Ibadat puasa pembimbing akhlak mulia

MANUSIA pada asal kejadian adalah makhluk suci bersih, tidak ternoda, apatah lagi berdosa. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Hadis riwayat Bukhari)"

Namun, faktor persekitaran kemudian mempengaruhi dan mengubah keperibadian serta perjalanan hidup manusia sehingga ada di kalangan Muslim dan bukan Muslim. Inilah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas.

Fitri atau fitrah bermaksud suci, bersih dan tidak ternoda. Fitrah manusia pada asal usul kejadiannya adalah suci kerana berasal daripada zat Maha Suci iaitu Allah.

Oleh kerana kesucian manusia inilah, maka Allah memuliakan manusia berbanding makhluk lain yang menghuni alam semesta ini. Firman Allah bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam; dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Kelahiran manusia yang pada asal kejadiannya adalah suci akhirnya berubah menjadi personaliti yang memiliki pelbagai ragam perangai dan perwatakan.

Ada di kalangan mereka yang begitu teguh mempertahankan kesuciannya dengan menjunjung Islam sebagai cara hidup yang lengkap. Tidak kurang yang berubah menjadi manusia berdosa dan berbuat jahat buat seketika, tetapi sempat bertaubat lalu menyucikan dirinya bernaung di bawah kalimat Allah.

Lebih malang lagi ada manusia berbuat jahat dan berdosa, namun tidak mahu membersihkan diri, malah terus bergelumang dengan dosa sehingga kematian datang menjemputnya kemudian hari.

Perlu diinsafi bahawa dunia ini seumpama tempat bercucuk tanam yang bakal menentukan arah dan hala tuju manusia ke tempat asalnya semula iaitu kembali kepada Allah.

Dalam hal ini, orang yang selalu berusaha membersihkan dirinya daripada nodaan dosa, maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan yang bersih dan suci seperti asal kejadian yang bersifat fitrah. Sebaliknya, orang yang memiliki jiwa kotor, maka dia pula akan menghadap Allah dalam keadaan kekotoran jiwanya. Sedangkan Allah tidak akan menerima manusia yang kotor jiwanya.

Tegas Allah dalam firman-Nya bermaksud:

“(Selepas diterangkan akibat orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata: ‘Wahai orang yang mempunyai jiwa sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai (di sisi tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Oleh itu, ibadat puasa yang dijalani selama sebulan Ramadan oleh setiap Muslim adalah medium terbaik untuk membimbing orang yang beriman ke arah jalan kesucian yang diredai Allah.

Sumber: MutiaraHati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular