Amal salih penerang kegelapan dalam kubur

Tajdid Iman
Bersama Dr Juanda Jaya

KETIKA Amirul Mukminin Khalifah Umar al-Khattab RA mengalami sakratul maut, beliau meminta kepada anaknya supaya meletakkan pipinya di atas tanah. Umar menangis sambil berkata: “Semoga Allah mengampuniku, Wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak akan hilang, kasihanilah orang yang kerajaannya hilang.”

Mati diimpikan oleh orang beriman adalah mati yang membawa kepada kehidupan baru. Hidup dalam pelukan rahmat Tuhannya. Seperti firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu menyangka bahawa orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup, di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” – Surah Ali ‘Imran: Ayat 169.

Terbunuh di jalan Allah bermakna mati syahid ketika berperang fi sabilillah. Bagaimanakah pula halnya dengan hamba Allah yang mati di atas katilnya? Yang menderita sakit atau orang mati tanpa sempat mengucapkan kata-kata perpisahan kepada keluarganya? Adakah mereka mendapat nikmat hidup di sisi Allah sama seperti orang mati syahid?

Sebenarnya mereka juga akan mendapat kenikmatan tidak kurang hebatnya berbanding saudara mereka yang syahid itu. Ini dinyatakan menerusi sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kalian mati, maka tampak kepadanya tempat tinggalnya setiap pagi dan petang. Jika ia ahli syurga maka ia termasuk penghuni syurga dan jika ia ahli neraka maka ia termasuk penghuni neraka. Lalu dikatakan: “Inilah tempat tinggalmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Umar berkata: “Perumpamaan orang mukmin saat roh dikeluarkan daripada jasadnya adalah seperti orang yang keluar dari dalam penjara ke alam bebas. Ketika dia meninggal dunia ditampakkan kepadanya kurniaan Allah dan kemuliaan-Nya yang tak pernah dilihatnya di dunia. Tentu dia tidak mahu kembali lagi ke dunia seperti dia tidak mahu kembali ke dalam perut ibunya.”

Mengaku diri tidak takut mati adalah pembohongan yang nyata. Siapa yang tidak gerun berhadapan dengan pertuduhan yang mempunyai bukti dan saksi kukuh. Tiada tipu helah yang dapat dilakukan, walaupun ketika hidup dia terkenal sebagai seorang yang petah bercakap, pandai berbelit lidah, memutar balik fakta dengan pembohongannya tetapi di alam barzah nanti, wajah mayatnya pucat itu jelas menunjukkan tiada berguna lagi lidah fasih berhujah.

Tangannya menunjukkan kuasa ketika di dunia terikat kapan sendiri. Kaki yang kukuh menginjak kepala orang miskin itu kini jadi umpan kala dan ular berbisa. Wajah yang dulu berseri hingga ramai manusia suka memandang dan memuji rosak binasa oleh semut tanah menyakitkan apabila mereka mula menggigit, mengunyah perlahan-lahan daging di tulang pipinya, berpindah ke mulut busuk lantaran suka mengumpat, naik ke tulang hidung yang sombong, kedua biji mata yang gatal dan bernafsu itu kini binasa oleh tikus tanah yang kelaparan. Tulang-tulang rusuk dihimpit bumi yang marah oleh kezaliman yang dilakukannya dahulu. Jika semua manusia boleh mendengar jeritan orang diseksa di dalam kuburnya, nescaya tiada lagi kehidupan di muka bumi ini.

Masihkah ada rasa takut lebih dahsyat daripada ketakutan melalui malam pertama di dalam kubur? Bagaimana dengan rasa sedih menghantui mayat terbuang sendirian? Di manakah isterinya, anak dan saudara mara mengasihi? Mereka tentu sibuk membahagi harta ditinggalkan. Bagaimana perasaaan lelaki mengetahui isterinya melupakan cinta mereka berdua?

Kisah cinta yang terkubur bersama jasad tiada layak untuk dicintai lagi. Bukankah ramai lelaki lain yang boleh menjadi calon penggantinya nanti? Adakah kesedihan lebih dahsyat daripada menyaksikan semua orang yang menangis itu meninggalkannya sendirian tanpa teman dan pertolongan?

Perasaan sedih dan takut boleh menggoncangkan hati siapa saja di dunia ini, tetapi kita boleh mengubat kesedihan dan mengawal ketakutan itu jika kita masih hidup.

Bagaimana jika kita sudah mati? Siapa yang akan menolong kita daripada seksaan perasaan sebegitu?

Hanya amal mampu menjadi teman ketika takut dan sedih. Mata yang membaca al-Quran, lidah yang berzikir, tangan yang bekerja kerana Allah dan kaki tegak kerana iman. Semuanya menjadi cahaya di kegelapan kubur. Di dalamnya ada pemandangan syurga ataupun neraka. Hingga ke hari kebangkitan yang dijanjikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular