HIMPUNAN TANAH AKAN DI LANCAR DI PARLIMEN
SIMPANG RENGGAM – Gabungan Selamatkan Tanah Rakyat Johor (TANAH) akan
mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran dalam satu majlis yang
dipanggil pelancaran Himpunan Tanah Rakyat Johor di lobi Parlimen
Malaysia yang dijadualkan akan diadakan pada 16 April depan.
Menurut Pengarah Sekretariatnya, Suhaizan Kaiat, selain kehadiran
sejumlah 40 orang daripada rombongan TANAH, beberapa pimpinan Pakatan
Rakyat (PR) akan turut berada di majlis pelancaran itu bagi mengumumkan
satu perhimpunan TANAH yang akan diadakan pada 5 Mei depan di pusat beli
belah terkenal Plaza Angsana Johor Bahru.
”Rombongan sekitar 40 orang yang kebanyakannya penduduk Pengerang
akan berada di Parlimen Malaysia awal minggu depan,” ujarnya ketika
ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Khas Sekretariat TANAH di
pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Taman Renggam Jaya, dekat sini,
semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kain lilitan berukuran 3 inci dengan
berlogokan TANAH akan diikat sebagai gimik pelancaran majlis tersebut
disamping memperkenalkan badge TANAH kepada umum.
Malah, pihaknya mendakwa TANAH turut menerima sokongan daripada 18
badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh berpengaruh serta kalangan
rakan Pakatan pembangkang lain yang bersimpati dengan masalah tanah di
Johor.
Suhaizan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)
berkata, jelajah penerangan berkenaan TANAH akan digerakkan ke seluruh
negara sebagai satu usaha menarik perhatian umum untuk turut serta dalam
perhimpunan itu nanti.
”Kita sasarkan bermula dari 21 April ini sesi majlis penerangan akan
digerakkan ke setiap kawasan (daerah) di bawah (anjuran) pemuda (DPPNJ)
dengan melibatkan individu-individu yang berkaitan seperti YB Salahuddin
dan Mazlan Aliman yang bertindak sebagai Pengerusi Gabungan TANAH.
”Selain itu, kami akan bergerak ke seluruh negara dengan menyasarkan
negeri-negeri seperti Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan bagi
menyampaikan penerangan mengenai TANAH.
”Malah kita akan aturkan satu program konvoi anak muda yang akan
berjelajah bermula di Muar hinggalah ke Johor Bahru dengan aktiviti
seperti edaran risalah dan sebagainya,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan