Seksa berpanjangan orang kampung di Johor

"

Penduduk Kampung Lintang Satu, Parit Sulong, terpaksa berhadapan pencemaran udara dan bunyi yang didakwa dihasilkan kilang kayu yang beroperasi 24 jam sejak tujuh tahun lalu. Apa yang pelik bagaimana kilang kayu ini boleh dibenarkan beroperasi di kawasan padat penempatan penduduk. Kilang terbabit beroperasi 24 jam menyebabkan anak kami sukar mengulang kaji pelajaran, malah kadangkala tidur kami turut terganggu dengan bunyi bising yang boleh didengar sehingga satu kilometer jauhnya


************************

Berita Harian 21 Jun 2010

JAS sah pencemaran udara, bunyi di Kampung Lintang Satu Separap, Parit Sulong melebihi tahap dibenarkan

BATU PAHAT: Lebih 143 penduduk Kampung Lintang Satu, Separap, Parit Sulong, di sini terpaksa berhadapan pencemaran udara dan bunyi yang didakwa dihasilkan kilang kayu yang beroperasi 24 jam sejak tujuh tahun lalu di Taman Perindustrian Sri Sulong.

Kedudukan kilang kayu berkenaan juga tidak sampai 150 meter daripada sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di persimpangan masuk kampung berkenaan.

Tinjauan Edisi Johor ke kawasan kampung berkenaan mendapati, bukan saja kedudukan kilang berkenaan terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk iaitu beberapa kampung serta taman perumahan, malah hanya separuh kawasan kilang berkenaan yang dilitupi jaring habuk seperti diarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Malah, pemeriksaan yang dilakukan JAS turut mendapati pencemaran udara dan bunyi yang dihasilkan kilang berkenaan melebihi tahap dibenarkan dan difahamkan agensi berkenaan juga sudah mengambil tindakan termasuk mengkompaun kilang terbabit.

Seorang penduduk yang juga pengusaha kebun kelapa sawit, Hamdan Surani, 47, yang rumahnya tidak sampai 150 meter dari kilang kayu berkenaan, berkata keluarganya paling terseksa dan menderita berikutan kedudukan kilang berkenaan yang terlalu hampir dengan rumah mereka.

"Masalah habuk masih lagi boleh dihadapi keluarga kami tetapi apa yang kami tidak tahan adalah masalah bunyi mesin yang terlalu kuat dan membingitkan, adakalanya sepanjang masa sehingga mengganggu ketenteraman keluarga saya.

"Kilang terbabit beroperasi 24 jam menyebabkan anak kami sukar mengulang kaji pelajaran, terutama pada waktu malam, malah kadangkala tidur kami turut terganggu dengan bunyi bising yang boleh didengar sehingga satu kilometer jauhnya.

"Aduan sudah dibuat kepada JAS dan agensi berkenaan turut mengakui yang kilang berkenaan melanggar had pencemaran terutama bunyi yang ditetapkan apatah lagi kilang mereka terlalu hampir dengan rumah penduduk, apa yang pelik bagaimana kilang kayu ini boleh dibenarkan beroperasi di kawasan padat penempatan penduduk," dakwanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Separap, Parit Sulong, Mohd Zainuddin Abdul Samad, berkata penduduk kampung sering mengadu kepadanya mengenai kilang berkenaan yang beroperasi sehingga hampir 24 jam dan mengeluarkan bunyi terlalu bising sepanjang masa.

"Mereka sudah bosan kerana pencemaran yang berlaku terutama bunyi terlalu bising dikeluarkan mesin di kilang kayu berkenaan menjadi rutin harian mereka sehingga menjejaskan kualiti kehidupan.

"JAS juga sudah maklum dengan masalah ini dan difahamkan mereka sudah mengambil tindakan malah wakil kilang terbabit turut menemui penduduk kampung bagi mendengar sendiri keluhan tetapi masalah ini masih berlanjutan menghantui mereka. "

Saya berharap kilang berkenaan dapat dipindahkan berikutan industri berat seperti kilang kayu tidak sesuai didirikan di kawasan terlalu hampir dengan penempatan penduduk kampung apatah penduduk kampung lebih dulu menghuni kawasan ini daripada kilang itu, justeru mereka perlu beralah," katanya.

amkns

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular