Ijok.... Kemuncak Pencabulan Demokrasi Negara..

Tahniah kepada Barisan Nasional kerana berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok dengan majoriti yang lebih besar yang berlangsung pada 28 April 07 yang lalu...


Tahniah kepada Parti Keadilan Rakyat serta sekutu pembangkangnya kerana tidak memulaukan pilihan raya kecil Ijok dan berjaya memberi tentangan yang bermakna.


Tahniah kepada pemilih Ijok kerana dapat melaksanakan hak dan kewajipan demokratik mereka dan tahniah kerana telah dan akan mengecap nikmat durian runtuh pilihan raya.


Tahniah kepada media massa arus perdana kerana berjaya dan berkesan menggembar-gemburkan mesej BN dan menghuru-harakan mesej pembangkang.


Pada pilihanraya kecil N11 yang lalu, calon Parti KeADILan Rakyat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mendapat 4,034 undi dan calon BN, K.Parthiban pula mendapat 5,884 undi, manakala undi rosak 134, Parthiban menang dengan majority 1,850 undi.


Pilihanraya kecil
Ijok ini telah menyaksikan bagaimana Umno-BN memperguna dan memperkudakan sepenuhnya agensi-agensi kerajaan seperti Polis, SPR serta seluruh jentera kerajaan negeri dan pusat untuk membantu kempen mereka.


Bukan saja jentera kerajaan ini digunakan untuk kempen mereka malah lebih memalukan lagi bila polis dan SPR ini digunakan untuk menghalang dan menyekat kebebasan pemimpin dan juga jentera pembangkang untuk berkempen.Selain itu pemuda BN yang dikepalai pemuda UMNO juga sentiasa mengganggu dan mengugut petugas-petugas kita yang hendak berjumpa rakyat, bahkan bukan setakat itu saja, mereka bertindak ganas dengan memukul dan mencederakan petugas PAS.


Media juga turut memainkan peranan yang sangat penting dan berkesan bagi memenangkan BN, semua media cetak dan elektronik yang mereka kuasai digunakan semaksimum mungkin untuk berkempen sebaliknya hak pembangkang untuk mendapat layanan yang sama dinafikan sama sekali.


Hanya isu-isu negatif membabitkan pembangkang ditonjolkan oleh media berkenaan sebaliknya perkara-perkara yang positif disembunyikan dari pengetahuan rakyat, media yang tidak bermaruah ini terus menonjolkan kebaikan Umno-BN dan menyembunyikan semua kebobrokan mereka.


Seluruh rakyat perlu bertindak segera untuk menyelamatkan demokrasi di negara ini yang terus diancam oleh pakatan jahat terhadapnya.


Apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil Ijok, mestilah dilihat oleh rakyat sebagai isyarat yang sangat jelas kemusnahan demokrasi di negara ini yang menuntut kebangkitan mereka untuk menyelamatkannya. Inilah kemuncak pencabulan amalan demokrasi di negara ini, oleh kerana mereka begitu takut dan cemas dengan pengaruh peribadi Tan Sri Khalid yang begitu dikenali oleh semua kaum di negara ini telah mendorong Bn melakukan perbuatan tidak bermaruah dan keji ini yang sekaligus telah membelakangkan sama sekali amalan demokrasi.

Daripada kenyataan para pembesar BN dan negara, parti-parti pembangkang, aktivis politik, pemerhati bebas pilihan raya, media massa arus perdana dan media massa alternatif, kesimpulan berikut boleh dibuat:


1. Politik wang yang dipersembahkan sebagai politik pembangunan terus menjadi senjata utama parti pemerintah;


2. Parti pemerintah akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya, khasnya pilihan raya kecil di mana keraksasaan kewangan dan jenteranya boleh digembleng secara besar-besar;


3. Pemilih masih terpengaruh dengan janji-janji yang berbentuk kewangan dan mata benda;


4. Idea-idea sejagat seperti keadilan, kesaksamaan, ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban masih berupa slogan pilihan raya semata-mata. Akhir wang yang berkuasa;


5. Pembangkang, khasnya PKR, terus tidak mampu mengemukakan agenda perjuangan yang difahami dan diyakini umum;


6. Isu-isu peribadi semakin menjadi tumpuan sehingga meminggirkan isu-isu pokok yang menjadi manifesto pilihan raya;


7. Kempen pilihan raya semakin cetek, dangkal dan hambar. The dumbing down process atau proses pendangkalan minda berterusan;


8. Sifat atau ciri munafik/hipokrit semakin menular dan menyerlah dalam semua parti dan di kalangan majoriti mereka yang berkempen. (Seorang Timbalan Ketua Bahagian Umno yang menampilkan wajahnya di Ijok memberitahu saya yang dia kecewa prestasi PKR tidak lebih cemerlang. Katanya dia mahu PKR menang supaya boleh menjadi mesej yang kuat kepada para pembesar BN dan Umno. Tetapi dia menyalahkan PKR kerana tidak pandai berkempen.);


9. Proses pilihan raya, khasnya pendaftaran pemilih dan pengundian, terus menjadi pertikaian;


10. Umno dan majoriti orang Melayu terus bertolak ansur atas nama BN dan dalam proses itu mendedahkan diri mereka kepada kritikan yang semakin meluas;


11. Majoriti orang Melayu terus menyokong calon dari parti-parti komponen BN walaupun beberapa buah daripada parti itu telah secara terbuka mempertikaikan kontrak sosial yang menjadi teras Perlembagaan Malaysia; dan


12. Pengundi Melayu masih boleh terus dipengaruhi dengan mudah walaupun mereka dikatakan semakin canggih dan maju.


Ayuh... Bersama Kita Tegakkan Demokrasi!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular