan kepentingan peribadi hendaklah dijauhkan dari minda pemimpin kerana ketamakan mencari keuntungan hasil mendapat kedudukan tertinggi dalam negara adalah satu yang tidak beretika dan merugikan rakyat di bawah pimpinannya.

Islam Penyelamat Seluruh Manusia

Bagi saya, Islam telah memberi landasan yang tersusun dalam menangani isu seperti ini. Kita sebagai ummat Islam disuruh apabila menerima sesuatu berita hendaklah dilihat pada siapa yang memberitakan. Kerana barangkali orang yang memberikan laporan itu munafik.

Saya teringat seorang peguam india yang berceramah telah menyatakan bahawa, "Melayu hari ini akan selamat bila dia ikut al-Quran, masalah sekarang dia orang tak ikut...". Geli hati juga bila mengingatkan perkara ini. Yelah bayangkan orang India pun faham agama Islam ada panduan kenapa tidak melayu?

Di kelantan sebagai contoh, orang yang bukan islam dibenar minum arak tapi hanya dalam kawasan tertutup dan ini sudah pasti memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Barangkali individu yang mabuk tidak menggangu orang ramai kerana mereka diasingkan dari masyarakat yang sedang dalam keadaan pertimbangan minda yang normal. Kenapa di kelantan Islam dijadikan panduan? Kenapa tidak di Pasir Gudang? Sama-sama fikirkan.

"Saya akan cantas keturunan berjanggut!"

Semalam, Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang telah menerima aduan dari beberapa orang pekerja sebuah kilang di Pasir Gudang yang mendakwa dinafikan hak untuk menyimpan janggut dan dipaksa membaca mantera yang memuja manusia. Kegagalan mereka melakukan arahan tersebut telah menyebabkan mereka disisihkan dari tugas mereka sebagai operator mesin kepada kerja-kerja kebersihan kilang seperti mencuci tandas, membersih lantai dan sebagainya.

Sdr. Syed Othman, Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang menyatakan kekesalannya di atas perkara ini. Beliau yang menerima aduan sebelum berlangsungnya ceramah oleh Dato' Dr. Hassan Ali yang diadakan di sini malam tadi berjanji akan memberi kerjasama yang sepenuhnya dalam kes ini. Sehubungan dengan itu satu memorandum akan dikeluarkan oleh pihak beliau kepada kilang terbabit menggesa agar pihak pentadbiran mengambil tindakan ke atas pengarah kilang terbabit.

"Kami akan berdemonstrasi di hadapan kilang tersebut jika tiada apa-apa tindakan setelah memorandum diserahkan." ujar beliau.

Dato' Dr. Hassan Ali, selepas ceramahnya telah diberitahu mengenai perkara itu dan beliau menyarankan agar surat peguam perlu dikeluarkan bagi memaksa pihak pentadbiran kilang memperbetulkan keadaan.

Himpunan besar-besaran Persatuan Penduduk Felda Cahaya Baru

Semalam telah diadakan satu himpunan besar-besaran Persatuan Penduduk Felda Cahaya Baru menuntut hak pampasan hasil penjualan tanah mereka kepada syarikat Cahaya Baru Development Berhad (CBDB) yang masih tertangguh sehingga ke hari ini. Himpunan ini telah dihadiri seramai lebih kurang 400 orang yang bertempat di dataran Pekan Sri Tanjung di sini.

Keris masih jelas terhunus tetapi tiada apa yang diperjuangkan melainkan perut sendiri.

Masih lagi mengundi Barisan Nasional?

Antara resolusi yang dicapai adalah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor dan menuntut pihak kerajaan campur tangan dalam perkara ini.

En. Ahad ketika ditemuramah oleh para wartawan berkata bahawa mereka tiada jalan lain lagi setelah gagal di segi perundangan. Ini kerana syarat-syarat perjanjian yang agak kemas sehingga mereka mati akal. Beliau juga berharap pihak kerajaan campur tangan dalam hal ini.

Persoalannya, apakah penduduk felda cahaya baru tidak belajar dari pengalaman lalu? Perjuangan isu berkaitan rumah rakyat di sini pada satu ketika dulu telah membuahkan hasil. Kejayaan itu adalah hasil desakan pas dan persatuan penduduk yang bersatu ke atas kerajaan negeri ketika itu.

Apa yang diresolusikan kali ini adalah satu langkah ke belakang bila mana persatuan ini mengambil jalan menyerahkan memorandum sahaja. Mereka perlu ingat perkara ini sudah berlarutan selama lebih 10 tahun dan ini adalah suatu jangka masa yang amat lama. Mana campurtangan wakil rakyat, pemimpin umno yang mengaku memperjuangkan bangsa melayu? Di sinilah sepatutnya mereka menggunakan kuasa politik yang dimiliki pemimpin kerajaan ini.

Bagi saya, orang melayu masih lemah dalam memahami konsep politik yang sebenar di negara ini. Siapa lagi pemimpin yang kita harapkan selain pemimpin yang kita angkat dalam pilihanraya? Mereka inilah yang sepatutnya ke hadapan dalam menghadapi isu ini. Tapi apa yang kita lihat tidak sepertimana sepatutnya. Mereka hanya berdiam diri dan lena di kerusi empuk masing-masing.

Sedikit pengajaran yang boleh kita ambil dari Isu Geran Tanah di Ijok yang dituntut kaum india di sebuah estet di sana pada pilihanraya kecil lalu. Mereka bersatu untuk tidak mengundi BN jika geran tanah masih tidak diserahkan walaupun telah 10 tahun mereka hidup sebagai peneroka di situ. Mereka berjaya kerana mereka faham apa erti atau fungsi wakil rakyat yang mereka angkat menjadi pemimpin mereka.



Walaubagaimanapun, saya tidak yakin orang melayu felda cahaya baru akan berani melakukannya sebagaimana penduduk india di Ijok untuk mengubah undi yang sepatutnya diumumkan dalam resolusi himpunan ini jika minda mereka masih tertutup dengan doktrin pemikiran kuno yang mereka warisi sejak dahulu lagi.

Barang Naik (BN) Salah Siapa?

Kerajaan Umno Barisan Nasional mengetahui kenyataan apa jua yang dirancangkan dan diwartakan pasti akan memberi kesan kepada pengguna dan rakyat negara ini. Apakah mereka hanya memekakkan telinga dan membutakan mata? Tidak, cuma mereka tidak terkesan di atas apa jua perlakuan dan tindakan pengilang, pemborong dan peniaga runcit dengan menaikkan harga barang sesuka hati. Sudah tentu mereka pemimpin kerajaan (BN) berpendapatan tinggi kalau dibandingkan dengan rakyat rata-rata berpendapatan rendah. Apakah dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan dapat menyelesaikan masalah kenaikan harga barang?. Sekurang-kurangnya kakitangan kerajaan dapat menarik nafas lega di atas kenaikan gaji tetapi bagaimana beban sara hidup dengan kenaikan harga barang masa kini? Bagaimana nasib pekerja swasta, nelayan, dan sektor awam yang terasa akibat kenaikan harga barang masa kini?

Dari kenaikan harga barang hinggalah kenaikan kadar tol dan kenaikan harga minyak, sehingga hari ini memang terbukti kerajaan BN melakukan tindakan zalim terhadap rakyat. Dalam satu kajian di bawah Lajnah Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor yang memantau kenaikan harga barang. Boleh dikatakan kesemua barang dinaikkan harga. Harga minuman panas dan sejuk dinaikkan sebanyak 10 sen.

Hasil tinjauan Jawatankuasa Pengguna Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, terbuktinya di sekitar negeri Johor harga barang telah naik. Tinjauan telah dibuat di beberapa pasaraya, kedai mini, kedai runcit, dan pasar malam. Harga barang terkini adalah seperti berikut:


Barangan

Harga Sebelum

Harga Terkini

Minyak masak 5kg

RM 10.90

RM 13.20

Telur Sepapan Gred A

RM 6.70

RM 8.60

Limau Nipis (1 kg)

RM 5.90

RM 7.90

Milo (1kg)

RM 10. 40

RM 12. 90

Susu F&N

RM 1.80

RM 2.10

Kacang Panjang

RM 1.79

RM 3.00

Ayam (1kg)

RM 4.80

RM 5.80

Cili Kering (1kg)

RM 7.60

RM 8.90

Kacang Bendi (1kg)

RM 3.50

RM 4.50




Inilah sebahagian daripada barangan keperluan harian yang naik hasil dari tinjauan Lajnah Pengguna. Boleh dikatakan bahawa kesemua barang-barang dinaikkan harga. Dengan kenaikan harga barang ini tentunya akan membebankan rakyat berpendapat rendah khususnya dan rakyat amnya. Inikah hasil pembangunan yang dicanangkan. Inikah hasil pembangunan wilayah pembangunan Iskandar yang dijalankan. Adakah inibukti BN mengawal kepentingan rakyat atau ini adalah komplot jahat BN dengan pengilang dan pemborong dengan sengaja menaikkan harga barang?

Pada masa ini para peniaga bebas menaikkan harga barang. Harga sekeping roti canai di Johor adalah 90 sen dan Roti Telur RM 1.80 dan Roti Sardin RM 3. Krisis kenaikan harga barang ini berpunca selepas kenaikan harga tepung. Siapa yang harus kita salahkan? Peniaga atau Kerajaan?

Parti Karaoke Melayu Malaysia

Nama jolokan seperti ini nampak kelakar tapi memang sesuai ditujukan kepada Pemuda Umno Mersing yang berjaya menganjurkan pertandingan karaoke Perdana di Sekolah Menengah Ungku Husin Endau bulan lalu. Pemuda Pas Pasir Gudang amat kesal dengan pendekatan yang Pemuda Umno gunakan untuk menarik golongan muda menyertai umno dengan aktiviti hiburan sebegini. Kita semua perlu sedar dan memahami bahawa sesungguhnya dalam Islam, Matlamat tidak menghalalkan cara.

Lihat sajalah cara berpakaian anak-anak muda melayu yang dipupuk pemimpin yang menjadikan agama di tingkat yang kedua selepas nafsu mereka.

Dipetik dari sebuah laman web pemuda umno,

... bahawa menjadi tanggungjawab Pergerakan Pemuda UMNO untuk memberi kesedaran, keinsafan dan membimbing halatuju anak-anak muda ke jalan yang di redhai Allah.

"Anak-anak muda di sini akan dipastikan mempunyai jatidiri yang kukuh bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan negara di masa akan datang," tambahnya.

Dalam hal ini kita dapati Pemuda Umno Mersing telah gagal membentuk anak-anak muda ini dengan mengadakan hiburan yang melalaikan seperti ini. Mana mungkin mereka boleh membentuk anak-anak bangsa yang cintakan agama bilamana konsert hiburan menjadi asasnya?

Dan semalam Kementerian Pelancongan mengumumkan satu Konsert Karaoke besar-besaran yang diadakan selama 50 jam tanpa henti. Program yang akan di adakan di taman tasek titiwangsa ini jelas membuktikan budaya Karaoke yang telah menjadi kebiasaan dalam pimpinan Umno Barisan Nasional. Jadi sekarang telah terbukti di depan mata kita bahawa pemimpin Umno memang menghalalkan apa yang haram di atas tiket pelancongan, parti, melayu dan seumpamanya. Adakah ini semua bertepatan dengan konsep Islam Hadhari?

Benarkah Kos Satu Tiang Berharga RM 27,680?

Kerja-kerja memasang tiang lampu bercorak layang-layang telah dipasang di kawasan sekitar Bukit Layang-Layang bermula sejak bulan Februari yang lalu sempena meraikan Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang 2007.

Namun yang menjadi persoalan adalah harga sebuah tiang yang terlalu tinggi. Jika benar maka kerajaan negeri Johor telah melakukan satu pembaziran duit rakyat kearah perkara yang tidak perlu. Walaubagaimanapun, isu ini akan dibawa dalam dewan rakyat untuk memastikan sejauh mana kebenaran ini.

Siapa Punya Angkara?


Baru-baru ini kami dapati beberapa papan tanda cawangan Pas telah diconteng. Siapakah yang melakukannya? Dari penelitian kami ia bukanlah diconteng remaja tapi ia lebih dilakukan oleh orang yang rasa irihati pada parti Pas. Tuan-tuan lihat papan tanda berhampiran yang tidak diganggu. Kami telah pun membuat laporan polis dan pihak yang terbabit angaplah ini sebagai amaran. Jangan lakukan perbuatan kebudak-budakan seperti ini.

Marathon Bola Jaring Terlama (50 Jam) & Teramai

Umno Cawangan Tmn. Mawar sedang mengadakan pertandingan Bola Jaring yang boleh dianggap keterlaluan. Bayangkanlah bilamana anak-anak muda dibiarkan bersukan walau jam sudah menunjukkan jam 5 pagi. Memang tidak dinafikan kumpulan-kumpulan yang bertanding tidak bertanding berterusan tapi adakah wajar mereka melakukan aktiviti sukan pada malam sehingga dinihari? Adakah semata-mata hendak mengejar nama mereka tercatat dalam Malaysia Book Of Records dengan memperkudakan anak-anak muda kita yang saya yakin 80 peratus melayu Islam? Adakah Islam mengajar aktiviti sebegini? Adakah Umat Islam ingin mengikut jejak barat? Makan dan bersukan secara ekstrem?




Suka diingatkan di sini bahawa Melayu memang mudah diperbodohkan setelah terjadi isu-isu yang tidak dapat ditutup lagi seperti kes Istana Isu Datuk Zakaria Md Deros, rasuah Ketua Pengarah BPR, dan Pembunuhan Altantuya. Sudah memang sejak azali lagi politik tabir sebegini yang menjadi trend Umno dulu kini dan selamanya. Akhir sekali Melayu la mangsanya...


Melayu dilekakan dengan hiburan yang membuatkan mereka meredakan segala kesalahan yang dilakukan pemimpin mereka. Lihat saja JomHeboh di Perak yang terang-terang kufur terhadap nasihat Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria.

Isu PBT Roboh Gerai di Felda Cahaya Baru

Dewan Pemuda Pas hari ini telah bersama dengan keluarga mangsa kebiadaban PBT yang tiada toleransi ketika menjalankan tugas mereka. Mereka merobohkan gerai atas alasan pemilik yang gagal mendapatkan permit premis dari PBT.

Menurut Jamaluden, beliau telah dua kali ke pejabat PBT di pusat bandar pasir gudang namun tidak dilayan dan berlarutan sehingga sebulan. Apa yang dikesalkan di sini adalah sikap melulu pegawai yang bertugas. Mereka hanya seperti lembu yang dicucuk hidung. Bila diajak berbincang mereka seolah-olah tidak ada seorang manusia pun di depan mereka. Begitu juga pemandu jentera yang diupah entah berapa ringgit. Melayu memang patut pun dikatakan bangsa yang bodoh sebab memang tak boleh berfikir mana yang baik atau buruk.

"Saya telah pun mengajak mereka berbincang dan beri peluang bagi saya membela diri. Geran tanah yang saya tunjukkan kepada mereka dianggap seperti kertas tak laku." kata Jamaluden.


Wartawan Harakah, Sdr. Salman bersama dengan Syed Othman di lokasi perobohan di Felda Cahaya Baru.


Jamaluden juga mendakwa bahawa pihak polis menggari tanggannya seperti penjenayah dan dibawa ke balai polis.

Syed Othman menunjukkan gambar gerai yang dirobohkan yang terletak di bahu jalan menuju ke Loji Air Cahaya Baru.


Keluarga ini berharap kejadian yang menimpa mereka tidak akan berlaku kepada orang melayu yang lain. Mereka berharap kes ini akan mendapat pengadilan yang sewajarnya.

PBT Roboh Gerai Atas Tanah Milik Persendirian

Tengahari tadi Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang telah membuat laporan polis berkenaan kes PBT merobohkan premis gerai di Felda Cahaya Baru atas alasan tiada mendapat kelulusan dari mereka. Sdr. Syed Othman, Ketua Pemuda Pas Pasir Gudang telah bersama-sama dengan wartawan Harakah, Sdr. Salman mendapatkan butiran kes ini. Pemilik premis tersebut, Jamaluden B. Ali juga mengakui bahawa beliau dilayan secara tidak beretika oleh pegawai polis yang turut bersekongkol dalam perobohan gerai terbabit.




Petang ini akan diadakan press conference dengan akhbar dalam jam 3ptg ini di lokasi perobohan.

12 Jam Penguatkuasa yang tidur

Inilah pemandangan yang diterima sebagai habuan sempena hari cuti anda sebagai pekerja pada 1 Mei 2007 di kawasan Pasir Gudang. Sebuah kilang petrokimia dengan bangga dan angkuh tanpa mempedulikan kesihatan penduduk telah melepaskan asap beracun lebih 12 jam sejak 5.00 pagi sempena Hari Pekerja. Tanpa mempedulikan kesan pencemaran udara yang menggelapkan suasana Pasir Gudang,ingkar dengan piawaian alam sekitar malah pada hari yang sama hujan yang bercampur asid turun membasahi bumi Pasir Gudang, mampukah rakyat menikmati udara bersih yang berterusan? Sedarkah kita kerajaan sedang membunuh rakyat secara konspirasi? Siapakah yang memberikan lesen operasi kilang ini ?Siapakah yang membenarkan pelepasan asap sehingga 12 jam? Tahukah anda asap itu beracun? Selamatkah keluarga anda? Sihatkah anak-anak anda dengan udara sebegini? Di manakah penguatkuasaan yang amanah? Apakah rasuah menenggelamkan semua kejadian ini? Apakah jaminan kerajaan kejadian ini tidak berulang? Sila Jawab!

PEMANDANGAN 50 METER DARI LOKASI



PEMANDANGAN DARI MASJID JAMEK PASIR GUDANG

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular