Jangan layan ajakan Umno musuhi bukan Melayu - Dato' Mahfodz

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Mohamad, mengingatkan orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan ajakan Umno supaya orang Melayu memusuhi kaum-kaum lain.

"Ini adalah propaganda jahat mereka semata-mata bagi mencetuskan ketegangan kaum berikutan kekalahan teruk mereka pada Pilihan raya Umum baru-baru ini," katanya di sini.

"Sekiranya ketegangan kaum ini berjaya diwujudkan maka mudahlah bagi mereka untuk meneruskan agenda jahat mereka," katanya semasa berucap pada majlis meraikan petugas dan pengundi di Parlimen Simpang Renggam, yang diadakan di Kampung Shari, Simpang Renggam, dekat sini.



Hadir sama pada majlis ini adalah calon PAS yang bertanding di Parlimen Simpang Renggam dan Dun Macap, Ustaz Atan Gombang dan Ustaz Abdullah Hussein serta Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad.

Lebih 500 penyokong PAS yang terdiri dari berbagai kaum serta petugas PAS dan Barisan Alternatif (BA) yang telah bertungkus lumus pada PRU lalu menghadiri majlis yang diadakan seawal jam lima petang hingga 11.30 malam ini.

Menurut Dato' Mahfodz, PAS tidak pernah memusuhi mana-mana kaum dan agama, ini terbukti dengan wujudnya kerjasama erat antara kaum India dan Tionghua semasa PRU lalu.

"Bahkan hasil kerjasama yang sangat baik ini telah menghasilkan jumlah peningkatan undi yang begitu tinggi diperolehi calon-calon PAS, DAP dan KeADILan yang bertanding pada pilihan raya kali ini," katanya.

Katanya, Islam tidak pernah mengajar umatnya memusuhi bangsa atau penganut agama lain sebaliknya, Islam mendidik umatnya supaya berbaik-baik serta menjalin hubungan muhibbah dengan semua bangsa dan agama.

"Hari ini kaum-kaum lain di negara ini sudah memahami hakikat ini, sebab itu pada PRU baru-baru ini, secara terbuka mereka memberikan sokongan yang sangat baik kepada pakatan BA," ujarnya.

Dato' Mahfodz yang turut bertanding di Dun Bukit Serampang, pada PRU ini, melahirkan rasa terharu di atas perubahan sikap di kalangan orang bukan Islam yang bersedia untuk bersama dengan PAS.

"Perubahan sikap yang begitu mendadak di kalangan bukan Islam terhadap PAS yang berlaku hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini, suasana yang berlaku mutakhir ini membuktikan bahawa PAS memang relevan bagi semua kaum dan agama," katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru setiap pimpinan PAS di semua peringkat agar memanfaatkan sepenuhnya perubahan sikap rakyat berbilang kaum ini.

"Jangan lepaskan peluang ini, mulakan gerak kerja bagi memantapkan lagi kekuatan sedia ada," ujarnya lagi. - mns


Hiburan Seperti Ditaja - Mahu umat Islam lalai - Ust. Wan Shohor Bani Leman

UPU Tmn. Air Biru rai kemenangan

Tmn. Air Biru, 19 Mac - Semalam, Unit Peti Undi (UPU) Tmn. Air Biru telah mengadakan Majlis Bacaan Tahlil dan Doa Selamat di Pasti Al-Kauthar 2 Tmn. Air Biru. Majlis ini diadakan bagi meraikan para petugas Pas yang bertungkus–lumus berkempen semasa pilihanraya umum yang lalu.

Menurut Ketua UPU Tmn. Air Biru, Sdr. Muslimin, Pas sebenarnya telah mengatasi Umno-BN dengan 68 undi di 12 saluran mengundi di 3 tempat mengundi iaitu di Sekolah Mengengah Kebangsaan Pasir Gudang 3, Sekolah Mengengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 dan Stadium Tertutup Perbadanan Johor.

“Secara keseluruhan, kita telah memenangi 6 saluran dan begitu juga dengan Umno-BN tetapi kita mendahului mereka sebanyak 68 undi,” jelas beliau.

Ini jelas menunjukkan bahawa penduduk Tmn. Air Biru inginkan perubahan setelah harapan yang Umno-BN janjikan kepada mereka setelah 50 tahun kemerdekaan hanya retorik semata-mata.


Ternyata rakyat di Tmn. Air Biru telah celik maklumat walaupun media seperti televisyen dan suratkhabar yang cuba menutup bangkai busuk kerajaan.

“Kita telah mengadakan ‘gempur’ risalah hampir setiap hari bagi memastikan setiap rumah penduduk di Tmn. Air Biru menerima risalah kita agar dapat mereka membuat penilaian semasak-masaknya sebelum mengundi,” tambah beliau lagi.

Pas di DUN Permas hanya memerlukan 2000 undi untuk menewaskan Calon BN, M. Munasamy.

Sehubungan dengan itu, Pas Tmn. Air Biru telah melancarkan dana pilihanraya untuk persiapan menghadapi pilihanraya yang akan datang yang dijangka diadakan lebih awal.

Pelancaran dana ini dirasmikan oleh Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang, Sdr. Syed Othman yang juga bekas Calon N43 DUN Permas.

Bagi permulaan, UPU Tmn. Air Biru telah melaburkan RM1700 ke dalam sebuah sistem yang dipanggil ‘Mutual Fund’ yang dilaksanakan oleh sebuah bank yang mendapat ranking tertinggi di antara pengendali yang mengendalikan sistem yang sama.

Bersifat Adillah: Rakyat Kini Lebih Bijak

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Saya amat tertarik dengan laporan berita berikut :-


Statistik Bagus



KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yang memenangi 140 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) kelmarin, terus mengungguli undi popular dengan memperoleh 50.28 peratus undi daripada keseluruhan 8.1 juta pemilih yang keluar mengundi di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Umno, parti yang menjadi tonggak BN mencatatkan 29.59 peratus undi popular berbanding pesaing terdekatnya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendapat 18.05 peratus daripada 49.71 peratus undi yang diraih parti pembangkang.

Di kalangan parti komponen BN lain, MCA mendapat 10.21 peratus undi, MIC (2.21 peratus), Gerakan (1.99 peratus) dan PPP (0.20 peratus).

Bagi parti pembangkang lain, Pas yang memenangi 23 kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini hanya mendapat sokongan 14.05 peratus pengundi, DAP (13.72 peratus), Parti Rakyat Malaysia (PRM) (0.21 peratus), SNAP (0.04 peratus), Bersekutu (0.01 peratus), manakala calon Bebas meraih 1.04 peratus undi.





Bagaimanapun, jika dibandingkan prestasi BN itu dengan pilihan raya umum sebelum ini, undi popular yang diperoleh paling rendah sejak pilihan raya 1959.

Sebagai contoh, pada pilihan raya umum 1990, BN mencatat undi popular sebanyak 52 peratus, 1995 (63.2 peratus), 1999 (56.53 peratus) dan pada 2004 pula, 63.68 peratus.

Kemerosotan dalam undi popular BN kali ini sebahagian besarnya disebabkan kekalahan teruk dua parti komponennya iaitu MIC dan Gerakan. MIC hanya menang tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN yang ditandingi.

Di Negeri Bawah Bayu, BN memperoleh undi sebanyak 295,743 daripada keseluruhan undi iaitu 513,178 manakala pembangkang pula terdiri daripada Pas, PKR, Bersekutu dan Bebas memperoleh hanya 201,767 undi.

Daripada jumlah undi 295,743, Umno memperoleh 163,686 undi; PBS (35,046); UPKO (57,887); SAPP (30,827) dan LDP (8,297).

Di Sarawak pula, BN terus mencatatkan penguasaan kukuh apabila memperoleh 336,562 undi daripada keseluruhan 530,723 undi. Daripada jumlah itu, PBB memperoleh 131,243 undi diikuti SUPP, 119,264; SPDP (52,645) dan PRS (33,410).

Pembangkang pula yang terdiri daripada Pas, DAP, PKR, Snap dan Bebas hanya sekadar mendapat 186,965 daripada keseluruhan undi yang diterima.

Sumber berita : Metro

Inilah statsitik yang saya nantikan sejak malam keputusan Pilihanraya Umum ke-12 disiarkan.

Secara mudahnya, dari statistik ini dan berbekalkan keputusan pilihanraya ke-12 yang lalu, saya amat amat berharap akan dapat melihat perkembangan politik negara kepada tahap yang lebih baik, antaranya seperti berikut : -

1) PEMIMPIN & RAKYAT : Semua parti yang menang dan memerintah samada di peringkat negara dan kerajaan negeri mestilah mengingati bahawa jumlah sokongan kepada parti BN dan pembangkang (alternatif) adalah hampir sama;

Justeru selepas ini, janganlah mana-mana pihak menafikan suara dan cadangan yang baik untuk rakyat tidak kiralah datang dari mana-mana pihak pun. Sebelum ini kita mendapati, setiap cadangan yang datang dari pembangkang sering diambil ringan oleh pucuk kepimpinan, namun dengan keputusan ini mesej jelas diberikan oleh 49.71 %.

Jika ia ingin ditolak cadangan yang baik, setiap penolakan mestilah disertai dengan rasional yang boleh diterima dan bukannya ditolak sinis, prejudis, penuh kebencian yang hanya bersandarkan hujah kebudak-budakkan lagi hingusan.

Sudah ramai rakyat Malaysia yang bijak serta mampu menilai sejauh mana bijaknya pemimpin peringkat negeri dan negara dalam menangani setiap teguran dan cadangan yang membina lagi baik. ‘Memperbodohkan' intelek rakyat berpelajaran adalah satu ketidakcerdikan nyata.

Perkara yang sama juga mestilah diambil kira oleh kerajaan baru Penang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan. wakil-wakil BN yang menjadi pembangkang di sana juga adalah mewakili sekumpulan besar penyokongnya. Justeru jika cadangannya baik dan tidak bertentangan dengan Islam. Ia amar wajar diterima.

2) MEDIA : Media perlu sedar, mereka bukan sahaja bertanggungjawab memberi info telus boleh dipercayai untuk rakyat yang menyokong satu parti, tetapi kepada rakyat yang menyokong pelbagai parti.

Sikap prejudis dan berat sebelah perlu disedari memualkan rakyat terutama pihak pembangkang yang disokong 49.71 % rakyat. Semua rakyat berhak mendapat informasi yang lebih bijak dan matang serta first class, bukan lagi informasi yang mempunyai tahap laporan tahun 1960 an atau zaman Jepun dan tertutup serta tidak dinyatakan dengan hujah rasional tetapi hanya dengan lontaran ‘dungu'.

Informasi dan aktiviti kebaikan dari pelbagai parti yang memerintah samada Negara dan negeri mestilah diberi secara baik dan membangun bukannya asyik ‘berat sebelah'.

Anda tidak boleh menyamakan permintaan ini dengan akhbar ‘harakah' kerana akhbar tersebut adalah akhbar yang dikeluarkan khas untuk ahli parti PAS. Sudah tentu mereka tidak akan memuatkan laporan positif tentang parti yang ditentangnya.

Namun siaran televisyen dan akhbar awam yang tidak dikeluarkan khas untuk ahli mana-mana parti mestilah lebih profesional dan bijak untuk semua parti-parti di Malaysia.

Mereka perlu ingat bahawa sebarang laporan yang menaikkan satu pihak sahaja sudah tidak lagi diterima oleh 49.71 % rakyat lagi. Kemuakkan ini perlu dilihat sewajarnya.

Nasihat yang sama buat pihak pembangkang (alternatif) yang mungkin selepas ini akan mengawal apa jua media yang bersifat neutral terutamanya di Selangor. Adapun media khas parti masing-masing, ia terpulang kepada mereka untuk menetapkan corak pemberitaannya.

3) PERUNTUKAN : Sebarang peruntukan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh alternatif perlu diberi seperti biasa kerana di belakang mereka adalah 49.71 % rakyat Malaysia yang semuanya membayar cukai dan bayaran perlu di dalam Negara. Semua rakyat di setiap daerah di Malaysia berhak menikmati kumpulan wang negara tanpa mengira siapa yang memerintah negeri mereka.

Janganlah apa pihak yang merasakan bahawa jika dilumpuhkan peruntukan sesebuah negeri maka pentadbiran mereka akan lumpuh hingga menyebabkan rakyat menyesal dan akhirnya kembali menyokong mereka.

Itu mungkin boleh dipakai di zaman dulu namun tidak lagi sekarang di tahun 2008 ke atas. Sebarang kegagalan ini akan dilihat oleh rakyat yang semakin bijak berfikir ini dan mereka pastinya akan lebih meluat dengan mereka yang menyekat dan bukan mereka yang disekat. Sebabnya mudah sahaja, kerana mereka juga berhak mendapat kenikmatan hasil cukai kumpulan dari hasil rakyat negeri mereka

Ucapkan Selamat Tinggal Politik Kebudakkan

Akhirnya, dengan gaya fikir dan intelektual pengundi muda, lanskap politik Negara semakin meriah. Untuk itu semua yang terlibat perlu menaikkan tahapnya dari tahap budak-budak yang suka main ugut dan ancam kepada jenis politik minda dan hujjah serta kerja kemas lagi bersih.

Tinggalkanlah politik ancam orang yang tidak sekepala, budaya ugut dan rasuah, marilah kita kepada politik berteraskan kerja berdasarkan merit kualiti, bersih dari seleweng rasuah, efisyen berlandaskan hujjah bijak, nescaya Malaysia akan semakin gemilang.

Tinggalkanlah menggunakan hujah dan fakta kurang rasional, antara contoh yang meragukan adalah peratusan keluar mengundi di parlimen Jerlun iaitu 99.85 %. Saya secara peribadi dan menurut logik aqal merasakan ia agak pelik dan luar biasa. Wallahu'alam.

Ramai masih menunggu keputusan siasatan polis berkenaan dakwat undi yang dilaporkan diseludup beli dari negara asing sehingga menyebabkan batalnya pengundian menggunakan dakwat. Apakah ceritanya kini? Tanpa penjelasan wajar dan mantap, rakyat dan pengundi bijak akan mengangkat kening dan mencebik bibir tanda sesuatu kesimpulan telah bersarang di mindanya. Demikian juga hal ehwal video tape lingam dan banyak lagi.

Sebarang Kesilapan Pemerintah Baru

Bagi kerajaan negeri baru yang memerintah seperti Selangor, Kedah, Perak dan Penang. Saya kira mereka dalam keadaan sangat mencabar serta getir kerana mereka MESTI membuktikan:-

"apa yang lainnya mereka dari kerajaan sebelum ini"

Semua 'spot light' sedang menyuluh ke arah mereka, dari segenap penjuru samada pemimpin dan ahli parti BN, ahli akademik (termasuk saya), pelabur, rakyat yang mengundi, rakyat yang menolak dan lain-lain. Setiap cakap mereka akan dilihat, gaya wajah mereka, pertuturan mereka akan diteliti, memek wajah semasa menjawab soalan, cara berpakaian, kereta yang digunakan dan lain-lain. Jika pemimpin BN berfikir dua kali sebelum bercakap, pemimpin baru ini perlu berifkir empat ke lima kali sebelum memberi komen sepatutnya.

Sebarang kesilapan, kegelojohan, tidak toleransi, kegagalan dan kelembapan pengurusan akan menyebabkan mereka jatuh tersungkur pada pilihanraya akan datang (ke-13) dan mungkin akan berterusan kalahnya, amat sukar bangkit kerana tiada apa lagi yang boleh dijadikan hujjah untuk pengundi yang semakin boleh berfikir waras di ketika itu. Hasilnya akan kalah kumpulan ini buat 50 tahun akan datang.

Amat baik kiranya semua pemimpin baru Barisan Alternatif membuktikan ketelusan mereka dengan mengistiharkan aset peribadi masing-masing di media secara terbuka bermula dari tempoh pegang jawatan dan dibuat setiap tahun bagi membuktikan jawatan yang mereka pegang tidak menambahkan harta asal mereka. Jika ia mampu dibuat, Ini barulah lain dari yang lain dan menawan jiwa.

Sebarang kejayaan mereka pastinya akan memantapkan politik Malaysia kerana semua parti politik akan selepas ini meletakkan piawaian merit kualiti, bersih tulen dalam pentadbiran dan cekap tanpa rasuah, mesra rakyat bukan sombong sebagai target setiap parti politik akan datang, hasilnya amat baik buat rakyat keseluruhannya.

Sekadar itu ulasan ringkas saya, saya bukanlah ahli politik tetapi ahli akademik yang merasakan punyai hak untuk berkongsi pendapat dengan pelawat di web saya (http://www.zaharuddin.net/) ini dan lain-lain pembaca yang sudi membacanya.

Yang baik dari Allah dan untuk Allah, mari kita usahakan yang terbaik.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

10 Mac 2008



Video semasa waktu kempen dan hari mengundi di P159N43 Permas

Ucapan Pengarah MTD DUN Permas, Hj. Azhari

Sticker Kereta Percuma untuk pembaca blog DPPKPG

Sticker kereta ini diberi percuma kepada penyokong Pas semasa pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Ayuh! Dapatkan sticker ini sementara stok masih ada. Emailkan nama dan alamat anda kepada dppkpg@gmail.com.

Update:

Sticker kereta telah dihantar kepada individu di bawah:

19/3 - Kota Masai, Pasir Gudang.

20/3 - Tmn. Daya, JB.

24/3 - Bentong, Pahang

12/4 - Brickfileds, KL.

Terima kasih kepada yang memohon sticker kereta ini.

Tajaan

Kami telah kehabisan sticker ini. Jadi, jika anda ingin menaja pembelian sticker ini sila hubungi kami. Kami akan mulakan semula tawaran sticker kereta percuma di sini sebaik menerima penajaan.

Sasaran Tajaan - RM 500

Rakyat Malaysia Menolak Tuah

Rakyat Malaysia seharusnya membuat pilihan parti yang benar-benar mahu membela mereka. Setelah 50 tahun merdeka, rakyat masih dalam keadaan yang mendukacitakan dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan.

Hj. Azhari, dalam ucapannya mengakui golongan kelas rendah di kampung-kampung seperti Kg. Pasir Gudang Baru dan Kg. Plentong Baru kurang mendapat maklumat mengenai isu semasa kesan dari keengganan mereka membaca risalah yang pihak PAS sampaikan ditambah pula dengan propaganda dari media yang dikawal oleh parti politik pemerintah yang sengaja memburuk-burukkan parti pembangkang.

Namun begitu ada beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan oleh PAS sendiri dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang selepas ini.

"Antara kelemahan yang ketara pada petugas PAS ketika di pondok panas adalah dari segi bilangan petugas yang minimum bertugas. Pengundi 'atas pagar' yang melintasi pondok panas akan membuat andaian mengenai kemampuan PAS," jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau akan menyiapkan kertas kerja analisis pilihanraya untuk diserahkan kepada UPU-UPU di seluruh Pasir Gudang.

Dalam Pilihanraya kali ini, dilihat terdapat peningkatan sokongan yang mendadak di beberapa UPU dan ini adalah antara bukti rakyat semakin kuat menolak kepimpinan Umno-BN di Pasir Gudang.

Slogan "Pasir Gudang adalah kubu kuat Umno" yang dilaung-laungkan di Tmn. Cendana pada 6 Mac yang lalu sebenarnya telah cair dan tidak lagi relevan.

Berdasarkan data yang diperolehi dari UPU, pihak MTD melihat sokongan Umno-BN adalah majoritinya dari golongan Melayu yang masih percaya bahawa Umno-BN adalah kerajaan yang telus dan boleh dipercayai.

Hakikatnya, rakyat Cina dan India telah beralih arah dengan mengundi Barisan Alternatif setelah Umno-BN gagal meningkatkan ekonomi dan membela rakyat setelah 50 tahun mereka menikmati kemerdekaan.

Pada umumnya, kebanyakan pusat-pusat pengundian mempunyai lebih 50% pengundi Melayu dan ini menyebabkan Melayu masih dominan dalam menentukan kemenangan Umno-BN.

"Rakyat Malaysia sebenarnya menolak tuah dengan terus memberi sokongan kepada Umno-BN," tegas beliau.

Hj. Azhari, Pengarah MTD Pasir Gudang memberi contoh yang mudah difahami berkenaan isu manifesto pakatan BA yang menjaminkan penurunan harga minyak jika BA mendapat mandat memerintah Malaysia.

"Malaysia adalah pengekspot minyak, bila harga minyak dunia di pasaran naik maka kita (Malaysia) akan mendapat untung yang lebih dari hasil jualan minyak. Salahkah jika sedikit keuntungan itu diberikan semula kepada rakyat?".

Ikuti ucapan beliau dalam rakaman video berikut.



Kedudukan Pas Negeri Johor pada Pilihanraya Umum ke-12

N15 MAHARANI
Jumlah Pengundi: 22,902 Peratusan Kaum: M: 54.45%C: 42.51%I: 2.82%
1. Dr. Mohd. Taslim (Pas) (8,154)
2. Datuk Mohd. Ismail (BN) (7,946)
Majoriti: 208
Jumlah undi: 16,454
Peratus mengundi: 71.85% Undi rosak: 354
Penyandang: Mohd. Ismail Mohd. Shah (BN) (Majoriti: 6,612 undi)

N13 SUNGAI ABONG
Jumlah Pengundi: 21,592 Peratusan Kaum: M: 52.88%C: 43.84%I: 3.10%
1. Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (Pas) (8,776)
2. Kamaruddin Suratman (BN) (7,226)
Majoriti: 1,550
Jumlah undi: 16,319
Peratus mengundi: 75.58% Undi rosak: 317
Penyandang: Datuk Dr. Haris Salleh (BN) (Majoriti: 6,057 undi)

N24 SENGGARANG
Jumlah Pengundi: 19,799 Peratusan Kaum: M: 58.98%C: 40.44%I: 0.52%
1. Jaafar Hashim (BN) (9,034)
2. Dr. Mohd. Ramli Md. Kari (Pas) (6,006)
Jumlah undi: 15,468
Majoriti: 3,028 Undi rosak: 428
Penyandang: Dr. Mohd. Ramli Md. Kari (Pas) Menang tanpa bertanding

N43 PERMAS
Jumlah Pengundi: 34,695 Peratusan Kaum: M: 53.41%C: 30.41%I: 15.79%
1. M. Munusamy (BN) (13,878)
2. Syed Othman Syed Abdullah (Pas) (11,860)
Jumlah undi: 26,328
Majoriti: 2,018 Undi rosak: 590
Penyandang: Datuk K. S. Balakrishnan (BN)
(Majoriti: 10,805 undi)

P161 PULAI
Jumlah Pengundi: 79,622 Peratusan Kaum: M: 50.80%C: 39.59%I: 9.38%
1. Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) (38,036)
2. Abdullah Ideris (Pas) (17,587)
Jumlah undi: 56,702
Majoriti: 20,449 Undi rosak: 1,079
Penyandang: Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) (Majoriti: 34,926 undi)

N46 PENGKALAN RINTING
Jumlah Pengundi: 46,664 Peratusan Kaum: M: 47.87%C: 41.62%I: 10.22%
1. Chia Song Cheng (BN) (21,203)
2. Rahmatullah Abdul (Pas) (10,829)
Jumlah undi: 32,642
Majoriti: 10,374 Undi rosak: 610
Penyandang: Low Teh Hian (BN) (Majoriti: 18,918 undi)

N47 KEMPAS
Jumlah Pengundi: 32,958 Peratusan Kaum: M: 54.96%C: 36.70%I: 8.20%
1. Osman Sapian (BN) (15,897)
2. Suhaizan Kaiat (Pas) (7,711)
Jumlah undi: 24,047
Majoriti: 8,186 Undi rosak: 439
Penyandang: Osman Sapian (BN) (Majoriti: 15,918 undi)

Manifesto Pilihanraya Oleh Calon DUN Permas N43

Ceramah Kelompok Oleh Sdr. Anuwa Samlan di Flet Permas 7

Ceramah Kelompok Oleh Sdr. Anuwa Samlan di Tmn. Cendana

Perutusan Calon Pas N43 Dun Permas



Para Pengundi sekalian,

Saya SYED OTHMAN ABDULLAH calon bagi N43 : DUN PERMAS mengucapkan selamat keluar mengundi pada 8 Mac 2008 (Sabtu).

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sekiranya ditakdirkan saya diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat di DUN PERMAS ini, terdapat beberapa perkara yang akan saya laksanakan dengan secepat mungkin, iaitu :

1. Mewujudkan Tabung Dana Kebajikan untuk masyarakat di DUN PERMAS dengan sumber utama kewangannya datang daripada sumbangan saya dengan mengembalikan 30 % elaun bulanan saya ke dalam Tabung Dana ini.
2. Mewujudkan Pusat Maklumbalas Masyarakat DUN PERMAS dan Jadual Bertemuan Bersama Rakyat bagi membolehkan sebarang permasalahan masyarakat di DUN PERMAS ini dibawa oleh saya untuk dimaklum serta dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Johor.
3. Selaras dengan kemajuan teknologi di alaf ini, suatu Laman Web khusus untuk Wakil Rakyat DUN PERMAS akan saya wujudkan bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat informasi yang terkini dan memberi teguran yang membina kepada saya bagi mempertingkatkan pengurusan dan pentadbiran organisasi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Gunakanlah masa ini bagi memilih pemimpin yang benar-benar amanah, adil dan bersih serta dapat menyuarakan masalah rakyat setempat, khususnya di DUN PERMAS. Buatlah suatu perubahan demi masa depan anak-anak kita dengan menggunakan ”KUASA RAKYAT” pada pilihanraya ke 12 ini.

Sekian, terima kasih dan Selamat Mengundi.


KEPIMPINAN BERAMANAH, ADIL DAN BERSIH KEARAH NEGARA BERKEBAJIKAN

Ceramah oleh Calon N43 DUN Permas Sdr. Syed Othman Abdullah di Tmn. Mawar.

Ceramah oleh Sdr. Rahim, YDP Pas Kawasan Pasir Gudang

Kempen Pilihanraya oleh Sdr. Syed Othman Calon DUN Permas di Permas Jaya

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular