PEMBATALAN LESEN JUDI-BENARKAH DENGAR PENDAPAT RAKYAT?

Keputusan kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Dato’Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik harus dipersoalkan keikhlasannya.

Ini kerana Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) berpendapat bahawa hal-hal berkaitan judi ini telah ada nas yang jelas dan pasti berdasarkan ayat Surah Al Maaidah ayat 90. Oleh itu tidak perlu perkara ini dibincangkan atau ditimbang-timbangkan. Kenapa hanya judi sahaja yang dipertimbangkan sedangkan ISA, Hudud, rasuah, arak, aurat, pusat maksiat yang semakin membiak di negara ini tidak dibincangkan dalam konteks agama. Kemudiannya DPPP juga mempersoalkan sejak bila kerajaan UMNO/BN mempertimbangkan sesuatu perkara mengambil kira pendapat rakyat sedangkan sebelum ini mengapa tidak pernah mendengar akan rintihan rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya.

Lagipun keputusan yang diumumkan oleh PM hanya dibuat selepas mesyuarat MT UMNO. UMNO bukannya sebuah kerajaan tetapi hanya satu parti politik yang bergabung dengan parti –parti lain di dalam BN membentuk kerajaan. Sejak bila mesyuarat MT menentukan polisi negara? Besarkah kuasa MT UMNO? Kemana perginya kabinet kerajaan Malaysia?

Jelas disini kerajaan semakin takut akan kebangkitan rakyat yang begitu memarahi kerajaan UMNO/BN yang suka bertindak mengikut penilaian politik tanpa memikirkan akibatnya kepada rakyat marhaen. DPPP mencabar agar kerajaan juga menyatakan pendirian mereka berkaitan hal-hal yang lain yang lebih memerlukan pendapat rakyat. Jangan hanya berpura-pura untuk mengambil hati rakyat demi ‘survival’ politik sahaja. PM juga disaran agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan atau membuat sesuatu keputusan tanpa membelakangkan kabinet kerajaan Malaysia kerana yang memerintah bukannya parti UMNO.

Disediakan oleh

UST. AZMAN SHAPAWI ABD.RANI

Timb. KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Kerajaan cuba sembunyi isu JI

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik isu Jemaah Islamiah (JI) yang ditimbulkan baru-baru ini apabila meminta pihak polis merahsiakan segala maklumat mengenai isu itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak di dalam kamar usulnya mengenai JI yang dihantar minggu lalu atas alasan ianya telah dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) minggu lalu.

Katanya, kedua-dua kementerian itu tidak menjawab isu sebenar mengenai dakwaan wujudnya anggota JI di negara ini.

"Saya merasakan jawapan itu tidak langsung menjawab isu pokok yang sebenarnya yang mana kenyataan terkini menteri dalam negeri iaitu meminta polis merahsiakan maklumat mengenai JI ini. Apa yang nak dirahsiakan? Kalau dia merahsiakan ini apa muslihatnya?" katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini juga berkata, tindakan kerajaan menyembunyikan isu itu dan mendakwa beberapa tokoh ulama di negara ini terlibat dengan JI semakin menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat.

Dakwaan itu juga, katanya akan menjejaskan iklim pelaburan negara dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kerajaan perlu mendedahkan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa apakah benar negara ini menghadapi ancaman JI. Dalam taklimat sebelum ini Ketua Polis Negara mengaitkan fahaman Wahabi, Salafi, dengan JI dengan keganasan yang tidak ada asas langsung.

“Kemudian mengaitkan pula beberapa tokoh ulama seperti Dr Asri dan Ahli Parlimen Marang. Ini akan terus menjadikan isu ini sebagai polemik yang sangat berbahaya kepada keselamatan negara dan juga kepada iklim pelaburan dalam negara kita," katanya.

Justeru, beliau sangat kecewa dengan penolakan usul itu kerana berpandangan Parlimen merupakan tempat terbaik untuk membincangkan isu itu.

"Sebab itu saya minta usul ini dibahaskan supaya ia dapat dijelaskan dalam tempat yang paling berautoriti dan sekaligus dapat menjawab persoalan yang menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat sama ada Malaysia atau peringkat antarabangsa dan iklim pelaburan antarabangsa sangat bergantung kepada kestabilan politik negara kita. Oleh itu, mesti diperjelaskan,” ujarnya.

Beliau juga mencabar kerajaan membawa isu itu ke mahkamah jika benar dakwaan mereka itu.

"Kalau ada bukti mengenai JI ini bawalah ke mahkamah untuk diambil tindakan. PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan keganasan termasuk saya sendiri," katanya.\

Hazayani Zakaria

Felda saman tak jawab soalan

Tindakkan kerajaan dan Felda nak saman akhbar suara keadilan dan beberapa induvidu atas isu yang dilaporkan adalah sesuatu yang mengejutkan.Rakyat kususnya Peneroka Felda sedang menanti penjelasan dan jawapan yang meyakinkan terhadap dakwaan atas isu isu yang berkaitan dengan pengurusan perbelanjaan wang felda sehingga rizab tunai merosot begitu teruk sekali

Rakyat ingin mengetahui apakah semenjak 2004 hingga 2009 felda tak menerima apa apa bayaran kedalam akaun felda.Rakyat nak jawapan dari kerajaan dan Felda tentang rm2 bilion yang dikatakan salah satu punca susut tunai felda.Yb. Ahmad Maslan Timbalan Menteri yang jaga felda beritahu bahawa ianya digunakan untuk bantuan tanam semula.Sedangkan semua peneroka tahu itu adalah wang hasil tabungan peneroka untuk tujuan tanam semula.Rakyat dan peneroka menanti penjelasan kenapa lembaga pengarah tidak dirujuk untuk kelulusan pembelian menara felda dari syarikat Naza.Sebaliknya kerajaan hanya mampu jawab ini fitnah,felda adalah syarikat kerajaan takkan tergamak nak tipu melayu.Itu lah sahaja yang diungkap oilh pemimpin kerajaan umno/Bn.

Sejak menjawat PM Malaysia Najib tidak mengambil langkah membersih dirinya dari segala dakwaan yang dilemparkan padanya scorpine,Altantuya,judi bola dan kini felda dan banyak lagi skandal yang melibatkan beliau dan memburukkan nama baik Malaysia.

Kegagalan kerajaan memberi penjelasan memerlukan satu siasatan menyeluruh yang dikendalikan olih suatu jawatankuasa siasatan bebas dibawah Parlimen Malaysia perlu dibentuk dengan segera demi untuk menyelamat institusi felda yang dibangunkan atas keringat dan tulang empat kerat peneroka.

YB Dato' Mahfuz Omar

Bila Dr Mahathir tidak belajar sejarah

Saya tak pasti kitab sejarah mana yang Tun Dr. Mahathir baca apabila beliau berkata Pas yang tertubuh hari ini diasaskan oleh bekas ulama yang sebelum ini berada di dalam Umno.

Beliau berkata demikian sebagai menghangatkan spekulasi penyertaan 100 'ulama' yang akan masuk secara borong ke dalam Umno esok.

Untuk makluman Dr. Mahathir sewaktu mengambil subjek sejarah di sekolah dahulu saya tidak pernah dapat gred A- ke bawah.

Minat dalam subjek sejarah menyebabkan saya membuat pengkhususan dalam subjek sejarah semasa di universiti walaupun kerjaya saya sekarang tidak lagi berkaitan dengan subjek sejarah.
Bukan nak bangga diri tetapi sekadar nak beritahu bahawa beliau mungkin boleh kelentong penyokong Umno tegar tetapi bukan generasi seperti saya.

Tidak pernah pun saya terbaca dalam mana-mana kitab sejarah bahawa tokoh-tokoh terulung yang mengasaskan penubuhan Pas seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Dr. Burhanudin Al Helmy,Dr. Hj Abbas Alias Ustaz Ahmad Fuad dan ramai lagi yang mengisi borang menjadi ahli Umno.

Mereka terdiri daripada golongan yang mendapat didikan di Timur Tengah yang digelar sebagai Kaum Muda yang berjuang secara konsisten menentang penjajah British.

Mereka mengasaskan institusi pendidikan untuk mendidik anak bangsa tentang Islam sebenar seperti Ehya Al sharif di Gunung semanggol yang disifatkan oleh British sebagai 'bahaya dari gunung'.

Kronologi kisahnya panjang tetapi sehingga hari ini tokoh-tokoh ulama yang mengasaskan Pas tidak sama sekali 'kebulur' untuk menjadi ahli Umno.

Apa yang saya tahu adalah beberapa pimpinan dan tokoh Pas yang menyertai Umno seperti Ustaz Nakhaie Ahmad yang kini menjadi 'ulama besar' bertaraf mursyidul am dalam Umno.

Hari ini 'ulama-ulama' yang ada dalam Umno merupakan golongan yang tercicir dari jalan dakwah serta mereka yang terpesona atau terpedaya dengan habuan yang ditawarkan oleh Umno dengan cuba mencari jalan pintas dalam perjuangan tanpa memahami sirah sebenar perjuangan yang dibawa Nabi SAW.

Pas memang dikenali tidak pernah tandus tokoh-tokoh ulama yang sentiasa bersilih ganti untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Islam. Maka Umno yang gerun dengan sokongan padu ulama-ulama muda cuba mencari jalan untuk 'mengislamkan' Umno. Antaranya ditubuhkan ILIM ( Institut latihan Islam Malaysia).

Tetapi sayangnya pusat latihan seperti ILIM ini gagal menyaingi sistem tarbiyyah sudah bertapak sekian lama dalam Pas. Maka lahirlah golongan 'ulama' dari ILIM yang hanya pandai membodek dan mengampu pemimpin Umno seperti Zamihan Mat Zin yang membuat tuduhan bangang bahawa Presiden Pas terlibat dengan JI.

Sebenarnya 'ulama-ulama' Umno seperti Zamihan dan yang sewaktu dengannya bukan akan menguatkan dan membawa imej Islam dalam Umno tetapi sebenarnya menyebabkan Umno terus dipersenda dengan imej Islam 1Malaysia misalnya 'fatwa' menghalakan kerjasama dengan APCO milik Yahudi dan begitu kemaruk hendak meluluskan lesen judi bola.

Angkasanuri

JI, militan: Penutup tempayan budu kerajaan

Awal millenium, pasca kekalahan besar parti pemerintah di dua negeri Pantai Timur selepas ditiup gelombang reformasi, desas desus militan bakal mengamuk timbul. Heboh diperkatakan di seluruh tanah air, dada-dada akhbar terpampang tajuk-tajuk dengan tulisan gemuk hitam. Sekolah Agama Rakyat (SAR) menjadi mangsa tuduhan yang tidak berasas itu.

Tidak sedikit guru-guru dari SAR berpindah khemah mendaftarkan diri ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak sedikit juga jumlahnya pelajar yang sedang khusyuk dilentur dan diasuh di bawah teduhan atap zink lusuh yang menjadi atap SAR dipindahkan ke sekolah kementerian oleh ibu bapa yang melatah dengan isu tersebut. Yayasan Islam Kelantan bagaikan lumpuh seketika. Gergasi pendidikan Kelantan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan juga merasai tempias itu. Saya yang masih berada di pondok tahfiz juga tidak terkecuali. Sanak-saudara yang 'nipis akidahnya' mendesak ibu agar memindahkan sahaja saya dari 'pondok militan' ke sekolah kementerian.

Tangkapan ISA dikenakan kepada beberapa individu yang tidak berdosa. Kebanyakan mereka adalah pimpinan mahasiswa dan pelajar lepasan Timur Tengah. Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz adalah salah seorang mangsanya.

Itu kisah awal Millenium. Kisah selepas parti pemerintah terdesak dengan kekalahan besar di dua negeri. Kisah selepas gelombang reformasi menggegarkan kerusi empuk memanda Perdana Menteri.

Kisah hari ini

Awal 2009, seorang MP Pakatan Rakyat mendedahkan adanya benih-benih idea dan pemikiran Israel dalam pentadbiran negara. Pembuktian dan pembongkaran bermula dengan proses pembelian Jet Sukhoi, krisis helikopter Nuri, kapal selam dan beberapa lawatan pimpinan negara ke Amerika Syarikat serta pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Ehud Barak, pemimpin kerajaan haram Israel pada Jun 2009 di Perancis.

Hasil dari itu, satu gerakan besar-besaran dijalankan untuk membasuh [baca: menutup] tuduhan itu. Kursus-kursus seliaan kerajaan [parti kerajaan] pastinya akan mendoktrinkan pemahaman yang tidak menyenangkan kepada para peserta. Saya teringat sebuah kursus yang saya hadiri di sebuah negeri Pantai Barat. Fasilitator mencucuk jarum kebangsaan dan menayangkan klip-klip video 'kajian' yang membuktikan bahawa beberapa orang figur parti oposisi berkait langsung dengan Yahudi, zionis, Israel serta Amerika.

Saya tak suka dicucuk hidung. Saya lebih suka mengkaji sendiri. Mencucuk hidung saya bermaksud mengajar saya untuk memusuhi anda!

Beberapa bulan kemudian, satu kenyataan yang mengejutkan semua pihak dibuat oleh MP PR tersebut. Malaysia telah melantik Israel melalui proksinya Apco Worldwide melalui Ethos Consulting untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara tertentu. Kenyataan itu seakan terbukti benar apabila PM melancarkan slogan One Malaysia yang dikaitkan langsung dengan One Israel tidak lama sebelum itu. Selesai.

Sebulan yang lepas, 29 Mei 2010. Lebih sepuluh rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa selepas Kapal Mavi Marmara diserang secara haram lagi zalim oleh tentera Israel. Beberapa hari kemudian, tangkapan kedua dibuat selepas Kapal Rachel Corrie ditahan dengan cara yang sama oleh tentera Israel. Kedua-dua kapal tersebut sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Serangan dan penangkapan itu mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia. Malaysia agak malu-malu menyatakan kutukan. Amerika pula mengambil masa lebih 10 jam untuk menyatakan pendirian. Tak seperti negara-negara lain yang lebih awal menyatakan pendirian penentangan terhadap serangan tersebut. Lebih menjanggalkan, kedua-dua kapal yang diserang dan ditawan serta dirampas Israel itu dinaiki sama oleh rakyat Malaysia!

Lebih menghairankan lagi, tidak sampai sebulan selepas serangan Israel ke atas Kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie, Malaysia mengisytiharkan perang ke atas Jemaah Islam dan militan di Malaysia. Beberapa individu penting terlibat dengan tuduhan sembrono termasuk Dr. Asri, Dr. Juanda dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Saya berkira-kira, apakah tujuannya isu JI dan militan ini dibongkar semula secara besar-besaran? Dua jawapan bermain di kepala. Ia sama ada kerana mendapat nasihat dari Israel melalui Apco mahupun Amerika disebabkan ketegasan sesetengah rakyat Malaysia dalam isu kezaliman Israel ke atas Gaza ataupun sebagai penutup isu-isu besar yang sedang berlegar di minda rakyat Malaysia hari ini. Isu Apco, kerugian Felda, kerugian telaga blok M dan L, enjin jet, kapal selam, rampasan royalti Kelantan, kewangan defisit negara, kezaliman polis serta judi bola dan pelbagai isu-isu lain. Justeru, jangan mudah tenggelam dengan isu JI dan militan.

Namun, persoalan seterusnya timbul, siapa militan...? Siapa pula JI...? Militan dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:

- Bersedia untuk berjuang.

- Bersemangat dan jati diri yang tinggi.

- Aktif dalam perjuangan.

Maka, saya juga ingin mengaku sebagai militan kerana saya bersemangat, saya sememangnya sentiasa aktif berjuang di dalam dakwah Islam dan saya mempunyai jati diri yang tinggi. Saya juga ahli Jemaah Islam kerana saya adalah muslim yang tegar dengan syahadah dan aqidah. Saya thabat dengan Islam sebagai deen dan perlembagaan hidup. Apakah saya juga akan ditangkap...?

Namun di sudut lain pula, andai skrip di awal millenium digunapakai pada hari ini, maka sasarannya adalah golongan agama. Sekolah agama, pelajar agama, persatuan agama, guru agama dan institusi agama dan institusi ulama.

Maka, bersiap sedialah wahai golongan yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup, anda mungkin termasuk dalam senarai JI atau militan di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Para pimpinan dan penggerak Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya perlu bersedia. Para pimpinan mahasisawa dan Persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus juga perlu berhati-hati. NGO-NGO Islam juga harus beringat-ingat. Pelajar-pelajar Timur Tengah juga tidak akan ketinggalan. Mesir, Syria, Jordan, Saudi, Yaman dan yang sewaktu dengannya. Tidak kurang juga kepada rakan-rakan yang berorganisasi [militansi?] dengan cara Islam di negara-negara Eropah. Anda semua mungkin sasaran Israel!!

Anda akan dijadikan penutup tempayan budu yang berulat kerajaan. Menutup isu-isu besar negara dari pandangan rakyat bawahan.

Hasanhusaini,

Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Seksa berpanjangan orang kampung di Johor

"

Penduduk Kampung Lintang Satu, Parit Sulong, terpaksa berhadapan pencemaran udara dan bunyi yang didakwa dihasilkan kilang kayu yang beroperasi 24 jam sejak tujuh tahun lalu. Apa yang pelik bagaimana kilang kayu ini boleh dibenarkan beroperasi di kawasan padat penempatan penduduk. Kilang terbabit beroperasi 24 jam menyebabkan anak kami sukar mengulang kaji pelajaran, malah kadangkala tidur kami turut terganggu dengan bunyi bising yang boleh didengar sehingga satu kilometer jauhnya


************************

Berita Harian 21 Jun 2010

JAS sah pencemaran udara, bunyi di Kampung Lintang Satu Separap, Parit Sulong melebihi tahap dibenarkan

BATU PAHAT: Lebih 143 penduduk Kampung Lintang Satu, Separap, Parit Sulong, di sini terpaksa berhadapan pencemaran udara dan bunyi yang didakwa dihasilkan kilang kayu yang beroperasi 24 jam sejak tujuh tahun lalu di Taman Perindustrian Sri Sulong.

Kedudukan kilang kayu berkenaan juga tidak sampai 150 meter daripada sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di persimpangan masuk kampung berkenaan.

Tinjauan Edisi Johor ke kawasan kampung berkenaan mendapati, bukan saja kedudukan kilang berkenaan terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk iaitu beberapa kampung serta taman perumahan, malah hanya separuh kawasan kilang berkenaan yang dilitupi jaring habuk seperti diarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Malah, pemeriksaan yang dilakukan JAS turut mendapati pencemaran udara dan bunyi yang dihasilkan kilang berkenaan melebihi tahap dibenarkan dan difahamkan agensi berkenaan juga sudah mengambil tindakan termasuk mengkompaun kilang terbabit.

Seorang penduduk yang juga pengusaha kebun kelapa sawit, Hamdan Surani, 47, yang rumahnya tidak sampai 150 meter dari kilang kayu berkenaan, berkata keluarganya paling terseksa dan menderita berikutan kedudukan kilang berkenaan yang terlalu hampir dengan rumah mereka.

"Masalah habuk masih lagi boleh dihadapi keluarga kami tetapi apa yang kami tidak tahan adalah masalah bunyi mesin yang terlalu kuat dan membingitkan, adakalanya sepanjang masa sehingga mengganggu ketenteraman keluarga saya.

"Kilang terbabit beroperasi 24 jam menyebabkan anak kami sukar mengulang kaji pelajaran, terutama pada waktu malam, malah kadangkala tidur kami turut terganggu dengan bunyi bising yang boleh didengar sehingga satu kilometer jauhnya.

"Aduan sudah dibuat kepada JAS dan agensi berkenaan turut mengakui yang kilang berkenaan melanggar had pencemaran terutama bunyi yang ditetapkan apatah lagi kilang mereka terlalu hampir dengan rumah penduduk, apa yang pelik bagaimana kilang kayu ini boleh dibenarkan beroperasi di kawasan padat penempatan penduduk," dakwanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Separap, Parit Sulong, Mohd Zainuddin Abdul Samad, berkata penduduk kampung sering mengadu kepadanya mengenai kilang berkenaan yang beroperasi sehingga hampir 24 jam dan mengeluarkan bunyi terlalu bising sepanjang masa.

"Mereka sudah bosan kerana pencemaran yang berlaku terutama bunyi terlalu bising dikeluarkan mesin di kilang kayu berkenaan menjadi rutin harian mereka sehingga menjejaskan kualiti kehidupan.

"JAS juga sudah maklum dengan masalah ini dan difahamkan mereka sudah mengambil tindakan malah wakil kilang terbabit turut menemui penduduk kampung bagi mendengar sendiri keluhan tetapi masalah ini masih berlanjutan menghantui mereka. "

Saya berharap kilang berkenaan dapat dipindahkan berikutan industri berat seperti kilang kayu tidak sesuai didirikan di kawasan terlalu hampir dengan penempatan penduduk kampung apatah penduduk kampung lebih dulu menghuni kawasan ini daripada kilang itu, justeru mereka perlu beralah," katanya.

amkns

Bajet Rmk:10 Tidak Mesra Anak Muda

Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM), Mohd Hafez Sabri pihaknya melihat bajet yang dibentangkan oleh Perdana Mentieri Malaysia tidak mesra anak muda.

Menurut beliau berdasarkan rancangan Malaysia ke-10 ini, dilihat kurang mesra terhadap anak muda dan golongan belia. Ini kerana golongan anak muda merupakan bakal komposisi terbesar yang akan menggerakkan agenda besar dalm menerajui masa depan Malaysia.. Antara perkara yang disebutkan Perdana Menteri dalam RMK-10 ialah berkaitan menjadikan Putrajaya sebagai pusat aktiviti dan program yang bermanfaat dan bersesuaian.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia agar memperincikan dan memberikan peranan anak muda dalam RMK-10. Kini, dianggarkan 25% penduduk Malaysia adalah daripada generasi muda dan bilangan ini semakin meningkat menjelang 2013. Bersesuaian dengan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti,generasi muda semestinya harus berperanan dalm mencorak keadilan sosial dan ekonomi beridentitikan acuan Malaysia.

Oleh itu, IPMM melalui badan penyelidikan dan strategiknya mencadang beberapa langkah yang perlu dititiberatkan oleh kerajaan, iaitu

1. Memastikan jaminan pendapatan asas dan minima

2. Menggalakkan golongan belia untuk lebih terkehadapan dalam membahaskan polisi ekonomi secara efektif.

3. Menyediakan saluran penambahbaikan dan postmortem perjalanan belanjawan perlu diwujudkan dalam memastikan ketelusan kewangan.

Sementara itu menurut Pengarah Hubungan Luar dan Antarabangsa IPMM, Saudara Abd. Rahman Jabir memuji tindakan kerajaan untuk meningkatkan keluaran pekerja yang berkemahiran tinggi menuju kepada rakyat berpendapatan tinggi.Beliau mencadangkan agar anak muda yang tinggal di luar bandar diberikan peluang untuk mendapat bimbingan dan pengiktirafan kemahiran mereka. Langkah ini, akan menyebabkan tenaga anak tempatan dapat digunapakai dalam sektor pembangunan kelak. Selain itu, ia secara terus dapat mengurangkan pekerja asing.

IPMM meminta agar pemerintah tidak membiarkan negara terus selesa dengan tidak berbuat apa-apa untuk meningkatkan keupayaan ekonomi serantau dan umat Islam. Ia boleh disalurkan melalui perkongsian pengetahuan dan latihan kemahiran agar kesatuan ekonomi dapat diwujudkan. Tambahan pula, ia bermanfaat dalam menawarkan alternatif jaringan ekonomi yang kukuh sebagai usaha mengelakkan pergantungan kepada produk Barat.

Hafez Sabri

Pengganas: PAS tuntut kerajaan, PDRM, Zamihan mohon maaf

PAS menuntut kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Zamihan Mat Zin, meminta maaf kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan pengganas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata pihak polis perlulah melengkapkan siasatan sebelum tuduhan sebegitu dijadikan bahan taklimat atau membuat sebarang pendakwaan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti mereka yang terbabit.

PAS, katanya tidak mahu imej polis terus tercemar kerana cara kerja yang tidak profesional.

“PAS mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu. PAS memandang serius dakwaan ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Malaysiakini, Zamihan sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) mendakwa kononnya Tuan Guru Abdul Hadi bersama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan menteri besar, Datuk Seri Shahidan Kassim adalah pengganas dalam taklimatnya.

Justeru, PAS katanya amat mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan Wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah pengganas.

“PAS melihat bahawa fitnah ini sengaja dicipta bagi memberikan imej buruk kepada beliau dan PAS. Perkara ini bukan kali pertama,” katanya lagi.

Menurutnya, pada tahun lepas Mossad memfitnah presiden PAS sebagai pengganas selepas Menteri Pertahanan Israel membuat rundingan sulit dengan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Pada tahun 2007, jelasnya Presiden PAS memenangi saman ke atas akhbar ternama Britain, Daily Mirror di mana akhbar itu telah bersetuju meminta maaf kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Royal Court of Justice, ekoran penyiaran gambar dan berita berunsur fitnah yang mengaitkan beliau dengan pergerakan al-Qaeda.

Gambar Presiden PAS muncul di akhbar tersebut dengan tajuk "AL-QAEDA - Abdul Hadi" dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor tiga al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

PAS, tegas Idris tidak dapat menerima fitnah ketiga yang sengaja dicipta itu selepas kegagalan dua siri fitnah yang cuba menggugat PAS sebelum ini.

Katanya, PAS yakin sedikit sebanyak pengaruh nasihat APCO membawa kecenderungan kerajaan bagi mencipta krisis pengganas untuk dikaitkan dengan Presiden PAS dan parti itu.

Beliau menambah, PAS yakin fitnah itu juga sebagai serampang dua mata untuk menakutkan orang bukan Islam yang semakin jinak dengan parti itu.

Katanya, ketika sokongan orang bukan Islam telah yakin dengan wadah perjuangan PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS, maka musuh PAS cuba menggambarkan Presiden PAS sebagai pengganas.

“PAS yakin orang bukan Islam tidak akan terpedaya dengan fitnah ini. Mereka sudah lihat dengan mata kepala mereka sendiri pemimpin PAS bukan sebagaimana yang digambarkan sebagai seorang pengganas,” katanya lagi.

Katanya, Umno juga dilihat cuba mengajak Dr. Asri bersama dan tidak mustahil kewujudan tuduhan jahat itu akan dijadikan peluang oleh Umno untuk menggamit beliau bersama parti itu bagi mengelakkan ancaman ISA.

“Ini adalah tidak profesional dan memalukan,” ujarnya.

Harakahdaily

Umno-BN terdesak, tuduh Presiden PAS penganas

Kerajaan Umno-BN sudah tandus dan hilang modal untuk berhadapan dengan pengaruh dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Isu Jemaah Islamiah (JI) adalah cubaan terkini Umno-BN untuk mengkaburi pandangan umum untuk mengaitkan tokoh Pakatan Rakyat dengan anasir JI.

Memetik laporan Malaysiakini berdasarkan taklimat Keselamatan yang dihadiri oleh pegawai tertinggi polis di sebuah hotel di Sepang malam semalam mengaitkan Presiden PAS Tuan Guru Dato Hj. Abdul Hadi Awang dengan JI.

Turut disenaraikan ialah bekas Menteri Besar Perlis,Datuk Seri Shahidan Kassim. Manakala Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin dikaitkan dengan penyebaran fahaman wahabi.

Patutlah Perdana Menteri 1Malaysia beria-ia mempertahankan bahawa anasir JI wujud di negara ini. Rupa-rupanya seperti dijangka tokoh Pakatan Rakyat khususnya PAS akan dijadikan sasaran untuk mengkaburi dan mengelirukan rakyat bahawa PAS terlibat dan menaja aktiviti keganasan.

Tuduhan ini merupakan satu penghinaan dan tindakan yang begitu memalukan apabila Umno-BN cukup terdesak dengan menggunakan taktik keji dan kotor mengaitkan tokoh ulama dalam negara yang terkenal dengan ketokohan ilmu serta disegani kawan dan lawan dengan tuduhan yang tidak berasas.

Ternyata, piliuhanraya umum yang semakin hampir menjadikan Umno-BN hilang pedoman dan cuba bertindak di luar batas kemanusiaan serta bertentangan dengan prinsip dan lunas demokrasi.

Walau bagaimanapun saya menyeru semua pimpinan, ahli dan penyokong pakatan Rakyat agar bertenang serta tidak terpengaruh dengan fitnah dan propaganda yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN untuk memastikan strategi kotor Umno-BN akan memerangkap diri mereka kembali.

Saya cukup yakin rakyat di negara ini cukup matang dan boleh menilai situasi terkini yang berlaku dalam negara.

Hamba Allah

Di antara ‘Hidup Melayu’, ‘Melayu Cemerlang’ dan ‘Allahu Akbar’

"Assalamu’alaikum dan salam perjuangan…

Tergerak jari-jemari saya untuk menulis walaupun mungkin hanya secara ringkas sahaja. Tidak lain hanya untuk mengambil ruang memberi pandangan terhadap cadangan Datuk Seri Idris Jusoh supaya slogan UMNO ditukar daripada ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Melayu Cemerlang’. Alasan DS Idris kerana dalam era inovasi dan kreativiti, slogan Melayu Cemerlang diyakini lebih sesuai untuk menggerakkan orang Melayu supaya mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang kini lebih ke hadapan. Slogan ‘Hidup Melayu’ pula lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan bangsa Melayu di era sebelum dan selepas kemerdekaan negara.

Saya tidak pasti apa pula pandangan pimpinan pimpinan UMNO yang lain tetapi cadangan yang dilontarkan oleh DS Jusoh ini sudah tentu mengambil kira perkembangan semasa yang beliau rasa UMNO perlu mengambil pertimbangan yang sewajarnya.

‘Melayu Cemerlang’ pada pandangan DS Idris lebih sesuai dijadikan slogan untuk bersaing dengan kaum-kaum yang lain pada masa kini. Mungkin pertimbangan DS Idris berpunca kepada slogan ‘Hidup Melayu’ yang tidak up to date atau ketinggalan zaman sehingga menjadi mainan di kalangan kaum lain. Mungkin juga DS Idris mendapat pandangan daripada rakan-rakan BN lain yang melihat slogan tersebut perlu dilakukan perubahan.

Apapun pandangan DS Idris ia tetap berkisar tentang Melayu, tentang kaum. Slogan yang DS Idris Jusoh cadangkan tetap berkaitan dengan Melayu. Mungkin akan ada yang tidak setuju dengan saya kerana mempertikaikan slogan tersebut tetapi saya melihat bahawa slogan tersebut juga yang menyebabkan UMNO sukar untuk mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia.

Berbeza dengan PAS yang terus istiqamah dengan seruan ‘Allahu Akbar’ seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal yang ke 4. Ia tetap utuh diterima oleh PAS sepanjang zaman tanpa pernah dicadangkan untuk ditukar sebelum daripada merdeka sehinggalah ke hari ini. Malah, dengan kehadiran puluhan ribu ahli Kelab Penyokong PAS ke dalam Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) pun tidak menjejaskan seruan tersebut.

Pada saya, UMNO masih boleh kekal dengan slogan yang ada sekiranya UMNO masih dilihat kekal relaven dengan masyarakat khususnya masyarakat Melayu namun yang menjadi persoalan pokok bukanlah salahnya slogan tetapi salahnya sehingga UMNO semakin ditolak adalah disebabkan oleh tangan-tangan kepimpinan UMNO yang ada pada masa kini.

Slogan HIDUP MELAYU VS Seruan ALLAHU AKBAR

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Benarkah UMNO Johor Menolak Judi Sukan?

"Asalamu’alaikum dan salam perjuangan…
Satu keputusan yang cukup berani apabila UMNO Negeri Johor membuat keputusan menolak Judi Sukan. Itu satu keputusan yang saya saya kira satu keputusan yang patut dicontohi oleh UMNO di negeri-negeri lain. Kalau ada pun bantahan yang dibuat ia adalah bersifat senyap-senyap ataupun disembangkan di kedai kopi betapa mereka tidak setuju dengan keputusan kerajaan Najib Razak untuk meluluskan satu lagi lesen judi.

UMNO Johor memang dilihat lebih berani untuk mengambil keputusan ‘melawan arus’ dengan keputusan UMNO Pusat berbanding dengan UMNO negeri-negeri yang lain. UMNO Johor pernah buktikan sikap kekonsistenan menentang PPSMI sehingga PPSMI terpaksa juga dikuburkan di dalam sistem pendidikan negara. Itu kelebihan UMNO Johor yang tidak ada pada UMNO di negeri yang lain.

Di dalam ceramah di Kampung Punggur Barat malam tadi, saya menyampaikan ucapan memfokuskan kepada isu judi sukan kerana ia adalah sebahagian roadshow yang sedang dilakukan oleh Pemuda PAS dan rakan-rakan yang lain untuk membantah judi sukan. Saya merujuk kepada akhbar harian Sinar Harian yang baru beberapa hari berada di dalam pasaran negeri Johor.

Tajuk “Mengapa UMNO Johor Tolak Judi Sukan” cukup besar ertinya kepada pejuang-pejuang yang menentang Judi Sukan yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini walaupun PM secara malu-malu menafikan bahawa lesen tersebut telah diluluskan.

Ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh di dalam penulisan saya ini dan saya ingin bandingkan dua pemimpin negeri yang telah bercakap tentang Judi Sukan ini iaitu YAB Lim Guan Eng dan YAB Datuk Abdul Ghani Othman.

Apa persamaan mereka? Persamaannya adalah mereka adalah ketua kerajaan negeri dan mereka berdua menentang judi sukan. Lim Guan Eng tidak setuju dengan judi sukan dan Ghani Othman pun tidak setuju dengan judi sukan. Bermakna, kedua-dua pemimpin ini menolak judi sukan kerana ia mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada masyarakat.

Apa pebezaan mereka? Perbezaannya adalah sangat ketara. Lim Guan Eng menentang Judi sukan dengan menggunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dengan mengadakan mesyuarat bersama exco kerajaan negeri dengan merujuk kepada Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan yang meliputi isu berhubung kesihatan, keselamatan dan keselesaan. justeru kerajaan negei Pulau Pinang mengambil keputusan menolak permohonan Ascot Sport Sdn Bhd bagi lesen premis perjudian setelah menimbangkan keburukan dan akibat daripada kegiatan itu terhadap masyarakat.

Bukan sekadar membuat keputusan di dalam mesyuarat kerajaan negeri malah LGE telah mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP) membekukan lesen premis pertaruhan yang menawarkan judi sukan. LGE juga telah memberikan komitmennya dan bersedia untuk ke mahkamah di atas keputusan yang beliau buat.

Bagaimana pula YAB Ghani Othman? Ghani Othman juga tidak bersetuju dengan Judi Sukan namun kenyataannya hanya mewakili UMNO Johor, bukannya kerajaan Negeri Johor. Kenapa Ghani Othman tidak membawa perkara ini ke dalam mesyuarat kerajaan negeri dan membuat keputusan bersama sepertimana yang dilakukan di Pulau Pinang?. Jika UMNO mendabik dada sebagai pejuang Melayu dan Islam maka tidak sepatutnya keputusan yang dibuat hanya berkisar di dalam parti UMNO sahaja. Adakah Datuk Ghani tidak berani untuk mendapatkan persetujuan daripada exco kerajaan negeri yang mewakili MIC dan MCA untuk menghalang lesen judi sukan di Johor?.

Sebab itu keberanian dan kejantanan Datuk Ghani Othman menolak judi sukan yang pada mulanya mendapat perhatian daripada saya namun terus pudar apabila keberanian dan kejantanannya hanya sebagai Pengerusi UMNO Johor dan bukannya YAB Menteri Besar Johor.

Jika setakat itu sahajalah keberaniaan Ghani maka saya tidak tahulah bagaimana pula desakan yang mampu dilakukan oleh UMNO di negeri lain yang jauh lebih lemah berbanding dengan UMNO Johor.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

19 Jun 2010, 3.28 pagi

Isu JI untuk kekalkan ISA

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mensyaki isu Jemaah Islamiah (JI) yang dibangkitkan pada waktu ini adalah usaha kerajaan Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran perbahasan rang undang-undang pindaannya di parlimen pada Julai ini.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kekeliruan mula timbul apabila isu 10 yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari lalu atas tuduhan pengganas antarabangsa dibangkitkan semula kini dengan tuduhan terlibat dengan JI.

Sembilan daripada yang ditahan enam bulan lalu itu, katanya telahpun dihantar pulang ke negara masing-masing tiga bulan lalu namun isu berkenaan kini dibangkitkan kembali.

"Banyak pihak termasuh GMI menimbulkan kecurigaan terhadap pendedahannya sekarang.

"Kita yakin ini adalah usaha pre-emptive kerajaan untuk menjustifikasi penggunaan dan pengekalan ISA," katanya pada sidang media GMI bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di parlimen hari ini.

Turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakayat, memorandum tuntutan agar kerajaan memansuhkan ISA bukan melakukan pindaan kosmetik semata-mata.

ISA, kata Syed Ibrahim, sudah menjadi akta pilihan dan jalan mudah kerajaan menggantikan amalan profesionalisme polis seperti risikan dan penyiasatan.

Mangsanya kini, ujarnya semakin luas bukan sahaja kepada kumpulan-kumpulan yang didakwa pengganas, aktivis politik dan aktivis hak asasi, malah turut dikenakan kepada pemalsu kad pengenalan, pengklon telefon, pemalsu wang syiling dan pelindung pendatang tanpa izin.

Sedangkan, katanya undang-undang sedia ada, khusus untuk kesalahan-kesalahan tersebut diketepikan.

"Undang-undang dalam Kanun Keseksaan sudah cukup. Seksyen 489B Penal Code berkaitan pemalsuan duit, seksyen 56 Immigration Act berkaitan pemalsuan pasport, seksyen 298A Penal Code berkaitan menyebar isu atau khabar angin melibatkan agama, seksyen 499 Penal Code melibatkan isu perkauman dan Chapter VIA of Penal Code yang berkaitan isu pengganas," katanya lagi.

Selain ISA,ujarnya Emergency Ordinance (EO, Dangerous Drugs Act (DDA) dan Restricted Residence Act (RRA) juga perlu dimansuhkan.

Katanya, Working Group on Arbitrary Detention dari PBB, dalam lawatan ke Malaysia melahirkan rasa kebimbangan terhadap penggunaan akta-akta tersebut.

"Jawatan kuasa tersebut menjelaskan bahawa kesemua akta-akta ini adalah usang dan ianya harus dimansuhkan kerana melanggar undang-undang dan hak asasi antarabangsa," katanya.

Nazri Abdullah

Judi bola: Umno bawa negara mundur ke belakang

Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.

Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri.

Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Maka sudah tiba masanya bagi orang melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam.

PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Rakyat waras tidak dapat terima mansuh biasiswa

“Tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang dapat menerima keputusan kerajaan untuk menidakkan peluang pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kekurangan sumber dana,” kata Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) membantah keras keputusan kerajaan untuk memansuhkan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang secara berperingkat-peringkat seperti yang diumumkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, keputusan itu bercanggah dengan falsafah dan semangat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-10.

"Dapsy merasakan keputusan ini sangat tidak adil kepada generasi muda Malaysia kerana pengurusan kewangan yang boros dan tidak berhemah oleh Kerajaan Barisan Nasional menyebabkan generasi muda Malaysia terpaksa menangung akibat dan implikasinya," katanya.

Beliau juga berkata, rakyat tidak dapat menerima keputusan kerajaan memansuhkan pemberian biasiswa itu sedangkan kerajaan mengumumkan cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta dan kos pembinaan Istana Negara mencecah RM811 juta.

"Kerajaan mengatakan pemberian biasiswa ini tidak dapat diteruskan kerana pembiayaan kewangan yang tinggi dan kerajaan tidak mampu menanggungnya. Ini adalah satu asalan yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Tatkala apabila kerajaan mengumumkan cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta dan kos pembinaan Istana Negara mencecah RM811 juta, tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang dapat menerima keputusan kerajaan untuk menidakkan peluang pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kekurangan sumber dana," katanya.

Katanya, Dapsy turut mempersoal keikhlasan kerajaan dalam ‘membentuk belia untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang dinamik dan berinspirasi’ seperti yang terkandung dalam RMK ke-10 yang dibentangkan.

"Apakah isi kandungan yang tertera dalam RMK10 yang dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri sekadar indah khabar dari rupa? Perdana Menteri semakin hari semakin dikenali sebagai ‘Perdana Menteri flip-flop’. Namun kita tidak menjangkakan bahawa beliau begitu cepat ‘flip-flop’ dalam dasar yang dibentangkan oleh beliau sendiri di Parlimen kurang dari semingu yang lepas," katanya.

Sehubungan itu, katanya Dapsy menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa pemilih khas Parlimen untuk mengkaji semula secara menyeluruh setiap aspek pelaksanaan dan sistem pemilihan penerima biasiswa JPA termasuk dua cadangan iaitu memberikan biasiswa kepada semua pelajar cemerlang SPM yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Selain itu, penajaan biasiswa ke luar negara mengikut pengkhususan bidang pengajian hanya ditetapkan selepas menilai keputusan akademik di peringkat pra-universiti.

Hazayani Zakaria

PAS haramkan semua bentuk perjudian, Mahathir dan Umno jangan prejudis pada Cina

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan komentar Tun Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh Kerajaan Umno-BN. Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan. PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi dinegara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.


PAS jauh berbeza dengan Umno. Umno telah perintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi. Selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi. Di Kedah usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan. Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat.

Rakyat juga tahu, bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tokey judi semasa zaman pemerintahan BN.

Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi dinegara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi. Beliau mungkin berfikir, Jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam Kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini.

PAS juga amat kesal kerana beliau masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina dinegara ini yang dalam pemikiran beliau dianggap sebagai kaum yang suka berjudi. Beliau hadir dan berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu semalam dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi, dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan.

Tabiat judi ini adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka. Dan Kerajaan mengambil kesempatan dari golongan yang tidak berilmu ini dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut untuk hasil perjudian.

Sewajarnya Kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah.

Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi. Rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi ini dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi.

Kerajaan harus menjadi Kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang meruntuhkan akhlak rakyat.Jika kerajaan BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat dinegara ini akan terus dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat holistiknya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Ustaz Hassan Syukri

Pemergian Ustaz Hassan Syukri mengejutkan ramai pihak khasnya di dalam PAS. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan negara. Berikut adalah tulisan yang pernah dibuat wartawan AZAMIN AMIN yang disiarkan oleh akhbar Siasah Oktober 2009.

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun ‘bermandi darah’ di Kuala Lumpur dalam peristiwa 13 mei, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan mereka. Ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya, dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Tidak ada satu biji mata pun melainkandia yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ‘parang terbang dan selempang merah’ untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. malah ketika negara dilanda krisis, Tun Razak sendiri menghubunginya setiap
hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali! Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti di bibir pejuang dan penyokong PAS selama
ini agak kelam dan menyepi. entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di malaysia ini
umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak ke mana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil ‘ustaz’ masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di markas PAS Taman melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi dalam dirinya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Agung PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja laut Kuala lumpur, begitu sinonim
dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal Rm20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin dan ustaz Nakhaei untuk mereka samasama membeli tanah dengan harga sekitar Rm26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, markas PAS Taman melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik, ia menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KlIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di setiap pelosok negara. Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan “buku undang-undang PAS” yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

“Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa pulang ke rumah.

“Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara aktif pada tahun 1951,” ujarnya penuh semangat.

Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah usaha memujuk, mengugut, ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah-mentah Hassan dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan politiknya. “Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!” katanya tegas laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah ‘jangan mencari pasal’ dengan beliau.

Beliau turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro sambil
menghayunkan senjata parang.

Kebetulan kawannya, Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang itu akhirnya “ditumpaskan” hanya melalui kata-kata berbisa.

Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuhkan maruah dan nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan kecekapan perisik-perisik PAS, beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatu malam apabila diminta
oleh dua wanita terbabit.

“malam itu di tepi jalan berhutan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,” katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu masih diguna pakai sehingga sekarang.

Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja laut, berdekatan lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang ‘diperangkap’ oleh kamera-kamera musuh yang cuba mengaitkannya dengan
penghuni atau pekerja seks lorong hitam itu.

“Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya tersenyum.

Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di makkah dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah yang tidak upaya diluahkan memandangkan masa yang terbatas. memadai katanya, perjalanan itu memakan masa 6 bulan
3 hari!

“Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di madras, kami terus menggunakan jalan darat untuk ke makkah. “Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan melayu Iraq di Baghdad dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang anak,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah seorang yang berharta.

Semasa beliau penuh aktif dalam PAS, Hassan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang Presiden PAS iaitu Datuk Asri muda, ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadhil Noor. Beliau merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan
PAS ini sambil menceritakan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.

Antaranya, beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh empat batu menggunakan basikal, manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam perjalanan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.

“Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Datuk Keramat. Ahli-ahli di situ menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu,” katanya lagi.

Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu, nama awalnya lebih dikenali sebagai kongres dan ditukarkan supaya ia tidak menyamai dengan parti-parti lain pada masa itu.

Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondokpondok agama, balai raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah mereka sebagai tempat tumpangan.

Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantapdan ada peningkatan dalam soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.

“Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabatsahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu ‘style’. Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang Shah Alam (bandar) bekerja. “Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh,” katanya lagi.

Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba sedikit suasana dan keadaan masyarakat di malaysia dan
menambah di Nusantara terdapat 6,832 suku seperti Jawa, mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya disatukan melalui Islam.

“Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. mereka ini kita sapa dan senyum cukup besar hati dah...” kata Hassan yang juga bekas Senator. Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS menyarankan segala masalah atau perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau mesyuarat dan perbincangan agar ia tidak dipergunakan oleh musuh untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu,” katanya ketika diminta pandangan berhubung isu-isu
semasa.

“malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.

“Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi menjunjung perjuangan Islam,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Datuk Asri muda dan Haji Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.

Kini Hassan masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli majlis Syura. Beliau juga masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.

Walaupun usia telah menjangkau 70-an, Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS. Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu singkat, memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan penulis terpegun dan
asyik dengan kisah lamanya.

“Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS. “Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah,” katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang “berlangsung” di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,” katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti
akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah


KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2.

Harakahdaily

Kutuk Israel: Umno tipu rakyat terang-terangan-Presiden

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai penipu besar apabila mendakwa mengutuk Israel sedangkan pada masa sama menghalalkan judi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, antara strategi Zionis Israel merosakkan akhlak orang Islam adalah dengan memastikan mereka terlibat dengan judi dan rasuah.

"Bila kerajaan Malaysia menghalal judi, ini satu penipuan besar."

"Kata tentang Israel tapi lulus judi bola, ini bukan silap mata, tapi terang-terang depan mata," katanya pada ceramah khas sempena muktamar di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) malam tadi.

Tindakan kerajaan itu katanya bukan aneh kerana penubuhan Umno itu sendiri adalah dibawah tajaan British.

Tambahnya lagi, Zionis sememangnya mahu melihat umat Islam rosak dan berpecah belah demi menjayakan hasrat mereka merampas bumi Palestin bagi menubuhkan Israel Raya.

Mereka ujar Ustaz Hadi, sedang membuat perancangan halus merosakkan ekonomi, politik dan akhlak orang Islam agar lemah.

Sehubungan itu, PAS tegasnya akan bersama umat Islam Palestin menentang Zionis Israel.

Perjuangan membebaskan Palestin katanya bukan baru bagi PAS kerana pimpinan-pimpinan PAS sejak di zaman penubuhannya lagi telah memperjuangkan isu Palestin.

"PAS ditubuhkan tahun 51 oleh tokoh gerakan awal Islam di Tanah Melayu, dan kita adalah penyambung perjuagan itu," katanya.

Turut berceramah malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan wakil gerakan Islam luar negara termasuk dari Hamas, Maldives dan MILF (Moro).

Nazri Abdullah

Jangan jadi PENGKHIANAT - TG Nik Aziz

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru Parti Islam Se-Malaysia untuk merapatkan barisan bersama komponen Pakatan Rakyat dan jangan sesekali menghampiri Umno-Barisan Nasional.

Bercakap ketika merasmikan muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat malam tadi, Pas hanya membunuh diri sendiri jika ia mengkhianati amanah rakyat berbilang bangsa dan bersekutu dengan Umno-Barisan Nasional yang beliau sifatkan sebagai gagasan yang menentang nilai-nilai Islam.

Ucapan Nik Aziz dijangka menjadi panduan kepada halatuju muktamar ketiga-tiga dewan utama Parti Islam SeMalaysia hari ini, dan dikatakan bakal mempengaruhi sentimen 1,000 perwakilan di muktamar utama 11 Jun depan.

Nik Aziz dalam amanatnya menggesa ketiga-tiga dewan fokus kepada merangka strategi menawan 110 kerusi Parlimen majoriti penganut Islam dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

Parti Islam SeMalaysia bagaimanapun diingatkan bahawa ia tidak akan kekal relevan jika ia mengabaikan denyut nadi masyarakat bukan Islam.

"Sejarah mencatatkan bagaimana pas diajak masuk bergabung dalam barisan nasional. pas pada masa itu menyambut tangan perpaduan dengan harapan kebaikan yang berpanjangan. rupanya bn adalah perangkap bagi Pas. Mereka merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah sebaik perancang,"

"Saya rakamkan disini bukanlah untuk mengungkit luka lama berdarah kembali, jauh sekali bara dendam untuk dimarakkan, tetapi sebagai peringatan dalam menongkah arus perjuangan. Ingin saya ingatkan disini bahawa sejarah mencatit bahawa Umno bukanlah rakan yang setia - tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melempar senjata,"

Bagi tokoh politik veteran ini, kesinambungan hayat Pas sebagai pemangkin perjuangan para anbiya terjamin jika ia memperkukuh perikatan sedia-ada dalam Pakatan Rakyat.

Pas digesa supaya lebih berani bergerak dalam arus kepelbagaian, sepertimana wajah Islam sebenar yang menolak garis perkauman dalam menilai keperibadian individu.

Dihadapan ribuan yang hadir malam tadi, Nik Aziz menegaskan tanpa Islam, Pas hanyalah jasad yang besar tanpa roh.

"Kita mahu eratkan hubungan kita dengan DAP dan PKR, dan kita mahu rakyat berikan mandat pada kita. justeri itu kita harus berani tawarkan alternatif ini dan berikrar pada semua kaum bahawa kita akan membuang semua unsur kerosakan yang dibawa Umno-Barisan Nasional. Kita mahu gantikan dengan kerajaan yang berintegriti, yang adil, bermoral dan bertanggungjawab, kerana memang begitu ajaran Islam,"

"Strategi sebegini adalah penting kerana nilai perjuangan kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat. Lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran Umno-Barisan Nasional yang menimbulkan kekalutan pada rakyat dan pada negara,"

Nik Aziz memberi perhatian khususnya kerana peranan Dewan Muslimah dan Dewan Pemuda dan menyarankan kedua sayap ini merencana strategi menarik sokongan wanita dan golongan muda kepada Pas, menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau menyorot perhatian akar umbi bahawa tren para pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini secara keseluruhan menolak Barisan Nasional.

"Saya suka mengingatkan kita agar memerhati perkembangan ini dengan serius. Pas sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas meraih sokongan pengundi-pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang Melayu terus diperbodohkan dengan pukauan Ketuanan Melayu, yang merupakan dongeng pemimpin Umno,"

"Mereka harus diingatkan bahawa keris yang dijulang pemimpin Umno digunakan untuk menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya adalah Kelantan dinafikan hak untuk royalti minyak yang diraih dari buminya sendiri,"

Nik Aziz sekali lagi mengingatkan Dewan Muslimah dan Dewan Pemuda bahawa slogan Ketuanan Melayu menanam rasa cemas, takut dan dendam dalam jiwa anak-anak bukan Islam. Jika perasaan negatif ini disemai secara berterusan, maka permusuhan akan sentiasa menghantui rakyat Malaysia.

"Sudah sampai masanya kita lebih serius mewajahkan Islam yang telah disolek dengan buruk oleh Umno. Rakyat Malaysia harus disedarkan bahawa Islam telah diterima masyarakat India dan Cina lebih awal dari orang Melayu,"

"Pada kesempatan ini saya mengucapkan tahniah diatas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang sedia berjuang bersama kita dan mendekatkan Islam pada golongan bukan Islam,"

TVSelangor

Muktamar Dewan Ulamak pertahan dasar PAS

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-49 yang berlangsung hari ini mendesak menteri yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi meletak jawatan.

Selain itu mendesak kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) menutup semua pusat perjudian dalam negara ini.

Wakil Dewan Ulamak PAS Melaka, Ghani Minhat ketika membentang usul berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia mengeluarkan lesen judi dalam semua bentuk perjudian.

Usul tersebut dibangkitkan Dewan Ulamak PAS Melaka dan Kelantan. Usul berkenaan diterima sebulat suara.

Manakala Dewan Ulamak PAS Terengganu pula mengemukakan usul berkaitan lompat parti di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang disifatkan boleh menjejaskan kredibiliti parti dan Pakatan.

Seorang wakil yang membentang usul terbabit berkata, tindakan wakil rakyat berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan rakyat dan mewujudkan suasana politik tidak stabil di pelbagai peringkat.

”Maka Dewan Ulamak PAS Terengganu mendesak pimpinan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dan cermat dalam pemilihan calon pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Usul berkenaan kemudian mendapat sokongan sebulat suara.

Manakala usul Ulamak Kuala Nerus pula mendesak kepimpinan tertinggi parti supaya menaikkan taraf Urusan Ulamak PAS kawasan kepada Dewan Ulamak PAS kawasan. Usul berkenaan juga mendapat sokongan padu.

Usul Dewan Ulamak PAS Pusat pula memohon muktamar tersebut mengambil ketetapan dan memastikan dasar dan prinsip pejuangan PAS dipertahankan di samping memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Sementara itu usul tergempar pula dibentang Ulamak Pengkalan Chepa melalui wakilnya Nik Razi Nik Mat mencadangkan diwujudkan unit khas kaunseling bagi menyedarkan golongan remaja terhadap gejala sosial yang berlaku sekarang.

Katanya, ulama hendaklah tampil berperanan menangani maslah remaja dalam masyarakat. Usul berkenaan juga dilulus tanpa sebarang bantahan.

Keempat-empat usul tersebut diluluskan tanpa sebarang perbahasan. Lebih 400 perwakilan Dewan Ulamak PAS dari seluruh kawasan di negara ini mengiikuti muktamar tersebut yang diadakan di Markas Dewan Ulamak di Labok.

M Faqih

Rakyat perlu tolak proksi zionis Israel di Malaysia

Pengerusi Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) mengajak rakyat supaya menolak proksi zionis Israel di Malaysia sebagaimana dunia menolak kuasa haram itu di peringkat antarabangsa.

"Kalau zionis Israel yang jauh pun kita sebagai rakyat menyertai dunia mengecam kuasa haram itu di Dewan Rakyat dan di jalan raya, sepatutnya kita perlu menolak proksi-proksi mereka ini yang ada dekat di dalam negara," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, proksi zionis Israel yang dimaksudkan adalah mereka yang terbabit melantik firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC) sebagai syarikat perunding komunikasi penuh dalam membantu kerajaan menjayakan wawasan Satu Malaysia walaupun firma tersebut dibuktikan umum mempunyai hubungan langsung dengan kuasa zionis Israel.

Tambahnya lagi, proksi yang dimaksudkan termasuk juga mereka yang terbabit membawa masuk dua agen perisikan ketenteraan Israel ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melalui firma Asiasoft (M) Sdn. Bhd seperti yang dilaporkan oleh beberapa media sebelum ini.

Bagi beliau, selagi rakyat tidak menggunakan ruang demokrasi dengan menolak para pemimpin Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, selagi itu negara akan terus dipimpin oleh mereka yang nyata mengikut telunjuk Amerika Syarikat serta seakan memelihara kepentingan negara haram Israel.

Beliau seakan turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dilihat tidak berani mengkritik Amerika Syarikat yang nyata bersikap bias pada zionis Israel.

"Malaysia baru sehari dua ini bercinta dengan Barrack Obama, sebab itu Perdana Menteri kita kurang menyerlah berbanding Amerika Syarikat yang nyata melindungi kepentingan negara Israel sekian lama," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan para pemimpin negara-negara umat Islam supaya tidak sekadar mencari populariti dengan bersandiwara menentang zionis Israel ekoran bantuan kemanusiaan sedunia dihalang masuk ke Gaza baru-baru ini.

"Tiba-tiba saja kita mendengar pemimpin itu dan ini menjadi juara menentang zionis hingga tenggelam kuasa-kuasa yang lantang seperti Iran dan Venezuela kerana populariti, sedangkan mereka ini ada yang diam-diam menyokong dasar-dasar Amerika dan Israel," jelasnya lagi.

Tuntas dari itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir pemimpin Umno BN terbabit sanggup menggadai kepentingan negara demi memelihara kepentingan bersama Amerika Syarikat serta negara haram Israel sekiranya mereka terus menjadi kerajaan di Malaysia.

Dzulfikar Mashoor

Bersedia dengan fasa politik baru

Ironis berlaku di dalam mana-mana perjuangan apatah lagi perjuangan Islam. Pas adalah parti Islam dan logiknya orang Islam sepatutnya lebih mudah menerima mesej Islam yang Pas bawa. Namum ironisnya kini orang bukan Islam agak selesa menerima mesej Islam yang dibawa oleh Pas. Dari Lajnah Antara Kaum kini Pas melangkah dengan lebih yakin apabila menaiktarafkan lajnah tersebut kepada status Dewan – Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Bukankah satu yang ironis Pas boleh disokong oleh bukan Islam dalam keadaan Umno yang bermajoritikan orang Islam bermati-matian menentang Pas dari segenap segi.

Apabila Pas menentang judi bola ironisnya ahli-ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang bukan beragama Islam tidak membantah pendirian Pas tersebut malahan menyokong sepenuh hati. Tidakkah suatu yang pelik apabila mereka yang bukan beragama Islam di dalam PAS boleh faham kebobrokan judi dan menentangnya sebaliknya Umno sebagai parti yang bermajoritikan orang Islam tidak gentar sama sekali menghalalkan judi yang Allah haramkan secara qat’ie.

Pejuang Islam yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran pasti melihat ironi dalam kisah Nabi Yusuf a.s.. Nabi Yusuf a.s adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya Nabi Yaakub a.s. Apabila anak disayangi oleh bapa ia adalah satu perkara yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu mengakibatkan Nabi Yusuf ingin dibunuh dengan dicampakkan ke dalam telaga.

Berada di dalam kegelapan di dalam telaga selama beberapa hari adalah perkara yang buruk namum ironisnya perkara buruk itu mengakibatkan baginda berjaya berada di istana raja. Berada di istana raja pada zahirnya adalah suatu yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu membawa Nabi Yusuf a.s ke dalam penjara. Berada di dalam penjara adalah suatu perkara yang buruk namun ironisnya perkara yang buruk itu membawa Nabi Yusuf a.s kepada jawatan Menteri Kewangan Mesir sekaligus berjaya mentadbir ekonomi Mesir dengan cemerlang.

Inilah hakikat dan tabiat perjuangan. Ironi di mana-mana. Ia kerja Allah. Sukar kadangkala untuk dirasionalkan.

Apabila Pas kini mula disokong dan didokong oleh rakyat bukan Islam ia menuntut satu persiapan dan kesedian untuk para pemimpin dan ahli Pas berada di fasa baru perjuangan. Pemimpin Pas yang selama ini mungkin lebih selesa berbicara dengan kelompok orang Islam sahaja kini harus menyiapkan dirinya memasuki fasa dan politik baru ini. Fasa baru ini bukan menuntut Pas menggadai prinsip perjuangan atau bersikap apologetik . Tidak . Tidak sama sekali. Apa yang dituntut adalah kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan merangka strategi-strategi baru perjuangan. Mereka yang tidak bersedia dengan persiapan ini dikhuatiri akan menjadi penghambat kepada perkembangan perjuangan Pas kerana amat mudah untuk menolak satu perkara yang baru dalam keadaan seseorang itu sudah selesa dengan sesuatu yang lama.

Sebagai pejuang Islam kita patut merasa bersyukur kerana Islam itu sendiri sarat dengan petunjuk dan panduan kepada kita. Ertinya kita tidak perlu meraba-raba mencari panduan dan petunjuk. Menekuni seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat memberi taujihat yang jelas kepada kita bahawa motto “ Islam adalah rahmat seluruh alam” berjaya ditonjolkan secara praktikal oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang dididik oleh Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya menonjolkan ruh toleransi ( tasamuh ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka berjumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) iaitu Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur .

Lihatlah ruh tasamuh ( toleransi ) yang Rasulullah s.a.w tonjolkan. Kita lihat pula kisah toleransi Al-Faruk ( Syaidina Umar r.a ) . Seperti yang kita tahu di dalam pemeritahan Islam zakat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam . Sebagai ganti mereka bertanggungjawab membayar sejenis cukai yang dipanggil jizyah. Bagaimanapun jizyah tidak diwajibkan ke atas wanita , kanak-kanak, orang miskin dan mereka yang tidak mampu. Kalimah jizyah ada dinyatakan di dalam Al-Quran.

Di zaman Syaidina Umar terdapat golongan bukan Islam iaitu golongan Kritian dari Bani Thaglib yang setuju membayar cukai sepertimana zakat yang dibayar oleh orang Islam namun mereka tidak setuju dengan kalimah jizyah. Malahan mereka sanggup bayar berganda asalkan tidak digunakan kalimah jizyah. Umar sebagai seorang yang faqih bersetuju tidak menggunakan kalimah jizyah kepada golongan Kristian Bani Taghlib tersebut dan menerima bayaran cukai yang mereka bayar . Umar berkata “ mereka ini ( golongan Bani Taghlib ) ini golongan yang tidak faham, mereka bersetuju dengan makna tetapi menentang nama !! ( lihat m/s 14 Kitab “Al-Aqaliyyat Al-Dinniyyah Wa Al-hallu Al-Islami Karangan Yusuf Al-Qaradawi )

Kesedian Umar tidak menggunakan kalimah jizyah meskipun ia adalah kalimah yang wujud di dalam Al-Quran menunjukkan kebijaksanaan Umar dan sikap toleransi yang amat tinggi yang beliau tonjolkan.

Berdasarkan apa yang Syaidina Umar lakukan itu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menyatakan “ begitu juga sekiranya istilah Ahlul Zimmah menyusahkan golongan bukan Islam tiada masalah digugurkan kalimah itu dan cukup mengekalkan istilah rakyat sebagaimana yang digunakan sekarang “

Mohamed Hanipa Maidin, AJK PAS Pusat.

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular