Program Infaq Faqir Miskin Ramadhan 1427H


Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang dengan kerjasama dari Pas Kawasan telah menyerahkan bantuan kepada 11 keluarga faqir miskin di Tmn. Cendana pagi ini.


Sumbangan beras adalah hasil dari pembayaran fidyah dan sumbangan masyarakat di sekitar pasir gudang. Alhamdulillah dengan sumbangan dari AJK dan ahli sendiri Dewan Pemuda Pas berjaya menyerahkan kesemua barangan yang diamanahkan oleh penyumbang-penyumbang.


Golongan faqir miskin yang kami kunjungi terdiri dari ibu-ibu tunggal yang terpaksa menyara anak-anak yang ramai. Kehidupan mereka amat daif dan setiap hari terpaksa bekerja samada menolong jiran berniaga, mengambil upah menjual ikan, dan mengambil upah menjaga anak kecil. Ada di antara mereka yang sudah uzur namun mereka cekal untuk meneruskan kehidupan dengan tulang empat kerat mereka semata-mata untuk mendapatkan sesuap nasi dan menyara perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka. Sedih juga bila mendengar ada ibu tunggal yang tidak mendapat apa-apa bantuan dari pihak berwajib walaupun telah memohon.


Program ini akan diteruskan sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga usaha ini akan terus mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan kami mengalu-alukan segala sumbangan dari orang ramai yang bersimpati dengan perkara ini. Bagi pihak Dewan Pemuda, kami tidak memberi bantuan berdasarkan parti apa yang disokong tapi kepada sesiapa sahaja yang benar-benar daif dan memerlukan.


Hari Keluarga Merdeka 2006


Dewan Muslimat Pas dengan kerjasama Dewan Pemuda dan Pas Kawasan Pasir Gudang telah berjaya menganjurkan Hari Keluarga Merdeka di Pejabat Pas Cawangan Tmn. Saujana. Seramai lebih 80 orang yang terdiri daripada ahli Pas dan juga masyarakat tempatan telah hadir bersama keluarga masing-masing di dalam program tahunan ini. Di sini, kita dapat melihat bahawa komitmen muslimat Pas dalam mengukuhkan lagi ikatan ukhuwwah antara ahli jemaah dan masyarakat khususnya di kawasan Pasir Gudang.


Antara acara yang berlangsung pada hari tersebut adalah Pertandingan Futsal dengan penyertaan dari AJK Dewan Pemuda Pas dan juga golongan remaja tempatan. Selain itu, acara mencari harta karun berkeluarga juga mencuri perhatian setiap yang hadir. Di samping itu, pertandingan si kecil meniup belon terbesar juga menyerikan lagi suasana program ini. Tidak ketinggalan aktiviti untuk muslimat seperti menggubah tembikai, mengasingkan campuran beras dan kacang, dan termasuk juga pertandingan bayi comel.

Adalah diharapkan dengan kejayaan penganjuran program ini dari pihak Dewan Muslimat Pas dapat membakar semangat Dewan Pemuda dan Pas sendiri untuk lebih aktif dalam urusan kemasyarakatan sebegini yang secara tidak langsung menolak pandangan umum mengenai persoalan kemampuan Muslimat Pas dalam perjuangan Islam yang suci ini.

Edar Risalah Malam Merdeka 2006


Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang pada malam sambutan Merdeka yang lalu telah turun ke Tmn. Rinting untuk mengedarkan risalah yang berkaitan gejala sosial remaja hari ini. Budaya Hedonisme didapati semakin berakar di kalangan masyarakat dengan penganjuran Malam Sambutan Merdeka yang dicemari dengan konsert-konsert yang melalaikan.

Di manakah peranan kerajaan dalam menangani masyarakat yang sedang mabuk dengan hiburan yang berpanjangan sehingga melupakan tanggungjawab kepada agama dan negara? Hari ini masyarakat dahaga dengan hiburan sehingga setiap ceruk di sini mengadakan pesta mereka tersendiri. Kita lihat di Tmn. Mawar sendiri mereka mengadakan konsert band yang mengganggu keharmonian masyarakat sekeliling. Mereka tidak menghiraukan azan yang berkumandang dari surau yang berhampiran malah bermaharajalela hingga ke dinihari.

Apa yang menyedihkan lagi bilamana anak-anak muda dalam lingkungan belasan tahun mengenakan pakaian yang menjolok mata serta tidak melambangkan ciri-ciri Islam sebagai pegangan dan cara hidup. Lihatlah saja anak-anak muda ini dengan cara berpakaian yang dipengaruhi oleh budaya barat yang akhirnya kita bimbang akan membawa kepada kerosakan akhlak dan aqidah mereka. Kita inginkan bakal-bakal pemimpin yang berakhlak mulia dan bukan yang dididik dengan hiburan dan akhlak yang tercemar seperti ini.

Justeru itu Dewan Pemuda Pas di sini menyatakan tentangan terhadap program-program sebegini yang jelasnya tiada nilai di sisi masyarakat apatah lagi kepada agama. Selain dari itu kami menyeru agar pemimpin-pemimpin komuniti tidak mengambil remeh akan perkara ini dengan menganggap ianya dibolehkan dengan alasan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat. Banyak lagi pendekatan yang kita boleh gunakan contohnya kita adakan program ceramah motivasi berunsur kemasyarakatan dimana kita panggil profesional yang berwibawa yang dapat menyuntik nilai-nilai murni dalam masyarakat dan juga nilai-nilai di sebalik kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Selain itu di dalamnya kita selitkan hiburan alternatif seperti nasyid yang membawa kepada pematuhan diri kepada ajaran agama Islam.

Perlu ditekankan di sini bahawa masyarakat yang terbaik bermula dengan keluarga yang mempunyai nilai agama yang tinggi. Dalam agama kita ditekankan akan konsep tolong-menolong, berbuat baik sesama jiran tetangga, tidak mengadu-domba dan memfitnah, dan nilai-nilai insaniah lain yang amat relevan dengan masyarakat hari ini dan akan datang. Berlainan dengan konsep Hiburan Barat yang ternyata menyimpang dari matlamat hidup manusia yang semestinya membuat persediaan untuk menanti hari kematian yang mendatang pada bila-bila masa. Adakah kita akan bersedia? Tidak. Kita tidak akan bersedia jika perkara sebegini masih menjadi kebiasaan dalam masyarakat di sekitar kita. Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab dalam membentuk masyarakat di negara yang tercinta ini. Sedarlah.

Himpunan Umat Islam Membantah Forum Kumpulan Artikel 11 Di Johor Bahru


Johor Bahru: Seramai 500 umat Islam berdemonstrasi di hadapan Hotel Selesa pada 22/7/2006 membantah seminar IFC yang diadakan di hadapat hotel tersebut.

Ulasan:Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang berasa kesal dimanakah sensitiviti umat Islam seluruh negeri Johor ketika seminar yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam di anjurkan di Negeri Johor. Ini kerana bantahan seminar tersebut hanya disertai 500 orang sahaja. Mengikut fakta jumla umat Islam di Pasir Gudang sahaja, hampir 18, 000 orang. Dimanakah umat Islam ini? Adakah mereka tidak sensitif dengan isu ini? Ataupun kerja ini hanya layak dibuat oleh orang PAS sahaja?



Pada 21/7/2006 Dewan Pemuda PAS bersama sdr Mazlan Aliman selaku Naib Ketua Pemuda Pas Pusat telah membuat laporan polis terhadap kumpulan Artikel 11 yang mendesak supaya kumpulan ini membatalkan progam mereka yang bakal diadakan pada tarikh 22/7/2006 di Hotel Selesa. Kumpulan ini cuba menyentuh hal urusan Umat Islam dan kita bimbing akan mencetus huru-hara. Persoalannya kenapa berita ini hanya diterbitkan di akhbar berbahasa Cina sahaja? Di manakah akhbar-akhbar lain seperti Utusan Malaysia, Berita Harian? Adakah mereka tidak perihatin dengan isu ini sedangkan mereka ini adalah dikalangan umat Islam.














Sekapur Sirih

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang dapat melancarkan blog ini dengan jayanya hasil sokongan daripada sahabat-sahabat. Dengan adanya blog ini maka hasrat Dewan Pemuda untuk memaparkan isu-isu semasa khususnya yang berlaku di Pasir Gudang. Blog ini amat penting bagi menyampaikan maklumat -maklumat yang selama ini tidak dipaparkan di Media. Selama ini kita menganggap bahawa Pasir Gudang merupakan kawasan yang tidak pernah menghadapi sebarang masalah sedangkan tedapat beberapa isu yang akan kami (Dewan Pemuda) akan dedahkan kepada masyarakat umum demi kebaikan bersama.

Kami juga mengalu-alukan anda memberi sebarang maklumat yang berlaku di sekitar Kawasan Pasir Gudang. Semoga dengan adanya blog ini masyarakat luar akan mendapat maklumat terkini dan memantapkan lagi perjuangan Parti Islam Se-Malaysia dalam membela agama suci Islam.

Sekian,

Syed Othman,
Exco Hal Ehwal Pengguna
Dewan Pemuda Pas Johor
Merangkap Ketua Dewan Pemuda Pas
Kawasan Pasir Gudang,

* Sebarang pertanyaan atau cadangan bolehlah dihantarkan kepada Ketua Dewan Pemuda melalui email (
dppkpg@gmail.com) atau boleh terus telefon atau smskan ke no 013-7511818. Sumbangan anda didahulukan dengan ucapan terima kasih.


Penggunaan Aplikasi Multimedia

Untuk melayari bahagian audio dan video di laman ini, anda perlu menginstall Flash Player.

Pasang Flash Player disini.






Player ini adalah copyright Adobe. Untuk maklumat lanjut layari http://www.adobe.com

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular