Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang pada malam sambutan Merdeka yang lalu telah turun ke Tmn. Rinting untuk mengedarkan risalah yang berkaitan gejala sosial remaja hari ini. Budaya Hedonisme didapati semakin berakar di kalangan masyarakat dengan penganjuran Malam Sambutan Merdeka yang dicemari dengan konsert-konsert yang melalaikan.
Di manakah peranan kerajaan dalam menangani masyarakat yang sedang mabuk dengan hiburan yang berpanjangan sehingga melupakan tanggungjawab kepada agama dan negara? Hari ini masyarakat dahaga dengan hiburan sehingga setiap ceruk di sini mengadakan pesta mereka tersendiri. Kita lihat di Tmn. Mawar sendiri mereka mengadakan konsert band yang mengganggu keharmonian masyarakat sekeliling. Mereka tidak menghiraukan azan yang berkumandang dari surau yang berhampiran malah bermaharajalela hingga ke dinihari.
Apa yang menyedihkan lagi bilamana anak-anak muda dalam lingkungan belasan tahun mengenakan pakaian yang menjolok mata serta tidak melambangkan ciri-ciri Islam sebagai pegangan dan cara hidup. Lihatlah saja anak-anak muda ini dengan cara berpakaian yang dipengaruhi oleh budaya barat yang akhirnya kita bimbang akan membawa kepada kerosakan akhlak dan aqidah mereka. Kita inginkan bakal-bakal pemimpin yang berakhlak mulia dan bukan yang dididik dengan hiburan dan akhlak yang tercemar seperti ini.
Justeru itu Dewan Pemuda Pas di sini menyatakan tentangan terhadap program-program sebegini yang jelasnya tiada nilai di sisi masyarakat apatah lagi kepada agama. Selain dari itu kami menyeru agar pemimpin-pemimpin komuniti tidak mengambil remeh akan perkara ini dengan menganggap ianya dibolehkan dengan alasan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat. Banyak lagi pendekatan yang kita boleh gunakan contohnya kita adakan program ceramah motivasi berunsur kemasyarakatan dimana kita panggil profesional yang berwibawa yang dapat menyuntik nilai-nilai murni dalam masyarakat dan juga nilai-nilai di sebalik kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Selain itu di dalamnya kita selitkan hiburan alternatif seperti nasyid yang membawa kepada pematuhan diri kepada ajaran agama Islam.
Perlu ditekankan di sini bahawa masyarakat yang terbaik bermula dengan keluarga yang mempunyai nilai agama yang tinggi. Dalam agama kita ditekankan akan konsep tolong-menolong, berbuat baik sesama jiran tetangga, tidak mengadu-domba dan memfitnah, dan nilai-nilai insaniah lain yang amat relevan dengan masyarakat hari ini dan akan datang. Berlainan dengan konsep Hiburan Barat yang ternyata menyimpang dari matlamat hidup manusia yang semestinya membuat persediaan untuk menanti hari kematian yang mendatang pada bila-bila masa. Adakah kita akan bersedia? Tidak. Kita tidak akan bersedia jika perkara sebegini masih menjadi kebiasaan dalam masyarakat di sekitar kita. Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab dalam membentuk masyarakat di negara yang tercinta ini. Sedarlah.